Famili

8 Perbezaan Antara Travel Bujang Dan Ada Anak. Rasa Macam ‘Survivor’!

327
reads

“Seronoknya tengok gambar ‘holiday’ luar negara kawan-kawan. Aku ni, sejak habis berpantang 2 tahun lepas memang tak pernah pergi bercuti dengan anak selain balik kampung. Kalau bawa anak ke luar negara agaknya susah tak?”

Tidak dinafikan, pengalaman hidup semasa bujang amat berbeza selepas anda berkahwin, terutamanya bila dah ada anak. Begitu juga dengan pengalaman travel.

Kalau anda teragak-agak dan ingin membuat persediaan mental dan fizikal sebelum bercuti dengan anak, ini adalah 8 perbezaannya yang anda bakal lalui.

Foto Kredit: aklat.net

Foto Kredit: aklat.net

8 Perbezaan Antara Travel Bujang Dan Ada Anak

Mengikut pengalaman sendiri dan pemerhatian rakan-rakan, ini adalah 8 perbezaan yang paling ketara antara travel bujang vs bawa anak-anak. Lebih banyak ‘adventure’ sebenarnya!

1. Beg Anda Akan ‘Beranak-Pinak’

Kalau travel bujang, bawa yang minimum saja. Sehelai sepinggang pun tak kisah.

Bila ada anak, secara automatiknya, beg anda akan bertambah dan kebanyakannya adalah keperluan anak – mainan, baju, susu, ubat-ubatan, dan macam-macam barang yang anda takut tak dapat nak cari bila dah sampai di tempat baru. Proses saringan perlu berlangsung beberapa kali sebelum berangkat. ‘Stroller’ atau ‘baby carrier’, kedua-duanya amat berguna tetapi kedua-duanya menambahkan beban semasa travel. Yalah, nak diusung ke sana ke mari bukannya mudah.

Selain itu, elok juga kalau bawa beg lebih. Dekat sana pun macam-macam yang mungkin anda akan beli untuk anak!

Foto Kredit: pinterest.com

Foto Kredit: pinterest.com

2. Anda ‘Kenal’ Lebih Ramai Orang

Selama travel bujang, anda lebih dikenali sebagai seorang yang pemalu dan pendiam. Tapi bila bercuti dengan anak, anda tentu akan ‘kenal’ lebih ramai orang (lebih-lebih lagi jika anak anda seorang yang lincah, berani dan suka perhatian orang ramai).

Secara semulajadinya, anda akan menjadi lebih cepat mesra dengan orang sekeliling dan topik yang membuka perbualan biasanya adalah tentang anak.  Lagi satu, tentu akan muncul banyak insiden lucu atau mendebarkan yang menyebabkan anda ‘terpaksa’ juga berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Foto Kredit: i-w-t.org

Foto Kredit: i-w-t.org

3. Gambar Anak Lagi Banyak Daripada Gambar Tempat

Sebelum ada anak, biasanya kita akan luangkan masa yang banyak dan memang ‘target’ nak cari ‘view’ paling cantik untuk dijadikan kenangan dan menghias laman Instagram. Yalah, dah jalan jauh, mestilah nak ambil gambar cantik-cantik, bukan?

Masa dah ada anak, cita-cita ini masih wujud. Tapi walaupun dah berkobar-kobar, kesudahannya gambar anak-anak juga yang memenuhi kamera dan telefon bimbit anda. Itupun banyak yang bergerak, senget, tutup mata, dan senang kata tak jadilah. Kadang-kadang, terlalu seronok bermain dan melayan anak sampai lupa ambil gambar langsung!

bawa-anak-bercuti-4

4. Misi Mencari Air Panas

Ini salah satu rutin khusus bagi mereka yang kena buat susu, panaskan susu, dan nak buat makanan bayi. Terpaksa tebalkan muka nak tanya di ‘mini-mart’, restoran, atau kedai 24 jam yang biasanya jual kopi dan mee segera.

Memanglah orang kata bawa termos lagi senang, tapi kalau dah termos tertinggal atau terlalu besar nak angkut seharian, memang inilah misi yang akan kena lakukan. Kadang-kadang, termos di Malaysia pun ada yang tak tahan bila dibawa ke luar negara. Tahu-tahu air panas pun dah sejuk, terutamanya semasa musim ‘winter’.

tips memilih susu formula

Foto Kredit: tesco-baby.com

5. Kena Peka Dengan Lokasi Tandas

Salah satu lagi cabaran yang mungkin berbeza dengan orang travel bujang adalah keperluan terhadap tandas yang luarbiasa tahapnya.

Bukan nak menokok-tambah, tapi budak-budak biasanya bukannya boleh nak tahan kencing lama-lama macam orang dewasa. Paling geram, kita baru saja tanya 20 minit lepas dan mereka bermati-matian cakap tak mahu kencing. Sekarang cakap dah tak tahan pula!

Foto Kredit: lifehacker.com

Foto Kredit: lifehacker.com

6. Cabaran Waktu Makan

Semasa travel bujang, anda lebih suka makan apa saja yang dijual asalkan halal. Barulah ‘feel’ makan di negara orang, kan? Kemudian, kalau nak jimat, lepas itu bolehlah makan mee segera atau makanan yang tak terlalu mahal. Rasa makanan belakang kira, yang penting kenyang dan boleh teruskan perjalanan.

Berbeza kalau dah ada anak, ada cabarannya yang tersendiri. Kalau anak anda jenis cerewet, mungkin mereka tak mahu makan makanan yang tak pernah dimakan sebelum ini. Oleh itu, kenalah bawa bekalan sedikit dari rumah. Di restoran, makanan yang kelihatan sesuai untuk mereka pula agak mahal. Jadi, kenalah pandai-pandai rancangkan perbelanjaan dan bekalan anda.

Paling penting, jangan biarkan mereka kelaparan, nanti segala perancangan anda boleh tergendala!

7. Salji Bukanlah Seindah Yang Disangka

Orang Malaysia kalau ke luar negara memang ramai yang mencari salji. Tapi, kesejukan ini boleh memakan diri. Bayangkan, bila anak terpaksa memakai baju sejuk yang tebal – ia mungkin menyebabkan pergerakan mereka terbatas dan mereka akan meragam akibat tak selesa. Bukan itu saja, ia menyukarkan kita untuk mendukung mereka dan menggunakan ‘baby carrier’ akibat baju tebalnya itu. Apabila masuk ke dalam restoran atau kedai yang ada ‘heater’ kita pun kenalah lalui proses membuka pakaian anak-anak dan mengusungnya ke sana ke mari.

Saya sendiri pernah melakukan kesilapan yang sama semasa pertama kali bawa anak ke luar negara. Dalam musim sejuk, anak kecil amat sensitif sehingga saya menjadi amat letih menguruskan anak yang serba tak kena. Semangat nak main salji akhirnya terhapus begitu saja.

8. Keselamatan & Keselesaan Jadi Nombor 1

Bila dah ada anak, sepanjang masa perlu peka terhadap keperluan anak-anak. Oleh itu, jadual anda perlu fleksibel, realistik, dan perlu ada ‘plan B’. Kalau travel bujang dulu, penat-penat pun tak apa, sebab kita merasakan kita dah berbelanja wang yang banyak untuk sampai ke sana. Tapi, dengan anak-anak tak boleh begitu. Kalau mereka demam akibat keletihan, tentu kita juga yang akan lebih susah nanti.

Maka, jangan letakkan ‘expectation’ yang terlalu tinggi apabila melawati sesebuah tempat kerana mungkin anda tidak berkesempatan melawatinya atas sebab-sebab tertentu.

bercuti dengan anak

Foto Kredit: clipmass.com

Pengalaman Bercuti Dengan Anak Lebih Bermakna

Bercuti dengan anak sememangnya lebih sukar berbanding travel bujang dahulu. Walau apa pun, semua cabaran ini adalah normal dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelakkan daripada terus mengembara dan pergi bercuti dengan anak ke tempat-tempat menarik di dalam dan luar negara.

Semua karenah dan liku-liku inilah yang menjadikan perjalanan itu lebih bermakna dan terpahat dalam memori. Percayalah, anda mesti tak akan serik kerana anda seorang ‘survivor’!

Carian Yang Berkaitan:

  • video mom dan budak bujang
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Yang Popular

To Top