Sihat

Lepas 2 Tahun Kena ‘Stop’. Ini 7 Risiko Kalau Lengah Ajar Anak Cerai Botol Susu

1.9K
SHARES

“Rasanya dah nak kena ajar Aiman cerai botol susu tak lama lagi. Tapi kesian pulak tengok dia… Umur baru 2 tahun.”

Kalau nak ikutkan, taklah pelik mana pun nampak budak 3-4 tahun hisap botol susu. Kadang-kadang, sesetengah ibu yang baru nak cerai susu badan pun akan perkenalkan anak dengan botol susu dan susu formula sebagai menggantikan susu ibu. Jadi, macam mana nak berhenti hisap botol susu pada usia 2 tahun?

Pemberian susu formula bukanlah masalahnya, tetapi pemberian TERLALU BANYAK susu formula itulah yang boleh membawa pelbagai masalah kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Selain itu, penggunaan botol susu yang terlalu lama juga membangkitkan beberapa isu termasuklah kesihatan anak.

7 Risiko Penggunaan Botol Susu Pada Anak Melebihi 2 Tahun

1. Kerosakan Gigi

Antara kesan langsung yang paling membimbangkan akibat penggunaan botol susu yang terlalu lama adalah isu kesihatan gigi. Terdapat 2 masalah yang ingin ditekankan iaitu

i) Menjejaskan pertumbuhan gigi 

Seperti yang boleh dirujuk dalam rajah, rahang dan gigi anak yang sedang terbentuk boleh terganggu akibat penggunaan botol susu yang berpanjangan. Gigi boleh teralih tempatnya dan gusi juga boleh mengalami keradangan akibat tabiat ini. Malangnya, masih ramai yang berkata “Ala, aku dulu pun hisap botol sampai 5 tahun. Tak jongang pun!”

ii) Menyebabkan Kaviti

Berbanding minum melalui cawan, penggunaan botol susu menyebabkan cecair terkumpul lebih lama di dalam mulut. Lebih teruk lagi jika ibu bapa membiasakan meletak minuman manis seperti jus, air coklat, teh, atau kordial dan diberi kepada anak di dalam botol susu. Jika anak dibiarkan tidur malam dengan menghisap botol susu, badan mereka akan memproduksikan kurang saliva (air liur) yang berfungsi membersihkan sisa makanan semasa tidur.

Seperkara lagi, kita cenderung memberi kuantiti yang lebih banyak apabila minuman diletakkan di dalam botol susu berbanding yang dihidangkan di dalam cawan.

Foto Kredit: webmd.com

2. Anak Jadi ‘Malas’ Nak Makan

Meminum daripada botol susu hanya memerlukan proses menelan dan ia adalah berbeza daripada proses yang terlibat dalam memakan ‘solid food’. Bila dah terlalu biasa kenyang dengan cara ini, anak kecil mungkin tak berminat nak makan makanan sebenar sebab ianya lebih menyukarkan.

Ada sebab kenapa anak anda perlu diperkenalkan dengan makanan tambahan apabila berusia 6 bulan. Menurut BabyCentre, tindakan mengunyah makanan adalah penting untuk menguatkan otot rahang bayi. Otot ini bukan saja membantunya makan dengan baik, tetapi bayi juga akan menggunakan otot ini untuk membantunya bercakap.

3. Kurang Nutrisi Daripada Makanan ‘Sebenar’

Walaupun susu boleh mengenyangkan, tapi kita kena faham bahawa susu bukanlah pengganti nutrisi bagi makanan ‘sebenar’.

Anak yang terlalu banyak minum susu mungkin akan tetap berisi atau tidak mengalami masalah berat badan, namun tubuh mereka tidak berpeluang menyerap kepelbagaian nutrisi yang diperlukan oleh tubuh.

bayi susah makan

Foto Kredit: bebegimlemutluyum.com

4. Suka Memilih & Makan Tak Ikut Waktu

Bila asyik kenyang dengan susu, kuranglah jenis makanan yang mahu dicuba oleh anak. Akibatnya, anak sukar menerima rasa baru dalam makanan. Ini merupakan antara punca awal seseorang menjadi ‘picky eater’ atau suka memilih makanan.

Seeloknya anak kecil turut serta semasa makan bersama keluarga. Jadual makan yang tetap tentunya akan memudahkan anda untuk menyediakan makanan dan membiasakan anak dengan rutin. Maka tak adalah kita pening bila anak mengadu lapar dan mengamuk tak tentu pasal, lebih-lebih lagi bila kita baru habis makan dan dah mula sibuk membuat kerja lain.

Foto Kredit: Today In Fort Smith

5. Kembung Perut

Selalunya anak yang berumur 2 tahun dah boleh pegang botol susu mereka sendiri. Segelintir daripada mereka ini sering dilihat ke hulu ke hilir dengan botol susu walaupun susunya dah habis. Bukan apa, saja suka nak menghisap putingnya, bukan?

Inilah yang boleh menjadi salah satu sebab kembung perut yang kita tak perasan. Bila dah kembung, susahlah ibu ayah sebab si anak pula akan meragam dan menangis.

Foto Kredit: livestrong.com

6. Masalah Penyusuan Di Waktu Malam

Melatih rutin tidur yang baik pada bayi boleh dilakukan seawal usia. Sungguhpun setiap bayi berbeza, namun secara umumnya kekerapa penyusuan pada waktu malam sepatutnya berkurangan seiring dengan usianya.

Menurut Baby Sleep Site, berikut adalah penyusuan waktu malam yang ideal bagi bayi:

• 0-3 Bulan: Setiap 2-3 jam / bergantung kepada keperluan bayi
• 3-4 Bulan: Setiap 2-3 jam atau 3-6 jam / bergantung kepada keperluan bayi
• 5-6 Bulan: 1-2 kali setiap malam
• 7-9 Bulan: 1 atau 2 kali setiap malam
• 10-12 Bulan: Kadangkala 1 kali setiap malam
• 12 Bulan Ke Atas: Umumnya tidak perlu menyusu pada waktu malam

Jadi, anak yang berusia 2 tahun ke atas selalunya tidak lagi memerlukan susu pada waktu malam. Namun jika si anak kurang makan pada waktu siang, dia mungkin akan berasa lapar dan mahu meminum susu pada waktu malam. Secara tidak langsung, ini akan mengganggu waktu tidur anak serta rutin tidurnya.

Foto Kredit: shutterstock.com

7. Makin Lama, Makin Susah Berhenti

Sebagai ibu bapa, sudah tentu proses bercerai botol susu mengambil masa dan melecehkan. Dalam tempoh ini, kita puas dengar anak menangis, penat nak memujuk anak makan atau asyik berkepit 24 jam dengan kita.

Apapun, percayalah bahawa proses ini hanyalah sementara. pada usia 2 tahun, anda dah boleh perlahan-lahan ‘wean off’ atau mengurangkan penggunaan botol susu dengan menarik perhatiannya terhadap benda-benda lain sepertinya mengajaknya mengeksplorasi makanan atau bermain.

Anda mungkin ingat nanti bila anak besar mereka akan faham dan dapat bercerai botol susu dengan sendirinya. Tapi sebenarnya, lebih lama anda bertangguh, lebih ‘liat’lah anak nak bercerai dengan botol susu kesayangannya.

Foto Kredit: lifehealth.com

Guna ‘Sippy Cup’ Lebih Baik

Dalam usia 1-2 tahun, ibu-ibu sudah boleh memperkenalkan ‘sippy cup’ atau cawan yang khas untuk anak sebagai alternatif kepada penggunaan botol susu sebelum mereka menjadi terlalu ‘sayang’ pada botol susu.

Memang mencabar nak ajar anak berhenti minum botol susu, tapi percayalah bahawa usaha anda akan mendatangkan pelbagai manfaat buatnya. Ibu-ibu kena ‘kental’ ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×