Sihat

Patutlah Mahal. Rupanya Ini 10 Khasiat Pistachio aka ‘Kacang Cerdik’

20.7K
SHARES

“Kenapa orang panggil kacang pistachio ni kacang cerdik? Kalau makan ni boleh jadi pandai ke?”

Terkenal dengan gelaran ‘kacang cerdik’, pistachio merupakan antara jenis kacang yang terbaik untuk diamalkan dalam diet seharian. Ini kerana khasiatnya sering dikaitkan dengan peningkatan fungsi otak. Namun sebenarnya ia bukan sahaja kaya dengan nutrisi malah mempunyai banyak kelebihan lagi.

10 Khasiat Pistachio aka ‘Kacang Cerdik’

1. Baik Untuk Minda

Sesuai dengan gelarannya, kacang seperti pistachio adalah antara sumber pemakanan yang baik untuk minda. Kandungan vitamin B6 yang terkandung dalamnya mampu meningkatkan kadar penghasilan hemoglobin dalam darah. Oleh itu, peredaran darah dan oksigen dapat dibekalkan ke seluruh anggota badan termasuk otak.

Hasilnya, minda seseorang mampu memberi tumpuan dengan lebih baik. Jadi, kalau tengah mengantuk buat kerja atau ulangkaji pelajaran, bolehlah makan pistachio untuk membantu agar lebih fokus. Bukanlah boleh jadikan kita pandai ya!

2. Tinggi Serat & Protein

Pistachio sering menjadi pilihan bagi snek sihat bukan sahaja kerana kandungan kalorinya yang dan lemak tepu rendah, malah ia kaya dengan protein dan lemak sihat. Ia juga pilihan snek yang baik kerana kandungan serat dan proteinnya yang tinggi membuatkan seseorang rasa kenyang dengan lebih cepat.

3. Meningkatkan Kesihatan Mata

Pistachio adalah antara kekacang yang mempunyai kandungan antioksidan yang tertinggi. Istimewanya pistachio ini ialah ia mengandungi antoksidan jenis lutein dan zaexanthin yang berfungsi dalam mengekalkan kesihatan mata.

Dua jenis antioksidan ini melindungi mata daripada rosak akibat pendedahan cahaya biru atau ‘blue light’ dan sekaligus mengurangkan risiko seseorang untuk terkena penyakit ‘age-related macular degeneration (ARMD)’ iaitu pereputan makular yang mengakibatkan penglihatan pusat yang tajam merosot apabila usia semakin meningkat.

Foto Kredit: bfrb.org

4. Menyihatkan Rambut

Ramai orang menganggap masalah rambut gugur adalah kerana penggunaan syampu yang tidak sesuai atau rutin penjagaan rambut yang tidak betul. Sebenarnya, pemakanan kita juga memberi kesan kepada kesihatan rambut. Sebenarnya, pertumbuhan rambut yang sihat memerlukan pengamalan diet yang kaya vitamin dan mineral terutamanya vitamin E dan biotin.

Pistachio adalah makanan suplemen yang amat baik kerana ia mengandungi kedua-dua mineral penting ini termasuk protein asid amino L-arginin yang melancarkan peredaran darah. Ada juga orang yang mengamalkan mask rambut menggunakan pistachio dan nampak keberkesanannya dalam melawan rambut gugur, hujung rambut bercabang dan memberi kelembapan pada rambut.

Foto rKredit: Jenoris Hair Mask

5. Nilai GI Rendah

Walaupun kacang pistachio mengandungi kadar karbohidrat yang agak tinggi, tetapi ia mempunyai nilai GI (glycemic index) yang rendah. Jadi, ia baik diamalkan walaupun bagi pesakit diabetes.

Kandungan protein, lemak sihat dan serat yang tinggi dapat memerlahankan proses penyerapan gula dalam darah. Kadar antioksidannya yang tinggi pula membantu dalam mengekalkan fungsi sel dalam pankreas yang menghasilkan insulin.

Tanda kencing manis

6. Awet Muda

Pistachio amat baik untuk diamalkan kerana dapat membekalkan kesihatan dalam dan luaran. Ia memberi banyak manfaat kepada kesihatan kulit. Pengambilan pistachio secara kerap mampu membekalkan antoksidan yang dapat meneutralkan radikal bebas yang sering menyebabkan penuaan pada kulit.

Kadar asid lemaknya juga membantu dalam menghasilkan kulit yang sihat dan ‘glowing’. Kandungan vitamin E pula dalam pistachio pula dapat mengekalkan kesihatan kulit serta melindungi kulit daripada rosak akibat cahaya matahari.

Petua Awet Muda

7. Meningkatkan Penghasilan Darah Merah

Kacang ini juga mampu mengurangkan risiko anemia. Kandungan zat besinya dapat meningkatkan penghasilan sel darah merah, manakala mineral kuprum pula dapat membantu penyerapan zat besi secara berkesan dalam badan. Penghasilan darah merah yang baik bermakna aliran darah dalam badan juga makin baik.

Ibu-ibu mengandung yang selalu kurang darah boleh cuba makan kacang ini untuk menaikkan bacaan hB.

Hb Rendah

Foto Kredit: bigpictureeducation.com

8. Memperbaiki Sistem Penghadaman

Salah satu kebaikan pistachio ialah sebagai sumber serat yang baik. 30 gram hidangan pistachio mampu membekalkan 3 g serat, iaitu kadar yang lebih dari mencukupi dalam memastikan sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Kandungan seratnya juga memainkan peranan penting dalam penghasilan bakteria baik dalam usus. Ini dapat mengurangkan risiko sembelit atau penyakit berkaitan seperti gastrik ulser.

khasiat pistachio

Foto Kredit: Health Magazine

9. Menyumbang Kepada Kesihatan Jantung

Mengamalkan pistachio dalam diet harian juga dapat memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Antara kandungan penting yang dimiliki pistachio ialah antoksidan, dan asid lemak tidak tepu. Asid amino L-arginin juga dapat mengelakkan salur darah tersumbat sehingga menghasilkan darah beku.

Banyak kajian membuktikan pistachio menyumbang dalam mengurangkan paras kolesterol tidak baik (LDL) dan meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL) dalam badan. Paras kolesterol yang baik dan terkawal dapat mengurangkan risiko seseorang daripada mengalami penyakit jantung.

Foto Kredit: csn.org

10. Sumber Vitamin B6

Dalam mengamalkan pemakanan sihat, adalah penting untuk kita pastikan setiap apa yang dimakan dapat membekalkan nutrisi kepada badan. Pistachio adalah antara makanan yang mengandungi vitamin B6 yang tertinggi.

Vitamin B6 mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya, ia dapat membina sistem pertahanan badan yang tinggi serta melindungi badan daripada jangkitan dan kanser. Vitamin B6 juga membantu penghasilan asid amino yang berfungsi dalam membina sistem saraf yang sihat.

Elakkan Pistachio Yang Bergaram & Berperisa

Pistachio bukan saja sedap tetapi amat bagus untuk dinikmati oleh orang yang mementingkan kesihatan. Ia juga boleh ditambah dalam hidangan seperti salad, yogurt dan buah-buahan. Namun harus diingat,seperti makanan lain, pistachio perlulah diamalkan sebagai snek sampingan dan perlu dimakan dengan kadar yang terkawal.

Elakkan untuk makan pistachio yang sudah diperasakan dengan garam atau yang sudah diproses supaya tidak memberi kesan kepada tekanan darah atau paras gula dalam badan.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×