Amalan bersuluk yang dilakukan oleh sesetengah suami kini mencuri perhatian ramai, terutama apabila ada yang tertanya-tanya mengenai tujuan sebenar mereka memilih untuk mengasingkan diri seketika bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun, bersuluk bukanlah sekadar mengasingkan diri daripada dunia luar, sebaliknya ia merupakan satu bentuk latihan kerohanian yang diamalkan oleh sesetengah individu bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
AMALAN BERSULUK JADI TREND, RAMAI SUAMI PERGI

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, bersuluk bermaksud pengasingan diri untuk bertafakur, menenangkan fikiran serta mendekatkan diri dengan Pencipta.
Dalam kalangan penuntut ilmu tasawuf, bersuluk menjadi salah satu kaedah untuk mendidik jiwa, memperbaiki diri dan mencapai kesempurnaan dalam pengajian kerohanian.
Kebiasaannya, individu yang menjalani suluk akan memilih lokasi yang jauh daripada kesibukan harian. Suasana yang sunyi dan tenang dianggap dapat membantu seseorang memberi lebih tumpuan kepada ibadah, muhasabah diri serta amalan kerohanian.
Antara lokasi yang terkenal dengan amalan bersuluk ialah Suluk Tok Selehor yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan.
Lokasi tersebut turut diiktiraf sebagai salah satu tempat Pelancongan Islamik oleh Tourism Malaysia Kelantan kerana mempunyai nilai sejarah serta kaitan dengan tokoh ulama terkenal negeri itu, Allahyarham Abdul Rahman Uthman atau lebih dikenali sebagai Tok Selehor.
Di kawasan berkenaan terdapat sebuah ruangan khas seperti wakaf yang mempunyai pintu masuk menggunakan bahagian kepala kereta api lama. Menariknya, di dalam ruangan tersebut terdapat sebuah lubang konkrit sedalam tujuh kaki (2.33 meter) yang dibina menyerupai kedalaman kubur orang Islam.
Peserta yang menjalani suluk dibenarkan berada di dalam lubang tersebut termasuk pada waktu malam dalam suasana yang sunyi. Keadaan itu menjadi satu cabaran kepada peserta kerana ia mengingatkan manusia tentang kematian serta pentingnya melakukan persediaan untuk kehidupan akhirat.
Dibina Tok Selehor untuk latihan kerohanian

Suluk Tok Selehor dipercayai dibina oleh Tok Selehor pada tahun 1921 sebagai tempat beliau melakukan ibadah dan latihan kerohanian.
Tujuan asal pembinaan lokasi itu adalah sebagai ruang untuk beliau mendidik diri serta menjauhkan sifat riak dalam hati ketika beribadah.
Kini, kawasan tersebut dipelihara oleh waris Allahyarham untuk dikongsikan bersama individu yang ingin mengenali amalan suluk dan mendalami aspek kerohanian dalam kehidupan.
Walaupun amalan bersuluk bukan sesuatu yang dilakukan oleh semua orang, ia tetap menjadi sebahagian daripada tradisi keilmuan Islam khususnya dalam bidang tasawuf yang menekankan aspek pembersihan jiwa dan hubungan manusia dengan Allah SWT.
Baca juga: Tular Pelanggan Letak Anjing Dalam Troli, Premis Barangan Bayi Ditutup Sementara & Mohon Maaf
Sumber: Harian Metro & TikTok Umisuhaila
