Seorang guru lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan selepas didakwa pukul ibu dan ketuk kepala muridnya menggunakan tongkat dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Pasir Mas, Kelantan.
Guru berusia 54 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada murid terbabit selepas wanita berkenaan mendakwa dipukul pada bahagian paha menggunakan tongkat ketika menghadiri sesi perbincangan di sekolah.
KETUK MURID DAN PUKUL IBU GUNA TONGKAT, GURU DITAHAN

Foto: Polis Diraja Malaysia
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.43 pagi, semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita terbabit menerima aduan daripada anaknya pada 11 Ogos bahawa murid itu telah diketuk pada bahagian kepala menggunakan tongkat oleh guru berkenaan ketika berada di sekolah, namun punca kejadian masih belum diketahui.
Susulan aduan itu, wanita tersebut memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah sebelum satu pertemuan diatur bersama guru besar pada 12 Ogos bagi mendapatkan penjelasan secara bersemuka.
Ibu Pula Dipukul Ketika Sesi Perbincangan

Foto: Sinar Harian
Bagaimanapun, ketika sesi perbincangan berlangsung di pejabat sekolah yang turut disaksikan oleh guru besar, guru lelaki terbabit didakwa bertindak di luar kawalan apabila tiba-tiba menengking sebelum memukul wanita berkenaan pada paha kanan menggunakan tongkat.
Menurut Mazlan, guru besar yang berada di lokasi kejadian turut terkejut dengan tindakan tersebut kerana tidak menjangkakan guru itu akan bertindak sedemikian.
Akibat kejadian itu, wanita terbabit dipercayai berasa takut sebelum segera meninggalkan pejabat sekolah.
Guru Direman Tiga Hari Bantu Siasatan
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Guru lelaki itu kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain serta menyerahkan sebarang pertikaian kepada saluran undang-undang yang betul.
Baca juga: 10 Perdana Menteri Malaysia, 10 Era Berbeza: Ini Gaya Kepimpinan Mereka Yang Tambat Hati Rakyat!
Sumber: Harian Metro
