Sihat

Jangan Ambil Mudah, Ini Diet Yang Sesuai Diamalkan Untuk Penghidap Sakit Gout

2
SHARES

Pesakit gout sahaja yang tahu bertapa peritnya sakit yang dialami. Malah sakit gout bukan sahaja boleh dihadapi oleh golongan tua tetapi golongan muda juga boleh mengalaminya. Kesakitan itu akan dirasai di bahagian sendi sekaligus akan membengkak.

Haa, pasti ada yang perasan kan dalam golongan pesakit gout akan kurus? Hal ini kerana pesakit gout ini khuatir atau lebih berjaga-jaga dalam setiap pengambilan pemakanan seharian mereka kerana takut menahan kesakitan di kemudian hari.

Baca juga: Teknik Betul Masak Daging Untuk Orang Ada Sakit Gout

ISTILAH DIET BAGI PESAKIT GOUT

Gout adalah satu bentuk artritis yang boleh menyebabkan seseorang menghadapi kesakitan yang teruk dan bengkak pada bahagian sendi. Hal ini kerana terdapat pengumpulan asid urik yang tinggi di dalam badan hasil daripada pemecahan bahan kimia purin yang hadir secara semulajadi bagi sesetengah jenis makanan dan dapat disingkirkan melaluli air kencing.

Diet adalah salah satu cara untuk menurunkan paras asid urik dalam darah. Namun begitu, ia tidak boleh menyembuhkan sakit gout akan tetapi boleh menurunkan risiko serangan gout serta melambatkan kerosakan sendi. Walau bagaimanapun, pesakit gout masih memerlukan ubat-ubatan bagi mengawal kesakitan yang diamali sekaligus dapat menurunkan paras asid urik.

Tujuan Pengurusan Pemakanan Pesakit Gout:

-Mencapai berat badan ideal dan tabiat pemakanan yang baik.

-Mengelakkan sesetengah (tidak semua) makanan yang tinggi kandungan purin.

-Mengambil makanan yang baik dan membantu mengawal paras asid urik.

Prinsip asas diet bagi pesakit gout:

Penurunan berat badan– Berlebihan berat badan meningkatkan risiko untuk menghidap gout. Kajian mencadangkan penurunan kalori dan berat badan boleh menurunkan paras asid urik dan mengurangkan serangan gout. Penurunan berat badan juga akan mengurangkan tekanan terhadap sendi-sendi.

Karbohidrat kompleks– Makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta bijirin penuh yang membekalkan karbohidrat kompleks. Elakkan makanan dan minuman yang ada kandungan sirap jagung tinggi-fruktosa (high-fructose corn syrup), serta hadkan meminum jus buah-buahan yang semulajadi manis. Metabolism fruktosa dalam badan akan menghasilkan asid urik seterusnya meningkatkan parasnya dalam darah.

Minuman– Kekalkan hidrasi dengan meminum banyak air kosong.

Lemak– Elakkan pengambilan lemak tepu daripada daging, daging terproses, lemak ayam/itik dan produk tenusu tinggi-lemak

Protein– Pilih bahagian daging/ayam tanpa lemak, produk tenusu rendah lemak dan kekacang sebagai sumber protein.

Saranan makanan atau suplemen yang lebih khusus:

Organ dalaman – Elakkan pengambilan organ dalaman seperti hati, paru, perut, limpa dan lain-lain, ia mengandungi paras purin yang tinggi dan meningkatkan paras asid urik dalam darah.

Daging merah – Hadkan pengambilan daging lembu, kambing dan khinzir.

Makanan laut – Sesetengah jenis makanan laut seperti ikan bilis, kerang kerangan, sardin dan ikan tongkol mengandungi purin yang lebih tinggi berbanding yang lain. Akan tetapi, kebaikan pengambilan ikan adalah lebih banyak berbanding risiko bagi pesakit gout. Oleh itu, pengambilan ikan secara sederhana adalah disarankan.

Sayur-sayuran tinggi purin – Kajian telah menunjukkan bahawa kandungan purin dalam sayur-sayuran seperti bayam, asparagus, bunga kobis tidak meningkatkan risiko serangan gout.

Alkohol – Bir dan likuor meningkatkan risiko penyakit gout dan serangan gout berulang. Pengambilan wain secara sederhana pula tidak meningkatkan risiko serangan gout. Elakkan alkohol semasa serangan gout berlaku, dan hadkan alkohol, terutamanya bir pada masa lainnya.

Makanan dan minuman manis bergula – Hadkan atau elakkan makanan manis bergula seperti bijirin manis, kuih muih manis dan roti/bakeri. Hadkan pengambilan jus buah-buahan yang semulajadi manis.

Vitamin C – Vitamin C mungkin membantu menurunkan paras asid urik. Bincang dengan doktok atau pegawai dietetik tentang kesesuaian suplemen tambahan 500 mg vitamin C dengan diet serta pelan perubatan anda.

Kopi – Terdapat kajian yang mencadangkan pengambilan kopi secara sederhana berkemungkinan membantu penurunan risiko gout. Namun, pengambilan kopi mungkin tidak sesuai jika anda mempunyai masalah perubatan yang lain. Berbincanglah dengan pegawai dietetik untuk menentukan kesesuaian jumlah kopi dalam diet anda.

Sumber: MyHEALTH

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×