Euforia Bola 2026
Sihat

Apa Itu Sulfur Dioksida? Sana Sini Orang Kongsi Gas Gunung Anak Krakatau Masuk Atmosfera Malaysia, Ini Jawapan MetMalaysia!

sulfur dioksida

Sana sini orang berkongsi mengenai dakwaan gas daripada letusan Gunung Anak Krakatau sudah memasuki ruang udara Malaysia. Kebimbangan itu turut membuatkan ramai tertanya-tanya tentang sulfur dioksida (SO₂), iaitu gas yang boleh menjejaskan mata dan saluran pernafasan jika dihidu pada kepekatan tertentu.

Baca juga: Jauh Dari Hospital, Mereka Tetap Datang… Ini Tugas Wira Senyap ‘Flying Doctor Service’ (FDA) Berkhidmat Di Pedalaman

APA ITU SULFUR DIOKSIDA & BETUL KE DAH MASUK RUANG UDARA MALAYSIA?

sulfur dioksida

Gambar AFP: Gunung Anak Krakatau.

Sulfur dioksida (SO₂) ialah gas pencemaran udara yang tidak berwarna dan mempunyai bau yang kuat, menyengat atau seperti telur busuk pada kepekatan tertentu.

Sumber utama:

  • Aktiviti gunung berapi
  • Pembakaran bahan api fosil (seperti arang batu dan minyak)
  • Proses industri tertentu

Kesan kepada kesihatan

Apabila dihidu, SO₂ boleh merengsakan saluran pernafasan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Antara kesan pendedahan SO₂ jangka pendek ialah:

  1. Pedih atau berair pada mata
  2. Iritasi hidung dan tekak
  3. Batuk
  4. Sesak nafas atau nafas berbunyi
  5. Rasa tidak selesa atau ketat pada dada

Jika mengalami sesak nafas yang teruk, sakit dada atau keadaan semakin membimbangkan, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Kenali pencemar udara. Lindungi kesihatan.

Baca juga: Jadi Hilang Ingatan & Susah Bercakap, Pelajar Cemerlang Antara 353 Mangsa Keracunan Makanan Di Sekolah!

MetMalaysia NAFI DAKWAAN GAS MASUK MALAYSIA

sulfur dioksida

Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip

Dakwaan bahawa gas sulfur dioksida daripada letusan Gunung Anak Krakatau telah memasuki atmosfera Malaysia adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan gas atau debu daripada letusan gunung berapi berkenaan telah memasuki Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan semasa, potensi gas itu untuk sampai ke Malaysia adalah rendah.

“Malah, sebaran debu lebih tertumpu di sekitar kawasan Selat Sunda dan wilayah berdekatan di Indonesia,” katanya kepada Buletin TV3.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan arah dan kelajuan angin, selain aktiviti letusan susulan, boleh mempengaruhi arah pergerakan debu terbabit.

Sehubungan itu, MetMalaysia akan terus memantau keadaan berkenaan menggunakan data satelit, analisis keadaan atmosfera serta maklumat daripada Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) global.

“Pemantauan itu bagi mengenal pasti sebarang potensi pergerakan debu gunung berapi ke ruang udara Malaysia.

“MetMalaysia turut memberi jaminan akan memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan keadaan itu kepada rakyat Malaysia dengan kadar segera,” katanya.

Sumber: Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching / Buletin TV3

FT Image: AFP / Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×