Dapur

Harga Setanding Emas, Ini 7 Keunikan Safron. Rempah Paling Mahal Di Dunia

440
SHARES

Pernah tak anda gunakan safron dalam masakan? Safron inilah sejenis rempah yang sangat ekslusif dan biasanya digunakan dalam masakan Timur Tengah. Kalau di Malaysia, orang gunakan untuk masak nasi beriani atau nasi Arab.

Kadang-kadang safron digelar za’faran iaitu dalam bahasa arab yang bermaksud kuning. Nama ainnya yang jarang kita dengar adalah koma-koma, bunga kumkum atau nama saintifiknya crocus sativus.

Tak kisahlah apa pun nama yang biasa anda panggil,mesti ramai sedia maklum yang harga safron ini sangatlah mahal. Bayangkan kalau yang jenis premium, 1 gram safron saja boleh mencapai ratusan Ringgit. Jadi, jom kita singkap beberapa kelebihan dan keunikan safron ini sampai membuatkan ianya begitu berharga.

7 Keunikan Safron Yang Mengagumkan

1. Telah Digunakan Sejak Berzaman-zaman

Mengikut kajian sejarah, safron ini telah mula dijumpai semasa Zaman Gangsa Yunani. Rempah ini kemudiannya digunakan secara meluas sejak awal abad ke 27 sebelum Masihi pada tamadun Gangsa. Ketika itu ramai para wanita menggunakannya dalam bancuhan untuk menghasilkan kosmetik seperti pemerah bibir dan pewarna untuk pakaian.

Pengamal perubatan tradisional zaman purba juga menggunakannya untuk rawatan seperti buasir, sakit jantung dan meningkatkan kesuburan. Kegunaannya dalam bidang perubatan juga memuncak ketika Zaman Pertengahan Eropah. Ketika itu juga, ramai yang mula mengamalkan pewarna dalam makanan untuk dipersembahkan dalam majlis keramaian.

2. Keunikan Bunga Safron

Negara Iran merupakan pengeluar safron terbesar dan terkenal dalam mengeksport safron yang berkualiti tinggi.

Rempah safron sebenarnya dituai dan dipilih satu persatu dari stigma kuntuman bunga Crocus sativus. Bunga berwarna ungu ini tergolong dalam satu keluarga dengan bunga lily. Satu pokok hanya dapat berbunga sebanyak 3 ke 4 kuntum sahaja. Manakala sekuntum bunga hanya menghasilkan 3 putik stigma.

Bunga ini juga bersifat triploid, iaitu ia tidak tumbuh secara liar dan tidak dapat membiak dengan sendirinya. Ia juga hanya berbunga setahun sekali dan hanya beberapa negara yang mempunyai cuaca yang sesuai untuk menanam pokok bunga ini seperti Iran, Maghribi, Sepanyol dan Greece. Punya payah nak tumbuh rupanya!

3. Proses Penghasilan Rempah Safron

Tadi baru cerita bab bunganya. Sekarang masuk pula proses penghasilannya sebagai rempah. Harga safron yang digunakan dalam masakan atau teh boleh melambung tinggi adalah kerana kesukaran dalam proses pengumpulan dan penyediaan sebelum dipasarkan.

Di Malaysia, harga bagi 1 gram safron yang biasa adalah sekitar RM50-RM70. Untuk seseorang mendapatkan sesudu rempah ini, ia perlu dipetik daripada 60 kuntum bunga. Selalunya ia dipetik dengan tangan, bukannya mesin. Selepas dipetik, ia perlu melalui proses pemanasan dan pengeringan yang agak rumit supaya rasanya lebih menyerlah dan tahan lebih lama.

Foto Kredit: kashmirbox.com

4. Khasiat Safron

Walaupun safron sangat mahal, namun permintaannya tetap tinggi dek kerana khasiatnya.

Menurut HealthLine.com, kajian telah membuktikan bahawa safron mengandungi komponen yang baik untuk kesihatan jantung. Ia juga dipercayai mampu menghalang pembiakan sel kanser. Terdapat kajian yang turut mendapati safron boleh meningkatkan memori. Jadi tak hairanlah di Malaysia, ianya sering dipromosikan sebagai suplemen untuk minda.

Selain itu ia juga digunakan secara turun-temurun untuk mengubati

  • masalah kesuburan
  • menghilangkan ruam dan jerawat
  • penyakit saluran kencing
  • meningkatkan selera kanak-kanak

Foto Kredit: shutterstock.com

5. Terkenal Sebagai Anti-Depressant

Rempah termahal di dunia ini juga dikenali sebagai ‘sunshine spice’ bukan hanya kerana warna kuning ceria yang dihasilkannya, malah banyak kajian yang menyokong keberkesanan safron dalam mencegah kemurungan dan stres. Sebuah penemuan mendapati safron dapat memberi kesan penyembuhan bagi kemurungan tahap sederhana hingga tahap tinggi seperti preskripsi ubat antikemurungan fluoxetine.

Dalam kajian lain, safron juga terbukti dalam membaiki simptom yang ditunjukkan oleh pesakit kemurungan. Ini membuatkan safron sebagai alternatif untuk rawatan kemurungan bagi pesakit yang tidak serasi dengan ubat antikemurungan dengan baik.

berat badan berlebihan kanak kanak

Foto Kredit: portal.gerchikco.com

6. Pewarna Makanan Semulajadi

Seringkali safron digunakan dalam resepi untuk membangkitkan rasa, aroma dan warna pada masakan. Ia juga digunakan secara meluas sebagai pewarna makanan semulajadi terutamanya dalam masakan Timur Tengah. Di Malaysia, kita boleh nampak ia digunakan dalam nasi arab atau nasi beriani.

Pewarna daripada sumber semulajadi tentunya lebih selamat dan membangkitkan rasa dalam masakan. Anda juga pasti dapat khasiat safron dalam setiap suapan.

Foto Kredit: bbcgoodfood.com

7. Safron Tiruan

Oleh sebab harganya yang tinggi, terdapat segelintir pengedar rempah yang mencampurkan safron dengan bahan lain atau mengeluarkan safron tiruan untuk mengaut keuntungan. Jadi anda perlu pastikan safron yang dibeli adalah tulen.

Helaian safron perlulah berwarna merah gelap. Lebih gelap, maka lebih tinggi kualitinya. Ia juga perlu mempunyai hujung berwarna jingga. Jika ia tidak punya hujung berwarna jingga, ini bermakna safron itu berkualiti rendah atau sekadar diwarnakan. Ia juga sepatutnya berbau harum bak bunga dan tidak berbau seperti kulat lembap. Menurut sumber, lebih elok membeli safron jenis helaian kasar daripada serbuk kerana serbuk safron tidak tahan lama dan selalunya berkualiti rendah.

Foto Kredit: huffingtonpost.co.uk

Berbaloi Dengan Harga

Sejak dahulu lagi orang sudah mula mengenali potensi tinggi pada saffron. Lebih-lebih lagi khasiatnya untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Baunya yang harum dan warna kuning terang yang dikeluarkannya pula menjadikan rempah ini sesuai digunakan sebagai perasa dan pewarna hidangan.

Jadi, sekarang dah tahu kan kenapa safron ni mahal sangat?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×