Pernahkah anda mendengar tentang ‘busy book’ atau ‘quiet book’? Ia adalah salah satu jenis ‘buku’ yang mengandungi pelbagai aktiviti yang melibatkan sensori, penyelesaian masalah, permainan imaginasi, dan macam-macam lagi.
Oleh kerana ia tidak terhad kepada perkataan dan gambar, ia sangat bermanfaat terutamanya kepada anak kecil yang masih belum boleh membaca atau memahami cerita. Selain itu, ia juga boleh digunakan dengan efektif sebagai alat bantuan mengajar untuk anak-anak istimewa atau yang mempunyai masalah pembelajaran.
Secara umumnya, anak-anak yang mengalami autisme, sindrom Down, ‘speech delay’, atau masalah pembelajaran ini mempunyai banyak kelebihan dari segi visual berbanding verbal. Maka, aktiviti yang berunsur motorik seperti yang terdapat dalam ‘busy book’ amat sesuai untuk perkembangan komunikasi mereka.

Contoh busy book oleh edutoysworld
5 Kelebihan ‘Busy Book‘ Untuk Anak Istimewa & Bermasalah Pembelajaran
Berikut adalah 5 kelebihan ‘busy book’, terutamanya untuk anak istimewa atau yang mengalami masalah pembelajaran.
1. Merangsang Kebolehan Motorik
Kebolehan motorik boleh didapati melalui pelbagai aktiviti yang disediakan dalam ‘busy book’, bergantung kepada konsep pembuatnya atau permintaan anda.
Aktiviti seperti membutang, mengikat tali, mengikat rambut, atau menggerakkan objek dapat membantu anak-anak ini untuk memfokus dan sekaligus membantu melancarkan kemahiran menguruskan diri.
Dalam jangka masa panjang, kebolehan motorik juga mampu membantu anak-anak untuk melakukan aktivti yang lebih kompleks seperti menulis.

Foto Kredit: playathomemom.com
2. Mengenal Objek, Huruf, & Nombor
Melalui pemilihan warna yang menarik dan gambar yang comel, anak-anak akan mudah tertarik dan terasa ingin untuk menyentuh dan cuba bermain dengannya. Sambil mereka bermain, ibu bapa boleh mengambil peluang untuk memperkenalkan objek-objek yang terdapat dalam buku seperti nama haiwan, objek harian, anggota badan, huruf atau nombor secara santai.
Menurut penulis buku Speech and Language Development for Infants With Down Syndrome (0 to 5 Years), Sue Buckley, permainan yang melibatkan objek harian seperti ini bukan saja mampu merangsang daya ingatan mereka, tetapi juga membantu memahami dunia nyata serta membina kosa kata dalam memori mereka.

Busy book bertema islamik oleh Q Busybook
3. Lebih Fokus & Tenteram
Dalam kehidupan seharian mereka yang aktif, proses ‘membaca’ dan menyelesaikan masalah melalui proses bermain ini dapat memberi ruang ketenangan dan membantu mereka untuk lebih fokus.
Bagi anak yang hiperaktif dan sukar memberi perhatian contohnya, ‘quiet time’ dapat membantu mereka mendisiplinkan diri dan mendengar arahan, di samping merapatkan hubungan bersama keluarga.
4. Membina Keyakinan Berkomunikasi
Apabila anak berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan, mereka akan berasa lebih konfiden dengan kebolehan masing-masing.
Ibu bapa boleh membantu komunikasi anak dengan meningkatkan penggunaan perkataan mereka daripada 1 perkataan kepada 2 perkataan, bergantung kepada peringkat perkembangan mereka. Selain itu, praktikkan juga mengambil giliran kerana ia dapat menajamkan lagi kemahiran berkomunikasi pada anak istimewa dengan berkesan.

Foto Kredit: praxisvita.de
5. Menggalakkan Penerokaan & Penyelesaian Masalah
‘Busy book’ mempunyai tahap-tahap aktiviti yang boleh dilakukan sendirian atau dengan bantuan ibu bapa. Malah, ada juga aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama anak yang lain.
Selain menggalakkan kemahiran sosial, permainan menyelesaikan masalah yang terdapat dalam ‘busy book’ seperti suai padan, maze, atau menyusun gambar juga membantu anak mengetahui kesan dan akibat (cause-and-effect play) serta menjadikan mereka lebih cenderung meneroka.

Contoh halaman dalam busy book oleh My HomeSchool
Sesuai Untuk Semua!
Disebabkan keunikan ini, maka sebab itulah ‘busy book’ amat sesuai untuk dijadikan aktiviti harian dalam membantu perkembangan anak-anak istimewa mahupun yang normal. Ia boleh dibacakan di rumah dan mudah untuk dibawa ke mana-mana seperti ke restoran atau di dalam kenderaan. Ia juga merupakan alternatif yang baik untuk mengehadkan penggunaan gajet secara berlebihan.
Menariknya, ‘busy book’ ini boleh direka khas berdasarkan minat khusus anak anda seperti bertema dinosaur, kereta, ‘princess’, dan sebagainya. Dengan adanya tema sebegini, tentu mereka akan lebih sukakan buku dan lebih bersemangat untuk membaca setiap hari!
*Dengan kerjasama Malaysian Busy Book Society dan SirapLimau.com, lebih 18 buah ‘busy book’ buatan khas telah disalurkan kepada anak-anak istimewa ini melalui pusat-pusat berdaftar di seluruh Malaysia. Majlis penyerahan rasminya telah berlangsung di Excel Qhalif Learning Centre, Kajang, Selangor pada 18 November 2016.