40 Minggu

7 Perkara Tentang Epidural Semasa Bersalin, Ibu Hamil Perlu Tahu

1.1K
reads
epidural semasa bersalin

“Alahai ngerinya aku tengok jarum suntikan epidural semasa bersalin tu. Bukan main besar, dahlah dicucuk ke tulang belakang. Tak bahaya ke? Tapi, artis-artis pakai ok je. Kawan aku pun kata lagi seronok sebab tak rasa sakit. Betul ke?”

Epidural adalah salah satu alternatif penahan sakit semasa bersalin yang semakin popular. Antara artis yang telah menggunakannya termasuklah Rozita Che Wan dan Scha Al-Yahya.

Umumnya kita tahu bahawa epidural semasa bersalin adalah selamat untuk digunakan. Namun, masih ramai wanita yang masih teragak-agak untuk mengambilnya.

Foto Kredit: healthcareworkersalary.com

Foto Kredit: healthcareworkersalary.com

7 Perkara Tentang Epidural Semasa Bersalin, Ibu Hamil Perlu Tahu

Berikut adalah sekilas fakta tentang epidural semasa bersalin yang perlu difahami oleh ibu mengandung.

1. Bagaimana epidural berfungsi menghalang kesakitan?

Ubat penahan sakit ini akan disuntik ke dalam belakang anda (ruang epidural) melalui tiub epidural.

Dr Mahamarowi menjelaskan bahawa suntikan ini menyebabkan rangsangan kesakitan daripada rahim yang mengecut ini tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan.

Maka, ibu-ibu tidak akan merasai kesakitan yang amat sangat melainkan rasa sedikit senak akibat pengecutan rahim.

Walaubagaimanapun, saraf otot masih lagi berfungsi supaya ibu mampu meneran sewaktu melahirkan. Maksudnya, kalau kita menyentuh peha, sentuhan itu boleh dirasai tetapi tekanan sentuhan itulah yang tak dapat dirasakan.

2. Apakah kelebihan menggunakan epidural semasa bersalin?

Penggunaan epidural semasa bersalin dapat mengurangkan kesakitan melampau yang amat berkesan dalam masa yang pantas. Dalam keadaan yang lebih tenang, ibu dapat mendengar arahan doktor dengan baik dan memudahkan proses bersalin.

Tanpa stres, ibu juga menjadikan ibu lebih bertenaga untuk meneran bayi keluar apabila pintu rahim terbuka sepenuhnya.

Malah, ibu-ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi atau pre-eclampsia, mereka amat digalakkan bersalin melalui kaedah ini kerana ia dapat menurunkan tekanan darah.

Walaubagaimanapun, kadangkala, kurangnya rasa sakit ini mungkin akan memberi kesan kepada proses meneran lalu memperlahankan proses kelahiran.

proses bersalin

Foto Kredit: nymag.com

3. Adakah ia akan berasa sakit?

Ramai yang berasa ngeri dengan suntikan, lebih-lebih lagi di tulang belakang.

Namun, anda tidak perlu risau kerana sebelum disuntik, anda akan terlebih dahulu dibius dengan jarum halus.

Setelah mendapatkan suntikan ini, epidural akan mula memainkan peranan dalam masa kira-kira 10 minit, seperti yang dinyatakan oleh Dr Mahamarowi melalui dalam Utusan Malaysia.

Foto Kredit: verywell.com

Foto Kredit: verywell.com

4. Bilakah boleh mengambil epidural semasa bersalin?

Kebanyakan wanita akan meminta suntikan ini apabila bukaan serviks telah mencapai 5-6 cm di mana kontraksi sudah semakin kuat.

Setelah mendapat suntikan epidural, ianya akan kekal sehingga selepas bayi dilahirkan. Maka, ia turut memberi rasa kebas sekiranya terdapat jahitan yang perlu disempurnakan.

Foto Kredit: pressa.tv

Foto Kredit: pressa.tv

5. Adakah kesan sampingan terhadap bayi?

Menurut Babycenter, larutan epidural ini mengandungi opiod, fentanil, atau ubatan lain yang boleh memasuki plasenta. Komplikasi terhadap bayi jarang berlaku, namun kesan sampingan yang ringan antaranya adalah rasa mengantuk.

Dalam dos yang besar, ia mungkin juga dapat menjejaskan sedikit pernafasan bayi anda atau menurunkan tekanan darah anda secara tiba-tiba.

Walaubagaimanapun, kesan sampingan ini berbeza mengikut keadaan dan individu.

minum ar gula semasa hamil

Foto Kredit: metro.co.uk

6. Apakah kesannya selepas bersalin?

Sesetengah wanita juga akan mengalami kenaikan suhu badan dan mungkin mengalami sedikit demam sebelum melahirkan bayi.

Selepas bersalin, umumnya wanita akan mengalami sakit kepala atau sedikit mual. Namun, mereka berasa lebih bertenaga dan seronok. Oleh kerana masih bertenaga, ramai juga yang mengalami kurang jahitan kerana mampu meneran dengan baik.

Selain itu, Dr Sharifah Halmiah menjelaskan ada yang mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan mungkin memerlukan kateter untuk mengosongkan pundi kencing anda.

Dakwaan yang mengatakan wanita lumpuh atau sakit belakang kronik selepas bersalin adalah tidak berasas dan tidak mempunyai bukti yang jelas dan mungkin berpunca daripada perkara lain.

bersalin normal atau pembedahan

Foto Kredit: medvoice.ru

7. Adakah epidural selamat untuk semua wanita?

Secara umumnya, epidural semasa bersalin adalah selamat untuk digunakan, terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan, wanita yang telah diberi induksi Pitocin (induce untuk mempercepatkan kelahiran), serta wanita yang sering mengalami senggugut teruk ketika haid.

Namun, ada wanita yang tidak boleh menerima epidural kerana mereka mempunyai bilangan platelet rendah, mengalami sejarah pendarahan cair (coagulopathy), mempunyai jangkitan belakang badan, jangkitan darah, atau mereka yang belum mencapai bukaan serviks sebanyak 4 cm.

epidural semasa bersalin

Foto Kredit: verywell.com

Berbincang Dengan Doktor Anda

Walau apa pun keputusan anda, setiap wanita berhak memutuskan cara terbaik untuk mereka melahirkan bayi. Kos epidural adalah sekitar RM 500-RM800 di hospital swasta, dan lebih murah di hospital kerajaan.

Setiap individu mempunyai tahap ketahanan yang berbeza dan reaksi terhadap epidural ini mungkin tidak sama antara satu sama lain.

Oleh itu, pastikan anda berbincang dengan doktor anda agar mengetahui kesesuaian mengambil epidural semasa bersalin.

Untuk membaca pengalaman ibu-ibu yang telah menggunakan epidural, klik sini.

Yang Popular

To Top