Euforia Bola 2026
Nur

Solat Tanpa Sejadah, Terus Atas Lantai Atau Tanah? Ini Hukumnya Yang Sebenar…

Solat tanpa sejadah sering menjadi persoalan, terutama apabila seseorang perlu menunaikan solat di tempat yang tiada alas. Namun, adakah penggunaan sejadah merupakan syarat sah solat atau seseorang boleh terus mendirikan solat di atas lantai dan tanah? Berikut penjelasan mufti mengenai perkara tersebut.

Baca juga: Ustazah Asma’ Harun Kongsi Doa Ruqyah Diajar Malaikat Jibril AS, Amalkan Untuk Diri Sendiri & Orang Tersayang

SAH KE SOLAT TANPA SEJADAH DI ATAS TANAH ATAU LANTAI

SOLAT TANPA SEJADAH

Menurut penjelasan mufti, hukum asal mendirikan solat di atas tanah atau lantai tanpa menggunakan sejadah adalah harus dan solat tersebut sah.

Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa bumi telah dijadikan sebagai tempat sujud bagi umat Baginda.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” Hadis riwayat al-Bukhari (438).

Berdasarkan hadis tersebut, seluruh permukaan bumi pada asasnya boleh dijadikan tempat untuk mendirikan solat. Penggunaan sejadah bukanlah syarat sah solat.

Walaupun hukum asalnya adalah harus, terdapat beberapa pengecualian. Antaranya adalah kawasan perkuburan dan tandas. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas.” Hadis riwayat al-Tirmidzi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415).

SOLAT TANPA SEJADAH

Selain itu, seseorang tidak boleh mendirikan solat di tempat yang terdapat najis sekiranya najis tersebut bersentuhan dengan badan, pakaian atau barang yang dibawa ketika solat.

Hal ini kerana kebersihan daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat merupakan antara syarat sah solat.

Jika najis berdekatan tetapi tidak bersentuhan

Jika terdapat najis berdekatan dengan tempat seseorang mendirikan solat tetapi tidak menyentuh badan atau pakaiannya, keadaan itu tidak menjejaskan kesahan solat.

Walau bagaimanapun, hukumnya menjadi makruh sekiranya najis tersebut berada terlalu dekat mengikut kebiasaan setempat.

Oleh itu, sebaik-baiknya seseorang memilih tempat yang bersih dan jauh daripada sebarang najis bagi mengelakkan keraguan ketika menunaikan ibadah.

Walaupun solat tanpa sejadah adalah sah, penggunaan alas dapat membantu memastikan tempat solat berada dalam keadaan bersih selain mengelakkan timbulnya rasa was-was mengenai kesucian tempat berkenaan.

Baca juga: “Bapa Juga Boleh Derhaka?”- Ini Teguran Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Tentang ‘Dosa’ Ibu Bapa Kepada Anak

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×