Seorang murid berusia 10 tahun dari Johor Bahru mencipta kejayaan membanggakan apabila mendapat tempat pertama pertandingan bahasa Inggeris Hippo English Without Borders di Doha, Qatar, sekali gus melayakkan diri ke peringkat World Final di Itali.
Baca juga: Tidak Potong Rambut Sejak 2015, Wanita Ini Raih Rekod Dunia Dengan Rambut Sepanjang 2.69 Meter!
WAN HARRIZ RAIH TEMPAT PERTAMA HIPPO ENGLISH DI DOHA, LAYAK KE WORLD FINAL

Foto: Threads @salihashastry
Wan Harriz Wan Abdul Qayyum dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara berjaya menduduki tempat pertama daripada 14 peserta yang mewakili tiga negara iaitu Malaysia, Arab Saudi dan Kyrgyzstan.
Kejayaan itu membolehkan Wan Harriz meneruskan perjuangan ke World Final di Spoleto, Itali, yang dijadualkan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober depan.
Ibunya berkata kejayaan berkenaan amat membanggakan, lebih-lebih lagi selepas anak sulung daripada tiga beradik itu melalui pelbagai cabaran sepanjang berada di Doha.
Menurutnya, Wan Harriz masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan influenza sebelum berlepas ke Qatar pada 2 Ogos lalu.
Malah, kunjungan itu menjadi pengalaman pertama Wan Harriz ke luar negara selain penerbangan pertamanya bagi menyertai pertandingan.
Menurut ibunya, segala urusan mereka dipermudahkan sebaik tiba di Qatar, malah turut menerima bantuan dan sokongan daripada rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.
Katanya, lagi pengalaman tersebut memberi keyakinan kepada anaknya untuk berdepan suasana pertandingan serta peserta dari pelbagai negara.
Lepasi kelayakan melibatkan 93,000 murid

Foto: Threads @salihashastry
Sebelum ini, Wan Harriz menjadi satu-satunya wakil SK Tasek Utara yang layak menyertai pertandingan bahasa Inggeris berkenaan di Qatar.
Lebih membanggakan, murid berkenaan berjaya melepasi dua pusingan kelayakan yang membabitkan kira-kira 93,000 murid dari seluruh dunia.
Sebelum pertandingan, Wan Harriz turut menyertai Hippo Summer Camp yang menyediakan kelas persiapan serta pelbagai aktiviti bersama peserta dari negara lain.
Selepas beberapa hari menjalani persiapan, dia menyertai Play-Off Qualifier Round pada 8 Ogos yang menggunakan format ujian bertulis, termasuk soalan terbuka dan silang kata.
Pusingan kelayakan itu berlangsung di tiga lokasi iaitu Doha, United Kingdom (UK) dan Romania.
Sebagai perbandingan, kategori Little Hippo di UK membabitkan 23 peserta dari enam negara, manakala pusingan Play-Off di Romania masih berlangsung ketika laporan berkenaan dibuat.
Kos jadi cabaran untuk ke Itali
Dalam pada itu, perjalanan Wan Harriz ke Qatar sebelum ini hampir tidak menjadi kenyataan apabila keluarganya berdepan kekangan kewangan.
Ibu dan bapanya yang bekerja sebagai pemandu bas, pada awalnya hampir membatalkan hasrat menghantar anak mereka ke Qatar.
Bagaimanapun, pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil inisiatif mengumpulkan dana bagi membantu menampung kos serta perbelanjaan Wan Harriz.
Kini, keluarga berkenaan perlu menguruskan dokumentasi dan persiapan baharu untuk membolehkan Wan Harriz bertanding di World Final di Itali.
Menurut ibunya, tempoh persiapan yang ada agak singkat dan kos perjalanan menjadi cabaran utama keluarga.
Mereka berharap mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, agensi berkaitan serta syarikat korporat menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi merealisasikan impian Wan Harriz.
Baca juga: Permohonan Ke IKSN Kini Dibuka Untuk Lepasan SPM..Asrama, Makan & Elaun Bulanan Disediakan!
Sumber: Harian Metro dan Threads @salihashastry
