Enam buah sekolah di daerah Tebedu, Sarawak ditutup sementara bermula hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan melebihi paras 200 akibat keadaan jerebu.
Baca juga: Hebat! Wan Harriz Raih Tempat Pertama Hippo English Di Qatar.. Layak Ke World Final Itali!
6 SEKOLAH DI TEBEDU, SARAWAK DITUTUP AKIBAT KEADAAN JEREBU

Foto: Berita Harian
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), langkah itu diambil sebagai usaha pencegahan selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
Antara sekolah yang terlibat ialah:
- SK Sejijag (51 murid, 14 kakitangan)
- SK Sungai Sameran (129 murid, 21 kakitangan)
- SK Tepoi (42 murid, 15 kakitangan)
- SK Entubuh (67 murid, 18 kakitangan)
- SK Temong (205 murid, 21 kakitangan)
- SK Tema (85 murid, 15 kakitangan)
Pengetua & Guru Besar Boleh Tutup Sekolah Tanpa Arahan PPD

Foto: Berita Harian
JPNS turut memaklumkan bahawa pengetua dan guru besar tidak perlu menunggu arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS sekiranya bacaan IPU di kawasan masing-masing melebihi 200.
Tindakan itu adalah berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 yang menggariskan langkah-langkah bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu pada tahap kritikal.
Bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu, semua sekolah yang terlibat akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sepanjang tempoh penutupan.
Pihak sekolah juga diminta memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga berjalan lancar, selain memantau kebajikan serta kesihatan murid sepanjang tempoh tersebut.
JPNS Terus Pantau Perkembangan IPU
JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Dalam kenyataannya, JPNS menegaskan bahawa setiap sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut ketetapan KPM.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga disaran memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat serta sentiasa merujuk kepada makluman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Musim jerebu boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan, terutama kanak-kanak. Penutupan sekolah dan pelaksanaan PdPR merupakan langkah proaktif bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada udara tercemar. Orang ramai juga disarankan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka jika perlu, serta sentiasa mengikuti bacaan IPU dan arahan pihak berkuasa.
Baca juga: Tidak Potong Rambut Sejak 2015, Wanita Ini Raih Rekod Dunia Dengan Rambut Sepanjang 2.69 Meter!
Sumber: Berita Harian
