“Beberapa orang rakan FB meminta tips buat kek lapis setelah menceritakan masalah mereka yang terpaksa menanggung keletihan dan rasa kecewa. Ini disebabkan kek lapis yang dihasilkan tidak memuaskan dan ada yang hangus! Ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kek yang dihasilkan berminyak!” – Puan Salami
Mesti ramai yang teringin nak buat kek lapis, tapi bila fikir-fikir macam susah sangat!
Jangan risau, kalau tahu tips dan tekniknya, ia tidaklah sesukar yang anda sangkakan. Berikut adalah perkongsian daripada rakan blogger kami, Puan Salami, atau nama gelarannya Amie.
Setelah meluangkan sedikit masa bersembang dengan mereka Puan Amie telah merumuskan beberapa perkara yang perlu diambil kira walaupun kita anggap ia perkara kecil tetapi sebenarnya memberi impak yang besar.
6 Tips Buat Kek Lapis Supaya Terhasil Sempurna
Berikut adalah 5 tips buat kek lapis yang penting untuk anda ikuti kalau nak mendapatkan hasil yang cantik dan sedap.
1. Ikut Resepi 100%
Sekiranya anda ingin membuat kek lapis, pastikan anda telah membaca resepi pilihan anda dengan teliti. Baca beberapa kali sehingga anda benar-benar faham dan rujuk kepada seseorang yang biasa menghasilkan kek lapis sekiranya terdapat keraguan.
Terdapat pelbagai cara dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan kek lapis. Jika anda tidak biasa membuat kek lapis atau baru pertama kali mencuba, pastikan 100% gunakan bahan dan langkah seperti yang tertera dalam resepi.
2. Cuba Kaedah Kukus Terlebih Dahulu
Buat keputusan muktamad sama ada hendak mengukus atau membakar sebab dengan menggunakan bahan yang sama anda boleh membuat pilihan cara kukus atau bakar. Kali pertama Amie menghasilkan kek lapis seperti di atas ialah dengan kaedah mengukus sebab Amie tidak yakin boleh menjaga api oven untuk menghasilkan kek lapis yang sempurna.
Ini disebabkan sewaktu Amie belajar membuat kek lapis di kelas masakan, guru masakan kami juga membuat silap! Kek lapis yang dihasilkan hangus di bahagian bawah kerana terlupa memadamkan / menutup butang api bawah, sebaliknya menggunakan kedua-dua api atas dan bawah.
Ini kesilapan yang dilakukan oleh guru masakan, yang memang sudah biasa atau berpengalaman, tetapi bagaimana pula dengan Amie atau anda yang tidak biasa menghasilkan kek lapis (pada masa itu). Dan untuk beberapa biji kek lapis seterusnya Amie tetap menggunakan kaedah kukus sehinggalah Amie banar-benar yakin untuk menggunakan kaedah bakar.
3. Pilih Bahan Berkualiti
Perlu ingat, hanya bahan-bahan yang berkualiti sahaja yang boleh menghasilkan kek lapis yang sedap dan cantik seperti yang dikehendaki. Jadi, sekiranya bahan yang digunakan ialah mentega berkualiti tinggi, janganlah tukar kepada marjerin atau buttercup pula.
Amie telah mencuba pelbagai jenama mentega berkualiti tinggi termasuk jenama Anchor, Golden Churn dan sebagainya. Namun akhirnya Amie memilih jenama Wood Dunn yang Amie rasa merupakan pilihan yang paling tepat untuk kek lapis yang Amie hasilkan.
Untuk keju krim pula, memandangkan tiada bekalan yang mencukupi dari jenama Philadelphia yang ternyata menjadi pilihan ramai, Amie terpaksa akur dengan jenama Anchor yang sebenarnya tidak kurang juga lazatnya!
4. Sediakan Bahan Lebih Sebagai ‘Backup’
Bagi anda yang baru belajar, pastikan anda mempunyai lebihan bahan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Misalnya, telur yang digunakan mesti mencukupi sebagaimana bilangannya dalam resepi. Untuk memastikan telur yang digunakan dalam keadaan baik, pecahkan telur di dalam bekas terlebih dahulu dan kemudian baru masukkan sebiji demi sebiji ke dalam pengadun. Sekiranya anda memecahkan telur di dalam adunan, kemungkinan salah sebiji di antara telur yang anda gunakan itu busuk… rosaklah adunan anda keseluruhannya!
5. Guna Penekan Khas
Gunakan sukatan yang sama untuk setiap lapisan. Gunakan hanya api di bahagian atas ketuhar, iaitu api grill atau pemanggang untuk membakar kek lapis demi lapis. Apabila sesuatu lapisan masak, tekan lapisan itu dengan menggunakan penekan khas supaya semua lapisan rata dan sekata.
Jika tiada penekan, gunakan buntut gelas. Semasa proses membakar, jika terdapat gelembung udara timbul di permukaan kek, cucukkannya dengan lidi atau garfu. Alhamdulillah setakat ini jarang sangat Amie terjumpa gelembung udara di permukaan kek yang dihasilkan, tapi Amie tetap tekan juga permukaannya.
6. Kawal Suhu Ketuhar
Setelah selesai melapis, matikan api atas, laraskan suhu kepada 100’C – 170’C mengikut kepanasan oven masing-masing (sebab kapasiti dan kepanasan oven berbeza-beza mengikut jenis dan kebiasaan), dan bakar lagi selama 20 minit menggunakan api bawah.
Dengan cara ini, semua bahagian dan lapisan kek dapat dipastikan masak dengan rata. Keluarkan kek dari loyang ketika masih panas dan sejukkan di atas redai.
Elakkan Kecuaian
Dengan sedikit kesilapan seperti membiarkan atau melebihkan masa dalam tempoh 5 minit sahaja (terutama lapisan terakhir), kek lapis anda mungkin hangus di bahagian atas dan sekaligus anda berasa lemah longlai dan tidak berbaloi bersengkang mata sepanjang malam kerana telah menghabiskan masa selama 4 hingga 5 jam di depan oven!
Jadi, lain kali bolehlah anda mempraktikkan tips buat kek lapis ini supaya hasilnya tidak mengecewakan.
*Sumber asal adalah dari blog Amie’s Little Kitchen. Ikuti blog tersebut atau fanpage Amie’s Little Kitchen di Facebook untuk mengikuti lebih banyak perkongsian daripada Puan Salami.