Sihat

7 Makanan Dengan Kalsium Lebih Tinggi Berbanding Susu. Kalau Loya, Cubalah!

550
SHARES

“Sejak mengandung ni, nurse asyik cakap kena banyak makan kalsium. Dahlah tadi check darah rendah. Ish, loya-loya ni aku tak boleh nak minum susu. Apa nak buat?”

Pengambilan kalsium yang mencukupi adalah penting bagi setiap individu, tak kiralah kanak-kanak, dewasa mahupun warga emas, apatah lagi bagi ibu hamil.

Ini kerana kalsium membantu fungsi otot, meregulasikan denyutan jantung dan isyarat pada saraf, mencegah darah beku dan menghindarkan osteoporosis apabila semakin bertambah usia.

Tidak dinafikan bahawa susu adalah antara sumber kalsium yang baik kerana terdapat kira-kira 305mg kalsium dalam segelas susu. Namun tahukah anda sebenarnya terdapat pelbagai lagi sumber kalsium yang boleh anda dapatkan melalui makanan lain. Bahkan, banyak juga makanan yang mempunyai nilai kalsium yang lebih tinggi berbanding segelas susu.

7 Makanan Yang Mempunyai Kalsium Lebih Tinggi Berbanding Susu

Berikut adalah senarai makanan yang memiliki kandungan kalsium yang lebih tinggi berbanding segelas susu.

1. Kacang Kuda

Nampak macam snek biasa, tapi siapa sangka kacang kuda ini merupakan salah satu makanan yang tinggi kalsium. Menurut sumber artikel NDTV, 1 setengah cawan kacang kuda atau chickpeas mengandungi 315mg kalsium. Malah, ia juga adalah sumber protein dan serat yang baik.

Kalau susah nak jumpa kacang kuda yang dijual oleh penjaja, rebus saja kacang ini sendiri di rumah. Kebersihan pun lebih terjamin.

2. Kebanyakan Sayuran Berdaun Hijau

Banyak jenis sayuran hijau yang boleh anda pilih di pasar raya di Malaysia. Tak kiralah bayam, bok choy, sawi, kangkung, salad dan sebagainya – semua ini merupakan makanan tinggi kalsium.

Sepinggan sayuran hijau ini memiliki jumlah kalsium yang setanding dengan segelas susu. Anda boleh mengambilnya sebagai sup, salad atau dikisar bersama buah-buahan sebagai smoothie. Sedap!

Basuh bersih-bersih dulu sebelum masak

3. Kacang Badam (Almond)

Satu lagi snek yang baik untuk mereka yang tengah diet ialah badam. Tahukah anda, 3/4 cawan almond ini boleh memberi kita 320mg kalsium untuk keperluan tubuh.

Selain kalsium, ia juga kaya dengan serat dan Vitamin E.

4. Chia Seed

Bagi yang kerap loya nak minum susu, bolehlah cuba mendapatkannya melalui chia seed sebab bijian ini tawar saja rasanya. Teksturnya pun halus dan boleh ditaburkan saja ke dalam makanan anda.

Walaupun kecil, 100g chia seed mengandungi lebih kurang 631mg kalsium. Ini bermaksud, 3 sudu makan chia seed sudahpun melebihi jumlah kalsium yang terkandung dalam segelas susu.

Foto Kredit: juicingforhealth.com

5. Ikan Sardin

Satu hidangan 3oz ikan sardin akan memberi anda 370mg kalsium untuk keperluan harian. Ikan ini juga merupakan sumber Omega-3 dan vitamin D yang baik.

Seeloknya makanlah ikan sardin yang segar ya!

makanan tinggi kalsium

Foto Kredit: youtube.com

6. Buah Tin

Bagi yang inginkan snek manis, kunyahlah buah tin kering (dried figs) untuk mendapatkan keperluan kalsium harian anda. Ini kerana, secawan setengah buah tin kering ini mengandungi 320mg kalsium. Ia juga terkenal sebagai pelawas yang amat membantu melegakan sembelit.

7. Tofu / Tauhu

Tofu adalah sumber kalsium yang sangat baik. Secawan tofu cukup memberi kita keperluan kalsium yang lebih tinggi berbanding segelas susu.

Masaklah tofu bersama sayuran dan ia akan menjadi sup yang sangat berkhasiat buat anda dan seisi keluarga!

Rupanya Banyak Sumber Kalsium Daripada Pelbagai Jenis Makanan

Jadi, buat anda tak berapa suka meminum susu, jangan risau sebab ada banyak lagi makanan yang boleh anda ambil untuk melengkapi keperluan kalsium harian.

Pengambilan makanan bervitamin, terutamanya vitamin D juga dapat membantu dalam meningkatkan penyerapan kalsium oleh tubuh dengan berkesan. Di samping itu, amalkan cara hidup sihat dengan bersenam dan jangan lupa minum air secukupnya.

 

*Rujukan: NDTV, Women’s Health Mag, Reader’s Digest

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×