Famili

Ibu Bapa, Jangan Abaikan 6 Perkara Ini Agar Anak Tak Jadi Mangsa Buli

162
SHARES

“Ngerinya tengok video-video budak-budak kena buli di sekolah ni. Kecil-kecil pun dah pandai nak buli anak orang. Yang kena buli tu pun satu, kenapalah tak ‘report’ kat Mak Ayah sampai samseng tu jadi berani usik dia macam tu sekali.”

Siapa tak terkilan bila tengok anak-anak di sekolah jadi mangsa buli budak-budak yang suka tunjuk ‘samseng’. Walaubagaimanapun, dalam kehidupan harian kita sukar untuk lari daripada keadaan di mana kita ‘disakiti’ secara fizikal mahupun mental. Ada yang diejek, diherdik, diugut, dan lebih teruk lagi ada yang dipaksa dengan kekerasan.

Sebenarnya masalah buli ini melibatkan situasi yang begitu kompleks dan sukar untuk diluahkan oleh pembuli mahupun yang dibuli. Malah, ramai yang sangat terkejut dan tak sangka anak mereka pernah terlibat dengan kes buli di sekolah sejak sekian lama.

Sebagai ibu bapa, ini 6 perkara yang perlu anda tahu untuk mengelakkan anak daripada menjadi mangsa buli di sekolah.

buli di sekolah

Foto Kredit: dailypost.ng

Ajar Anak 6 Perkara Ini Supaya Tak Jadi Mangsa Buli Di Sekolah

Untuk mengelakkan seseorang daripada dibuli, tidak semestinya kita perlu mengajar anak ‘taekwondo’ atau seni pertahanan diri. Sebaliknya, ia banyak bergantung kepada membina keyakinan seseorang dan juga hubungan yang baik dalam ahli keluarga.

Ibu bapa boleh lakukan 6 perkara ini kepada anak-anak sejak kecil agar mereka tak mudah menjadi sasaran kaki pembuli.

1. Bina Hubungan Yang Kukuh

Antara tabiat yang selalu dipandang remeh adalah menjadi pendengar setia kepada anak-anak, tidak kiralah pada ketika apa pun. Biasanya, mangsa buli takut memberitahu ibu bapa adalah kerana mereka tidak mahu dimarahi, malu, atau takut.

Di sinilah pentingnya hubungan kekeluargaan yang erat dan saling menghormati antara satu sama lain. Dengan kepercayaan yang kukuh, tentu anak-anak akan bijak membuat keputusan dan percaya bahawa ibu bapa mampu membantu mereka untuk menyelesaikan masalah ini.

Family-Silhouette

2. Sentiasa Percayakan Ibu Bapa

Sekalipun anda terkejut, bimbang, atau risau, janganlah anda begitu mudah melahirkan reaksi yang melampau apabila anak memberitahu sesuatu perkara yang tidak dijangka.

Jika mereka dibuli contohnya, cuba dengarkan dan jangan tunjukkan sebarang ketidakselesaan supaya mereka dapat bercerita hingga habis. Kalau kita ‘over’ sangat, mungkin anak akan ‘tutup cerita’ dan tak sempat memberitahu kita bahagian yang sepatutnya diambil tindakan.

3. Galakkan Anak Meluahkan Perasaan

Bagi mereka yang meningkat remaja terutamanya, ramai yang bergelut dengan masalah krisis identiti. Sesetengah mangsa buli percaya bahawa mereka benar-benar bersalah atau patut dibuli kerana mereka ‘lemah’, ‘pelik’, ‘lembek’, atau ‘hodoh’. Ada juga yang bertindak agresif dan bertukar menjadi pembuli kepada adik-beradik mereka.

Dalam hal ini, anda perlu sentiasa ‘alert’ dan mengenal perilaku anak. Ambil tahu minat dan kecenderungannya – apa bahan bacaan yang biasa dibaca oleh mereka, bagaimana kehidupan media sosial mereka, siapa kawan-kawan mereka, apa lagu yang didengar oleh mereka. Semua ini boleh memberi petunjuk kepada emosi mereka.

Foto Kredit: excite.co.jp

Foto Kredit: excite.co.jp

4. Hadkan Penggunaan Gajet

Pastikan anak anda tidak terlalu selesa berseorangan dan menyendiri. Walaupun mereka kurang gemar bersosial, pastikan anak-anak memahami bahawa tabiat suka menyendiri ini akan menjadikan mereka lebih mudah menjadi ‘target’ kepada pembuli.

Antara perkara yang kita terlepas pandangan adalah dengan membiarkan anak terlalu asyik menonton TV dan gajet semasa di rumah. Tindakan ini sebenarnya mengehadkan komunikasi anak dengan dunia luar dan menjadikan mereka lebih selesa bersendiri. Sebaliknya, galakkan mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan, kelab di sekolah, atau luaskan hubungan sosial mereka dengan jiran setempat agar mereka dapat belajar bergaul dengan baik. Ibu ayah pun turut serta, ya!

buli di sekolah

Foto Kredit: verywell.com

5. Fokus Pada Kelebihan Anak

Jika diteliti, seseorang yang selalu dibuli biasanya mempunyai sikap rendah diri, tak suka melawan, pendiam, dan mungkin juga tak mempunyai ramai kawan. Untuk membina keyakinan mereka, salah satu strateginya adalah memupuk sifat konfiden dalam diri mereka.

Setiap anak mempunyai kelebihan atau sesuatu yang mereka suka lakukan. Contohnya, berenang, melukis, membaca, bercerita, atau bermain muzik. Dengan mengasah bakat atau minat ini, anak-anak akan lebih berkeyakinan terhadap diri sendiri. Ia juga dapat menjadi terapi yang terbaik untuk mereka refleksi diri dan bangkit daripada pembuli.

6. Pengetahuan Asas Tentang Keselamatan

Membuli bukan saja melibatkan keganasan fizikal, tetapi banyak lagi perlakuan buli yang boleh menjadikan seseorang sebagai mangsa buli di sekolah. Antaranya adalah ejekan melampau (verbal), gangguan seksual, dan terbaru sekali, cyber bullying.

Segala jenis tindakan ini sebenarnya menyumbang kepada tekanan perasaan dan ia bukanlah sesuatu yang boleh difahami oleh si anak tanpa bantuan orang dewasa.

Maka, ibu bapa perlu mengajarkan tindakan asas tentang keselamatan seperti:

  • Fizikal: Bahagian tubuh yang tak patut disentuh oleh orang lain, jenis sentuhan yang boleh diterima, aurat, dan sebagainya.
  • Emosi: Ejekan, pemulauan, dan penghinaan bukanlah sesuatu yang normal untuk dihadapi setiap hari. Ia patut dikongsikan tanpa rasa bersalah atau malu. Jangan menganggap ianya hal remeh apabila mereka diperlakukan sedemikian kerana ia mampu menjejaskan kesihatan mental anak.
  • Cyber bullying: Jika anak anda mendapat mesej-mesej berbaur ugutan, gangguan seksual, penyebaran fitnah dan sebarang bentuk pembulian secara berpanjangan, ketahuilah bahawa ianya adalah salah. Malah, tindakan undang-undang boleh dilaporkan kepada MyCert (Malaysian Computer Emergency Response Team) di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 serta Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
buli di sekolah

Foto Kredit: elplaneta.ws

Mangsa Buli Pun Boleh Menjadi Pembuli

Jika anak berterusan dibuli secara ‘senyap’ dan tidak meminta pertolongan, kebarangkalian untuk mereka menjadi pembuli adalah amat tinggi. Menurut ahli psikologi Dr Leslie Gutman menerusi The Guardian, sebuah kajian telah dijalankan di sekolah dan mendapati 90% daripada pembuli sebenarnya pernah dibuli. Mereka ini mengalami tekanan emosi yang tinggi, masalah identiti, bencikan sekolah dan terasa kurang kasih sayang.

Dalam keadaan yang mana pun, anak anda berhak untuk didengari. Anda boleh membantu anak anda untuk mengawal situasi tersebut dengan memperkasakan harga diri mereka sejak kecil lagi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×