Sihat

10 Makanan Berkalori Tinggi Di Hari Raya. Patutlah Berat Naik Mendadak!

78
SHARES

Di Hari Raya dan sepanjang musim perayaan, ramai yang ‘kalah’ dengan pelbagai juadah yang dihidangkan seawal pagi lagi. Tidak hairanlah, mereka yang berjaya diet dalam bulan puasa pun kembali bertambah berat badan secara mendadak. Salah satu perkara yang boleh membantu kita ‘beringat’ adalah dengan mengetahui kalori makanan.

Saranan pengambilan kalori makanan berdasarkan Panduan Diet Malaysia, 2010 untuk orang dewasa (berumur 18 – 59 tahun) yang nomal adalah seperti berikut:

  •  Lelaki dewasa : 2000 kcal/ hari
  •  Wanita dewasa : 1500 kcal/ hari

Dalam satu hidangan utama, kita dinasihatkan untuk mengambil tidak lebih daripada 500 kcal. Jadi, rancanglah pengambilan makanan anda dengan bijak demi mengekalkan kesihatan dan ‘kerampingan’.

10 Makanan Berkalori Tinggi Di Hari Raya

Berikut disenaraikan kalori makanan Hari Raya yang paling popular.

1. Lemang

Lemang memang sedap. Rasanya lemak-lemak berbanding ketupat. Tapi awas, lemang adalah antara makanan yang paling banyak kalori di Hari raya.

Bayangkan, 1 potong kecil setebal 1 cm saja boleh menjangkau 100 kcal. Kalau 3-4 keping, dah 300-400 kcal! Itupun belum masuk rendang, serunding, ayam masak merah.

2. Rendang Daging

Menurut Dr Mohd Shaiful menerusi Malaysian Medical Gazette, sekiranya anda gemar makan rendang, pilihlah rendang ayam berbanding rendang daging. Bahagian ayam pula seeloknya yang kurang lemak dan tidak banyak kulit, seperti bahagian dada.

Lebih baik jika tuan rumah mengamalkan tabiat membuang kulit ayam sebelum memasak. Tuan rumah juga digalakkan mengunakan susu untuk menggantikan santan dalam rendang.

  • Rendang daging lembu (2 ketul) – 130 kcal
  • Rendang Ayam (1 ketul) – 148 kcal
  • Serunding daging (1 sudu) – 80 kcal
  • Ayam masak merah (1 ketul) – 140 kcal

Foto Kredit: malaysia.travel.en

3. Ketupat Palas

Selain lemang, ketupat palas adalah antara makanan yang paling tinggi kalori di Hari Raya. 1 biji ketupat palas (sekitar 50 g) memiliki kalori sebanyak 130 kcal. Di sesetengah tempat, ada yang suka menggoreng lagi ketupat palas ini. Tentunya, penggunaan minyak akan meninggikan lagi kalori dalam makanan ini.

Berbanding ketupat nasi yang mempunyai rasa lebih ‘plain’, ia hanya mengandungi sekitar 80 kcal.

Foto Kredit: Asie360.com

4. Nasi Beriyani / Nasi Minyak

Menurut senarai kalori makanan yang disediakan, nasi minyak mengandungi lebih 2 kali ganda kalori berbanding nasi putih dalam kuantiti yang sama.

Nasi putih kosong mengandungi lebih kurang 260 kcal, manakala nasi minyak kosong pula adalah 445 kcal. Ini pun belum masuk kuah dan lauknya lagi. Dianggarkan satu hidangan nasi minyak atau nasi beriyani yang lengkap bersama lauk boleh mencecah 800-900 kcal!

Foto Kredit: expatgo.com

5. Kek

Pencuci mulut yang satu ini kian menjadi popular di Hari Raya. Namun, tahukah anda bahawa kek, terutamanya kek keju adalah antara yang paling tinggi kalori, apatah lagi jika ia dihidangkan bersama sos coklat dan pemanis lain. Begitu juga dengan kek lapis Sarawak yang tidak kurang banyak kalorinya.

Berikut adalah perbandingan beberapa jenis kek lain yang biasa dihidangkan untuk Hari Raya.

  • Kek keju – 240 kcal
  • Kek lapis Sarawak (1 potong kecil) – 160 kcal
  • Kek biasa (tanpa krim) – 150 kcal
  • Kek buah – 130 kcal

Foto Kredit: thestar.com.my

6. Kerepek

Kerepek memang enak dimakan sambil berbual dengan tetamu. Sedar tak sedar, dah habis sebalang! Sungguhpun makanan ini nampak ‘ringan, tapi sebenarnya kalori yang terkandung di dalamnya adalah berat. Ini adalah contoh jumlah kalori yang ‘tersembunyi’ di dalamnya:

  • Kerepek upi bercili (3 keping) – 50 kcal
  • Kerepek pisang masin (3 keping) – 40 kcal
  • Rempeyek (1 keping) – 70 kcal

Bayangkan, 1 keping rempeyek dah mengandungi 70kcal. Kalau makan 3-4 keping, dah sama macam makan secawan nasi putih. Kalau sebalang? Jadi, berhati-hati ya.

Foto Kredit: 21food.com

7. Kacang

Selain kerepek, kacang pun termasuklah dalam kategori kudapan yang paling laris. Kalau bukan tetamu yang makan, tuan rumahlah yang makan sambil tengok TV.

Kacang daripada jenis bergoreng dan kemudian disadur atau disira dengan perasa adalah tinggi kalori.

  • Kacang salut tepung (1 sudu makan) – 50 kcal
  • Kacang goreng (1 sudu makan) – 40kcal

Untuk pilihan makanan yang lebih sihat, pilihlah kekacang yang kurang masin, dipanggang (tidak digoreng), dan tidak ditambah perisa.

Foto Kredit: harianresep.blogspot.my

8. Air Manis

Di Hari Raya ini, tak salah nak minum minuman manis, tapi sebolehnya hadkan pengambilannya kepada 1 kali sehari. Jika kita sebagai tuan rumah pula, jangan lupa menyediakan air kosong untuk tetamu di samping beraneka minuman lain.

Tahukah anda, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, 1 tin minuman berkarbonat (air gas) telahpun memenuhi 60% had pengambilan gula dalam sehari?

  • Air gas (1 gelas) – 130 kcal
  • Air kotak / air manis (1 gelas) – 85 kcal
  • Air kosong – 0 kcal

Foto Kredit: youtube.com

9. Dodol & Wajik

Dalam kategori kuih pula, dodol adalah antara kuih tradisional yang amat digemari. Rasa dan teksturnya yang kenyal, membuatkan kita mahu memakan dan mengunyahnya berulang kali.

Sebenarnya, dalam 1 potong dodol kecil (sekitar 20g), ia sudah memiliki 70 kcal, manakala wajik sekitar 60 kcal. Angka ini adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan kuih-kuih lain seperti tat nenas, kuih bangkit, suji, dan sebagainya yang biasanya 40-50 kcal.

kalori makanan

Foto Kredit: setara.net

10. Biskut Raya

Sekecil-kecil biskut raya, ianya memang boleh buat kita rasa ketagih. Tambahan pula bila nampak pelbagai rupa biskut raya yang cantik-cantik di setiap rumah, kita rasa teringin nak mencuba setiapnya. Sedangkan, rasanya mungkin tidak banyak berbeza.

Secara amnya, biskut raya ini sekurang-kurangnya mengandungi 40kcal dalam setiap biji. Kalau makan 10 biji, kalorinya dah hampir menyamai 1 hidangan lengkap nasi berlauk. Maka, fikirlah 2-3 kali sebelum memakannya.

kalori makanan

Foto Kredit: seasongroup.com.my

Bukan Mudah Menahan Godaan Di Hari Raya

Bukan mudah menahan godaan pelbagai jenis makanan di hari Raya. Kalau kita teringin nak merasa banyak jenis hidangan, seeloknya ambil makanan yang pelbagai dalam kuantiti sedikit. Taktiknya, gunakan piring kecil agar makanan yang diambil nampak banyak.

Setelah sebulan berpuasa, tentu perut kita akan ‘terkejut’ jika tiba-tiba ia terpaksa bekerja keras untuk mencernakan pelbagai jenis makanan di pagi Raya.

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w  telah menyebutkan:

 “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit” ( Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, marilah kita berusaha melawan hawa nafsu dan godaan makanan di bulan perayaan ini nanti!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×