Berat badan yang semakin bertambah bukan sahaja menyebabkan pakaian mula terasa sempit, malah perut membesar juga boleh membuatkan lelaki perasan perubahan pada bahagian sulit apabila penis kelihatan seperti semakin pendek.
Namun, adakah keadaan itu bermaksud penis benar-benar mengecil? Menurut Public Health Malaysia (PHM), tidak semestinya begitu.
PERUT MEMBESAR, PENIS NAMPAK SEMAKIN PENDEK?
Lemak bawah perut boleh ‘sembunyikan’ penis
Apabila seseorang lelaki mengalami obesiti, lemak boleh terkumpul di bahagian bawah abdomen dan kawasan atas kemaluan yang dikenali sebagai suprapubic fat pad.
Apabila lapisan lemak ini semakin tebal, ia boleh menutupi pangkal serta sebahagian batang penis.
Maksudnya, penis sebenarnya masih mempunyai saiz yang sama, cuma sebahagiannya terlindung di sebalik tisu dan lemak di sekeliling. Sebab itu panjang yang kelihatan dari luar boleh nampak semakin pendek.
Dalam keadaan yang lebih serius, situasi ini boleh menjadi Adult Acquired Buried Penis (AABP), iaitu keadaan apabila penis tersembunyi di dalam tisu sekeliling.
Keadaan tersebut bukan sekadar melibatkan penampilan kerana ia boleh menimbulkan beberapa masalah lain dalam kehidupan harian.
Bukan sekadar isu penampilan

Gambar PHM.
Apabila kawasan kemaluan semakin terlindung, kebersihan juga boleh menjadi lebih mencabar. Kawasan tersebut boleh menjadi lembap, mudah mengalami iritasi dan berisiko mengalami keradangan berulang.
Sesetengah lelaki turut berdepan masalah ketika membuang air kecil seperti aliran air kencing berselerak, menitis atau sukar diarahkan.
Fungsi seksual juga boleh terjejas dan keadaan ini berpotensi memberi kesan kepada keyakinan diri serta kualiti hidup.
Pada masa sama, obesiti lelaki mempunyai kaitan dengan kesihatan seksual dan reproduktif secara lebih menyeluruh. Ia boleh dikaitkan dengan masalah metabolik, erectile dysfunction, paras testosteron yang rendah bagi sesetengah lelaki serta kualiti sperma yang kurang baik.
Sebab itu, kesihatan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan angka pada penimbang semata-mata.
Jika mempunyai berat badan berlebihan, penurunan berat secara berperingkat, aktiviti fizikal yang konsisten dan pemakanan seimbang boleh membantu mengurangkan lemak di bahagian tersebut.
Bagaimanapun, AABP yang sudah teruk tidak semestinya dapat dipulihkan sepenuhnya hanya dengan menurunkan berat badan.
Jika penis semakin tersembunyi, sukar dibersihkan, kerap mengalami keradangan atau sudah mengganggu proses membuang air kecil dan fungsi seksual, pemeriksaan doktor adalah langkah yang wajar.
Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin merujuk pesakit kepada pakar urologi untuk penilaian lanjut.
Jadi, apabila perut semakin ke depan dan penis kelihatan semakin kecil, ia tidak semestinya bermaksud saiz penis benar-benar berubah.
Kadangkala, bahagian yang kelihatan itu sahaja yang semakin sedikit kerana sebahagiannya sudah terlindung oleh lemak di sekeliling.
Sumber: Public Health Malaysia

