Sihat

Menyusu Badan Boleh Kurangkan Risiko Anak Demam Selepas Vaksin?

30
SHARES

Kalau orang dewasa pun kadang-kala ada yang dapat kesan sampingan selepas divaksin seperti berasa demam, inikan pula bayi kecil yang mempunyai sistem imun badan yang tidak kuat.

Berdasarkan hasil penyelidikan yang dijalankan di pusat vaksinasi di Naples, Itali, bayi yang mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif berkemungkinan kurang berisiko mengalami demam selepas vaksinasi berbanding mereka yang menyusu separa atau hanya menerima susu formula.

Baca juga: Jangan Risau Bila Anak Mudah Demam, Batuk & Selesema? Ini Penjelasan Pakar…

MENYUSU BADAN BOLEH KURANGKAN RISIKO ANAK DEMAM

American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan menyusu badan secara eksklusif ini diteruskan untuk 6 bulan pertama kehidupan bayi dan sekurang-kurangnya meneruskan penyusuan bagi tempoh setahun yang pertama.

Selain mengurangkan masalah sindrom kematian bayi mengejut (SIDS), obesiti, asma, diabetes dan beberapa kanser, menyusu anak juga menurunkan risiko si manja untuk mendapat jangkitan telinga, jangkitan saluran pernafasan dan beberapa penyakit berjangkit lain.

Dalam kajian tersebut, bayi diberikan dos 1 atau 2 suntikan imunisasi 6 dalam 1 untuk mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Hepatitis B dan jangkitan Haemophilus influenzae jenis b bersama vaksin untuk melawan pneumokokus meningitis.

Para ibu diajar cara mengambil suhu secara rektal dan perlu mengukur suhu pada waktu malam selepas suntikan selama 3 hari.

Daripada 460 bayi, peratusan jumlah bayi yang demam adalah seperti berikut:

  • 25% bayi yang diberikan susu ibu secara eksklusif
  • 31% bayi menyusu separa
  • 53% bayi yang diberikan susu formula

Kesan perlindungan menyusu anak turut mengambil kira faktor risiko lain untuk demam seperti dos vaksin, ibu merokok, tahap pendidikan ibu dan kehadiran anak lain dalam rumah.

Dapat disimpulkan bahawa bayi yang mendapat susu ibu secara eksklusif kurang berisiko mengalami demam selepas vaksinasi berdasarkan kajian yang telah dilakukan ini.

FAKTOR MENYUSU ANAK MENGURANGKAN RISIKO DEMAM 

Walau bagaimanapun, bagaimana menyusukan anak secara eksklusif dapat mengurangkan kemungkinan si manja mengalami demam selepas suntikan adalah tidak jelas. Tetapi ia dipercayai kerana kandungan bahan antiradang tertentu dalam susu ibu yang berpotensi mengurangkan risiko demam tersebut.

Terdapat data dan penyelidikan menunjukkan antibodi ibu dipindahkan semasa penyusuan susu badan dan boleh melindungi si manja daripada jangkitan virus.

Ia juga mungkin disebabkan fakta bahawa bayi yang menyusu badan kurang berkemungkinan menolak penyusuan apabila tidak sihat kerana ia memberikan mereka keselesaan semasa sakit.

Umumnya, suntikan imunisasi boleh menimbulkan traumatik untuk bayi dan proses penyusuan dapat mengurangkan ketidakselesaan yang dialami. Lebih baik lagi, menyusu anak juga meningkatkan keberkesanan imunisasi pada bayi.

JENIS-JENIS SUNTIKAN IMUNISASI DIPERLUKAN BAYI

Setelah mendapati penyusuan susu badan dapat meringankan komplikasi vaksin, jadi mari ambil maklum jenis vaksin yang wajib diambil si manja di Malaysia di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan fungsinya, seperti:

1. BCG

  • Tuberkulosis (TB) – Merupakan penyakit menular dan boleh membawa maut. Tanpa suntikan imunisasi ini, si kecil berisiko untuk mengalami kerosakan paru-paru, meningitis TB dan penyakit tulang.

2. DTAP

  • Difteria – Boleh menyebabkan penyumbatan saluran udara dan boleh mengakibatkan kerosakan jantung dan otak.
  • Pertussis (Batuk berterusan) – Batuk yang teruk dan berpanjangan yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan otak.
  • Tetanus (Lockjaw) – Kekejangan otot yang teruk yang boleh menyebabkan kematian.

3. POLIO

  • Poliomyelitis (Polio) – Kelemahan otot kekal yang boleh menyebabkan kelumpuhan, terutama pada kaki.

4. MMR

  • Campak – Sangat berjangkit, dicirikan oleh demam, batuk, hidung berair dan ruam. Keadaan boleh bertambah teruk dengan masalah radang paru-paru, ensefalitis dan otitis media (jangkitan telinga tengah).
  • Beguk – Sangat berjangkit, menyebabkan pembengkakan kelenjar di belakang rahang. Boleh mengakibatkan keradangan testis sehingga menyebabkan kemandulan.
  • Rubella (campak Jerman) – Boleh disebarkan oleh wanita hamil ke bayi dalam kandungan, yang mengakibatkan sindrom rubella kongenital.

5. HEPATITIS B

  • Berpunca daripada virus hepatitis B yang menyebabkan hati menjadi bengkak (radang). Bagi sesetengah individu, virus boleh tinggal di dalam tubuh untuk tempoh lama dan mengakibatkan masalah hati serius termasuklah kanser hati.

6. HAEMOPHILUS INFLUENZAE JENIS B

  • Sering disebut sebagai Hib – jangkitan bakteria serius dan boleh menyebabkan meningitis, keradangan pada penutup luar otak.

Jika si manja tidak mendapat suntikan imunisasi ini, mereka berisiko mengalami kerosakan otak, pekak, epilepsi atau separa buta. Ia juga boleh menyebabkan keradangan dan bengkak tekak, kesukaran menelan dan bernafas serta jangkitan yang boleh menjejaskan bahagian tubuh lain seperti darah, paru-paru, kulit, tulang dan sendi.

Jadi berdasarkan penyelidikan tersebut, ibu-ibu amat digalakkan untuk menyusukan si manja selepas vaksin bagi mengurangkan risiko mereka mengalami demam.

Sumber: Hello Doktor 

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×