Suami Isteri

Hukum Lafaz Talak Melalui Whatsapp, Jadilah ‘Gentleman’ Untuk Lafaz Secara Berdepan!

talak melalui whatsapp

“Hari ni nak berdrama la dengan isteri, nak lafaz talak melalui Whatsapp. Mesti kalut dibuatnya bila aku main-main ni..”

Bergurau dengan isteri tersayang merupakan amalan yang sangat disarankan dalam perkahwinan untuk memupuk kasih sayang. Tapi, yang salahnya adalah topik yang dijadikan gurauan tersebut adalah mengenai hukum hakam penceraian rumah tangga. Ini termasuk situasi apabila kononnya ‘berdrama’ dengan isteri dan melafazkan talak cerai kepada mereka ataupun memang mempunyai niat untuk bercerai melalui Whatsapp.

Disangkakan bahawa perkara ini tidak sah, namun luar pengetahuan kita apa yang dilakukan masih samar-samar tentang hukumnya.

Baca juga: Ada Ramai Peminat Tapi Bukan Senang-Senang Je Janda Boleh Kahwin Tanpa Wali, Ini Hukumnya

HUKUM LAFAZ TALAK MELALUI WHATSAPP, JATUH ATAU TIDAK?

talak melalui whatsapp

“Apakah hukum menceraikan isteri dengan menggunakan aplikasi whatsapp dengan sangkaan isteri telah berzina dengan lelaki lain?”

Menjawab persoalan bagi situasi di atas, pihak Mufti Wilayah WP mejelaskan terlebih dahulu berkaitan dengan lafaz talak ini. Untuk pengetahuan anda, talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat.

Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Jadi, berhati-hatilah kerana perkara ini bukan boleh dibawa main-main!

Ini berdasarkan sebuah hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.” [Riwayat Abu Daud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)]

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” [Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263]

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” [Lihat: Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264]

SAH DISERTAKAN DENGAN NIAT

talak melalui whatsapp

Jadi,menurut mufti, lafaz cerai tersebut termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya sarih. Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.

Tambahan pula, dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah. Talak seperti ini tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya.

Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta. Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.

Begitu juga apabila si suami menyatakan jika benar isteri itu melakukan perbuatan (zina) tersebut maka barulah talak itu jatuh, maka sahlah ta’liq itu apabila perkara yang dita’liqkan itu berlaku. Akan tetapi, pihak Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan meminta agar setiap pasangan yang diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas ini perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah berdekatan dengan rumahnya di negeri yang didiami apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

*Jadi, jangan main-main berdrama seperti Sinetron kalau berkaitan hal penceraian. Tak pasal-pasal kehilangan isteri tersayang hanya kerana khilaf sendiri..

Sumber: Mufti WP

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×