“Abang, Syifa asyik tergaru-garu je dari tadi. Macam mana nak tidur? Dahlah garu kuat-kuat, sampai luka dan bercalar-calar telinga tu. Tengok, belakang kepala ni pun sama. Kenapa dia buat macam tu? Gatal sangat ke apa?”
Memang rimas bila tengok bayi kita asyik menarik atau menggaru telinganya. Malahan lebih teruk lagi kalau si kecil mencakar pula telinga dan kepala, kadangkala sampai ada kesan calar atau berdarah. Dibuatnya waktu tengah malam, rasa geram pun ada sebab asyik meragam dan mengganggu tidurnya. Rasa nak ikat je tangan dia tu!
Apapun, sebagai ibu ayah tentu kita risau dan puas memerhatikan telinga anak. Manalah tahu ada apa-apa.
Jika ini berlaku pada anda, ada beberapa kemungkinan yang sedang dialami oleh bayi anda.
Asyik Garu Telinga Sampai Luka, Ini 6 Perkara Bayi Cuba Beritahu Mama
Berikut adalah antara mesej yang cuba diberitahu oleh bayi anda yang asyik menarik dan menggaru telinganya.
1. ‘Rimasnya nak tumbuh gigi…!”
Sebenarnya bukan mudah nak tahu sama ada bayi nak tumbuh gigi atau tidak sebab proses ini bukannya berlaku dalam masa semalaman. Namun, salah satu simptom bayi yang sedang teething adalah rasa tidak selesa pada saraf giginya. Ketidakselesaan ini boleh berpindah ke bahagian salur telinga dan sebab itulah bayi akan menarik, menggosok atau menggaru telinga untuk membuatnya berasa lega.
Lain-lain simptom yang boleh menandakan bayi yang dalam proses tumbuh gigi adalah air liur yang meleleh, ruam pada bahagian muka dan sedikit meragam. Namun bayi masih ceria apabila dialih perhatiannya dan aktif serta boleh bermain seperti biasa.

Foto Kredit: youtube.com
2. “Ada sesuatu dalam telinga saya!”
Sesetengah bayi yang lebih besar mungkin berasa tidak selesa kerana ada tahi telinga di dalam telinga mereka. Kadangkala kita terlalu kerap membersihkan telinga bayi tetapi dengan menggunakan cara yang kurang tepat seperti menggunakan putik kapas.
Selalunya putik kapas ini bersaiz lebih besar berbanding salur telinga bayi dan tahi telinga mereka sebenarnya makin terkumpul di dalam salur telinga. Apabila ia semakin banyak, bayi mungkin akan berasa sakit atau tidak selesa.

Foto Kredit: freepik.com
3. “Saya nak belajar dan ingin meneroka
Apabila bayi mula belajar menggenggam, mereka juga teruja untuk meneroka anggota tubuh badan mereka. Disebabkan telinga mereka mudah dipegang dan ditarik, mereka pun sukalah nak bereksperimen dengannya.
Menurut sumber, tabiat ini berlaku sekitar usia 4 bulan hingga 12 bulan. Bila bayi dah pandai bermain dengan mainan atau dah ligat berjalan dan memanjat, mereka akan meneroka benda lain pula!

Foto Kredit: todaysparent.com
4. “Gatalnya!”
Salah satu punca yang mungkin Mama kurang perasan adalah penggunaan sabun atau syampu yang kurang sesuai dengan kulit bayi. Walaupun tidak timbul kemerahan yang ketara pada kulitnya, kadangkala sabun atau syampu yang terperangkap dalam salur telinganya boleh menyebabkan bayi berasa gatal atau kurang selesa.
5. “Telinga saya terkena jangkitan.”
Jangkitan telinga adalah antara masalah yang sering berlaku pada bayi selain demam selsema atau batuk.
Antara simptom yang mengiringi jangkitan telinga adalah hidung yang berair. Selepas beberapa hari, warna cairan jernih tadi akan bertukar kepada lendiran berwarna kekuningan atau hijau. Bayi juga semakin kuat meragam, susah tidur malam dan matanya turut berair. Bayi juga selalunya turut demam jika mempunyai jangkitan telinga.
6. “Saya tak selesa perut.”
Satu lagi faktor yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada telinga bayi adalah Gastroesophageal Reflux Disease (GERD). Manurut sumber, keradangan boleh berlaku akibat refluks yang teruk pada bayi.
Jika bayi anda telah disahkan mengalami GERD, maka ia mungkin punca utama bayi sering menarik dan menggaru telinganya.

Foto Kredit: eleanagkioka.gr
Tanda Lain Yang Patut Diperhatikan
Antara tanda yang mengiringi simptom sakit telinga yang patut diberi perhatian termasuklah:
- Menangis tanpa henti
- Tak boleh tidur
- Demam tinggi melebihi 40° C
- Kurang aktif
- Keluar cairan / nanah pada telinga
- Mengorek salah satu telinga saja
Jika bayi anda asyik menggaru telinga dengan salah satu tanda ini, bawalah bayi dirujuk kepada doktor agar masalah sebenarnya dapat dikenalpasti.
*Rujukan: Parenting.com, Romper.com, SeattleChildren.org