Asuh

6 Sebab Anak Susah Tidur Siang Walaupun Dah ‘Cranky’ Sepanjang Hari

2.6K
reads

“Letihnya nak ‘berperang’ dengan si Jaja ni. Tengok muka tu dah memang mengantuk, sampai ‘mood’ pun dah tak betul. Tapi masih nak tahan mata. Kenapa anak susah tidur siang ya?”

Nak tidurkan anak bukanlah satu perkara yang mudah. Setiap anak pula, lain-lain karenahnya. Lebih-lebih lagi kalau kita banyak kerja yang nak diuruskan, masa itulah mereka buat perangai tak mahu tidur.

anak susah tidur siang

Foto Kredit: lifeasmama.com

Berapa Jamkah Sebenarnya Waktu Tidur Anak Yang Ideal?

Menurut pendapat ahli paediatrik melalui DoktorBudak.com, berikut adalah jumlah tidur ideal yang diperlukan oleh anak-anak termasuk waktu tidur siang.

  • Bawah 2 Bulan: 14-18 jam sehari
  • 3-11 Bulan: 12-16 jam sehari
  • 1-3 tahun: 12-14 jam sehari
  • 3-5 tahun: 11-13 jam sehari
  • 5-12 tahun: 10-11 jam sehari
  • 12-18 tahun: 8-9 jam sehari

Pada usia 2-3 tahun, biasanya anak akan tidur siang selama 1-3 jam. Pada umur 4 tahun nanti, hanya sekitar 50% anak yang masih meneruskan rutin tidur siang dan pada usia 5 tahun pula, hanya 30% anak saja yang masih tidur siang.

cara tidurkan bayi

Foto Kredit: qsota.com

6 Sebab Anak Susah Tidur Siang

Berikut adalah antara faktor yang menyebabkan anak susah tidur siang – sekalipun mereka nampak betul-betul memerlukannya!

1. Keadaan Sekeliling Nampak Menarik Buat Mereka

Mungkin anda baru mengeluarkan kerja yang perlu disiapkan. Mungkin anda sedang memakan sesuatu makanan yang tak pernah dilihat oleh mereka. Ini antara faktor yang menyebabkan otak mereka ligat berfikir dan ingin memuaskan rasa ingin tahu.

Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak, Karen Berberian, Ph.D, ia boleh diibaratkan seperti orang dewasa yang dipaksa tidur semasa membaca buku kegemaran atau menonton cerita bersiri. Susah juga, bukan?

2. Anak Terlalu Letih

Kalau kita suruh anak tidur siang terlalu awal, sah-sahlah mereka belum mengantuk. Tapi, kalau ianya dilewat-lewatkan, anak akan menjadi terlalu letih.

Kalau dah letih, mulalah mereka mengamuk dan berkelakuan ganjil. Mereka mungkin akan menjadi pemarah, menarik perhatian anda, menangis tanpa sebab yang diketahui. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka apabila nampak isyarat anak yang sudah mula mengantuk atau letih kerana apabila anak kecil dapat merasainya, ia sudah terlambat!

cara bersihkan gigi bayi

Foto Kredit: shutterstock.com

3. Rutin Tidak Konsisten

Salah satu perkara yang amat membantu anak kecil untuk menguruskan emosi dan juga jadual tidur anak adalah rutin yang tetap.

Dengan adanya rutin konsisten seperti; makan tengahari – mandi – membaca buku cerita – tidur siang, ia dapat membantu anak kecil terbiasa terhadap apa yang mereka perlu lakukan seterusnya. Ia juga akan membuat mereka berasa dalam ‘zon selesa’ tanpa berlakunya ‘pergelutan kuasa’.

4. Anda Terlalu Banyak Membantu

Walaupun anda menganggapnya sebagai rutin, tetapi perlu juga berpada-pada. Ada ibu bapa yang mengaku mereka terpaksa mendodoikan anak, menyanyikan lagu kegemaran mereka, membawa anak mereka naik kereta selama 30 minit, barulah anak tidur. Ada pula yang terpaksa ‘pura-pura tidur’ bersama anak dengan harapan mereka akan turut sama tidur siang. Bila bangun, tengok-tengok kita pula yang lelap!

Dalam hal ini, Deborah Givan, M.D, Pengarah di Children’s Sleep Disorders Center, Riley Children’s Hospital, Indianapolis, berpendapat bahawa rutin yang keterlaluan ini adalah tidak perlu. Ia bukan saja menyebabkan anda berdua letih dan ‘cranky’, malah ia juga boleh menghalang kebolehan anak untuk tidur sendiri.

cara asingkan tempat tidur anak

Foto Kredit: lockerdome.com

5. Sedang Mengalami Fasa Peralihan

Bayi yang baru lahir biasanya masih dalam proses beradaptasi dengan keadaan sekeliling yang baru. Anak yang sedang dalam proses bercerai lampin, bercerai susu, atau diasingkan tempat tidur / katil baru juga biasanya akan mengalami sedikit kesukaran untuk tidur pada waktu siang atau malam.

Selain itu, apabila anak semakin membesar, keperluan mereka untuk tidur siang semakin berkurang. Jika jumlah waktu tidur malam mereka mencukupi, mereka mungkin tak perlukan tidur siang lagi.

Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan menggalakkan aktiviti senyap seperti menulis, membaca atau mewarna. Atau, anda boleh awalkan waktu makan malam waktu tidur mereka supaya mereka tidak terlalu letih. Cuba rutin baru buat beberapa hari dan lihat kesesuaian mereka untuk meneruskannya.

6. Mereka Sedang Protes

Dalam usia sekitar 2-4 tahun, mereka mula berhadapan dengan isu ‘pergelutan kuasa’. Merujuk kepada laman web Parents.com, anak di usia ini mahu kelihatan bijak berdikari. Ini bermakna, mereka mahu cuba melakukan apa yang sebaliknya disuruh oleh ibu bapa.

Apabila dimarah, mereka akan berasa lebih teruk dan keinginan untuk memberontak juga bertambah. Maka, cuba fokuskan kembali kepada rutin dan beri peluang untuk mereka membuat pilihan mudah sebelum masuk tidur.

anak susah tidur siang

Foto Kredit: themilitarywifeandmom.com

Corak Tidur Setiap Anak Berbeza

Setiap anak itu unik dan berbeza corak tidurnya. Ia juga bergantung kepada aktiviti harian mereka. Kalau anda khuatir anak susah tidur siang, cuba perhatikan jumlah masa tidurnya dalam 24 jam. Kemungkinan besar, mereka sudah mendapat cukup tidur pada waktu malam dan tidak perlu lagi tidur siang.

Namun, sekiranya anak kelihatana letih dan ‘moody’, periksa semula jadual tidur mereka dan aturkan ia agar mereka dapat berehat pada waktu yang sesuai.

Yang Popular

To Top