Sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200 susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Ketetapan itu merupakan antara langkah pengurusan jerebu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan, terutama apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Baca juga: Tular Senarai ‘Top 10’ Universiti Awam Terbaik 2025, KPT Tampil Jelaskan Ini Bukan Data Rasmi!
KEADAAN JEREBU MEMBIMBANGKAN, SEKOLAH, TADIKA DAN TASKA DITUTUP JIKA IPU 200

Foto: Kosmo
Apabila bacaan IPU melebihi 100, keadaan udara dikategorikan sebagai tidak sihat dan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid perlu dihentikan.
Ini termasuk aktiviti sukan, Pendidikan Jasmani, perhimpunan dan program yang dijalankan di luar bangunan sekolah.
Pihak sekolah juga disarankan mengambil langkah bagi mengurangkan pendedahan murid kepada udara tercemar. Murid boleh dinasihatkan memakai pelitup muka yang sesuai serta minum air dengan kerap.
Dalam keadaan ini, sekolah masih beroperasi seperti biasa, namun aktiviti yang melibatkan pendedahan di luar bangunan perlu dihentikan.
Jika bacaan IPU melebihi 200, keadaan menjadi lebih serius apabila kualiti udara berada pada tahap sangat tidak sihat.
Pada tahap ini, sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta bagi mengelakkan murid dan kanak-kanak terus terdedah kepada pencemaran udara.
Pihak sekolah juga perlu memaklumkan tindakan penutupan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, khususnya ketika bacaan IPU menunjukkan trend peningkatan.
Institusi pendidikan juga perlu membuat persediaan lebih awal sekiranya bacaan IPU semakin menghampiri paras 200 supaya tindakan dapat diambil dengan segera apabila tahap pencemaran mencapai paras berkenaan.
Keadaan makin membimbangkan jika IPU melebihi 500

Foto: The Malaysian Medical Gazette
Lebih membimbangkan apabila bacaan IPU melebihi 500 kerana keadaan ini dikategorikan sebagai bahaya.
Sekolah akan ditutup sepenuhnya dan guru serta kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke sekolah.
Tindakan lebih ketat ini bertujuan mengutamakan keselamatan semua warga sekolah ketika kualiti udara berada pada tahap yang sangat berbahaya.
Ibu bapa juga perlu peka
Dalam situasi jerebu, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada udara tercemar untuk tempoh yang panjang.
Ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap kesihatan anak boleh mengambil langkah sewajarnya dengan tidak menghantar anak ke sekolah dan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
Pihak pentadbir sekolah pula perlu sentiasa memantau bacaan IPU melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) serta mengambil tindakan berdasarkan bacaan dan arahan semasa.
Sumber: Astro Awani dan Ecentral
