Asuh

Anak ‘Lembab’ Belajar Mungkin Disleksia. Ambil Tindakan Jika Ada 10 Tanda Ini

3K
SHARES
kanak-kanak disleksia

“Dah nak masuk darjah dua tapi membaca masih merangkak-rangkak. Tak tahulah macamana dia belajar di sekolah. Risau juga bila cikgu kata Aiman ada ciri-ciri kanak-kanak disleksia. Bahayakah? Apa patut dibuat ya?”

Tahukah anda, kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas yang masih tidak dapat mengeja dan menulis mungkin disebabkan oleh sejenis sindrom yang dipanggil disleksia.

Apakah Disleksia?

Menurut Portal Maklumat 1Klik, disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai sindrom ‘lambat membaca’ di kalangan kanak-kanak.

Sindrom ‘lambat membaca’ ini sebenarnya bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.

Namun, jangan terkejut kerana penghidap disleksia umumnya mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) normal atau lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa.

kanak-kanak disleksia

Foto Kredit: redorbit.com

10 Simptom Kanak-Kanak Disleksia

Disleksia boleh mempengaruhi seseorang dengan sangat berbeza. Malah, tahap kesukaran anak-anak semasa belajar di sekolah juga tidak sama.

Sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti sejak kecil kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain. Dari segi fizikalnya, mereka kelihatan sama seperti kanak-kanak normal.

Walaubagaimanapun, antara tanda dan simptom disleksia yang biasa dikesan pada anak-anak adalah seperti berikut:

1. Lambat bercakap

Pada anak kecil, akan terlihat sedikit beza di mana mereka tidak suka menyanyi dan membunyikan ‘phonics’ atau ‘rhyme’.

Apabila semakin meningkat usia, mungkin kurang minat bercakap kerana sukar menyebut sesuatu perkataan.

2. Selalu tersasul

Apabila membunyikan sukukata, sering tersilap seperti ‘kelapa’ dan ‘kepala’.

Sukar menyebut sukukata yang panjang seperti ‘hospital’, ‘komputer’, atau ‘universiti’.

3. Cepat lupa

Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa.

4. Kesukaran membaca

Menghadapi kesulitan mengenal ABC, warna, dan nombor asas.

kanak-kanak disleksia 1

5. Cara pegang pensel yang pelik

Sukar menulis dengan baik, ada yang memegang pensel terlalu kuat dan ada yang terpaksa melihat hujung pensel terlalu dekat.

Selain tulisan yang agak buruk, anak disleksia mungkin tidak cekap dari segi kemahiran motorik.

(Contoh: Mengasingkan warna, bentuk, memasukkan objek mengikut ruangnya, bermain ‘puzzle’, mengikat tali kasut, menendang bola, dsb)

6. Keliru dengan abjad dan nombor

Keliru dengan huruf yang sampir serupa seperti ‘b’ dan ‘d’.

kanak-kanak disleksia

Foto Kredit: slideshare.net

7. Sukar mencari arah

Keliru dengan kiri dan kanan.

8. Kurang memahami konsep masa

Sukar mengingat sesuatu mengikut turutan. (Contoh: turutan hari Isnin-Ahad,  huruf A-Z,  nombor 1-10, bulan Januari – Disember.)

9. Sentiasa mengelak daripada belajar

Berasa mudah penat kerana terpaksa menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi masih sukar memahami sesuatu perkara melalui teks.

biarkan anak bermain sendiri 2

Jangan diganggu jika anak sedang ‘berfikir’ atau berimaginasi. / Foto Kredit: haikudeck.com

10. Berbakat dalam bidang artistik dan seni

Lebih berminat dengan aktiviti ‘hands-on’, dan biasanya mempunyai IQ yang tinggi. Lebih mudah ‘relate’ dengan gambar, lukisan, atau lisan berbanding teks. Ada yang menganggapnya hiperaktif.

Selain mewarna boleh cuba menyanyi pula

Anak disleksia meminati aktiviti yang tidak melibatkan nombor atau huruf yang mengelirukan

Bagaimana Kanak-kanak Disleksia Dikenal Pasti Secara Tepat?

Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi) untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah dalam membaca dan mengira. Melalui modul-modul ini, pelajar-pelajar disleksia akan dapat dikenalpasti.

Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak anda mempunyai ciri-ciri kanak-kanak disleksia, anda boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan atau Pakar Perkembangan Kanak-kanak untuk membuat saringan selanjutnya dan pengesahan.

Setelah itu, perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan sama ada pelajar perlu didaftarkan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.

kanak-kanak disleksia

Kanak-kanak disleksia perlukan pendekatan yang berbeza untuk belajar dengan berkesan.

Adakah Sekolah Khas Bagi Kanak-kanak Disleksia Di Malaysia?

Rawatan bagi sindrom ini adalah dengan menyertai pelbagai jenis program pembelajaran khusus bagi membentuk minat mereka untuk membaca dan menulis.

Terdapat Persatuan Disleksia Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur telah membantu ramai kanak-kanak disleksia dari seluruh negara sejak awal penubuhannya pada tahun 1999.

Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat Persatuan Disleksia Malaysia yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

kanak-kanak disleksia tokoh

Foto Kredit: polyvore.com

Jangan Khuatir, Ramai Anak Disleksia Telah Berjaya!

Menurut Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Puan Sariah Amin menerusi akhbar Kosmo,

“Kanak-kanak disleksia amat sensitif. Jika dimarah, mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.

“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung Persatuan Disleksia Malaysia.

Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada kanak-kanak disleksia dalam membantunya mengatasi masalah ini.

Telah ramai tokoh terkenal yang berjaya walaupun menghadapi masalah disleksia seperti Steve Jobs, Bill Gates, Tom Cruise, Keira Knightley, Lewis Hamilton (pelumba F1), Orlando Bloom, peninju terkenal Muhammad Ali, dan Walt Disney. Ini membuktikan mereka berpotensi untuk berjaya walaupun dengan kondisi ini.

 

Untuk memahami lebih lanjut tentang masalah disleksia, kami paparkan sedikit video tentang apa yang berlaku dalam minda kanak-kanak disleksia.

Apa yang berlaku dalam otak anak disleksia?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×