Senaman yoga merupakan salah satu jenis senaman yang popular terutamanya di negara India dan orang-orang di Barat. Senaman yang dilihat seperti bermeditasi dengan melakukan beberapa pergerakan ini menjadi persoalan ramai khususnya yang beragama Islam kerana ada yang mengatakan menyerupai ritual agama lain iaitu Hindu.
Ternyata, Presiden Persatuan Sukan Yoga Malaysia (MYSA), Prof Dr Lingham Pillai tampil mengingatkan umat Islam supaya TIDAK menyertai atau mengamalkan yoga kerana amalan itu sememangnya berasal daripada ritual agama Hindu.
Baca juga: “Darjatnya Diangkat”- Pakcik Penjual Teh Ais Yang Viral Dipersenda Dapat Hadiah Umrah & Wang Tunai
SENAMAN YOGA ADALAH AMALAN RITUAL AGAMA HINDU, UMAT ISLAM JANGAN TERLIBAT
Perkara ini dikongsikan oleh Firdaus Wong, seorang pendakwah bebas di laman Instagramnya sewaktu beliau dikunjungi Dr Lingham ke pejabatnya di Setapak.
Menerusi hantaran di akaun itu, Firdaus menceritakan Dr Lingham ada memohon pertolongannya untuk menguar-uarkan mengenai perkara itu kepada umat Islam agar tidak terjebak dengan amalan yoga, selain aktiviti itu juga bertentangan dengan fatwa. Dalam pertemuan itu, Dr Lingham menceritakan kebimbangan beliau mengenai perkara itu kepadanya sambil mengemukakan bukti amalan yoga berasal daripada ritual agama Hindu.
“Dia mendesak untuk berjumpa saya dengan kadar sesegara mungkin. Katanya perkara ini sangat penting. Saya tertanya, kenapa cari saya?”
“Hampir dua jam beliau berkongsi kebimbangannya dengan kami selain menunjukkan bukti demi bukti yang dibawa bersama. Sesuatu yang ‘highlight’ (tumpuan) dari sesi hampir dua jam adalah kenyataan ini:
“Saya tahu yoga berasal daripada Hiduisme. Saya sendiri pun tidak akan mempromosikan ia kepada orang Islam. Sesiapa saja guru atau pusat tidak patut promosi ia kepada orang Islam.
“(Justeru) Orang Islam tidak patut menyertai yoga kerana saya sendiri sebagai seorang beragama Hindu tahu bahawa yoga berasal daripada Hinduisme. Orang Islam sepatutnya menghormati fatwa daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang melarang orang Islam menyertainya.
“Dia beritahu, saudara mohon uar-uarkan kepada orang Islam jangan menyertai yoga kerana ia bertentangan dengan fatwa. Segelintir guru yoga yang mempromosikan yoga kepada orang Islam dengan mengatakan ia membantu mereka menjadi orang Islam lebih baik.
“Yoga berasal daripada Hinduisme. Jadi bagaimana ia boleh menjadikan mereka orang Islam yang lebih baik?” katanya menerusi hantaran di Instagram pada 22 November lalu.
Dalam perkembangan sama, Firdaus turut mendedahkan terdapat pihak yang menyalahgunakan logo Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pesuruhjaya Sukan untuk mempromosikan yoga kepada orang awam termasuk orang Islam. Lantaran itu, beliau berkata pihaknya mengadakan perjumpaan dengan wakil kedua-dua organisasi itu, termasuk melaporkan kepada polis tentang pihak yang didakwa menyalahgunakan logo berkenaan.
“Saya berasa malu apabila Dr Lingham Pillai, seorang Hindu dan Presiden Sukan Yoga Malaysia perlu datang berjumpa saya dan meminta saya menasihati orang Islam untuk hormat fatwa dan jangan terbabit dengan yoga.
“Apatah lagi dia sebagai seorang (penganut) Hindu mengakui melalui kajiannya, pergerakan dalam solat itu banyak manfaatnya untuk kesihatan tubuh tanpa perlu terlibat dengan yoga.
“Dia sebagai (penganut) Hindu pula yang pesan kepada orang Islam agar solat betul-betul. Adakalanya bukan fatwa diperlukan tetapi ketakwaan yang diperlukan,” katanya.
NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA, BEKAS GURU YOGA PUN TINGGALKAN…
Semakan di laman web JAKIM menerusi siri jawapan Irsyad Hukum Siri ke-871 mengatakan:
-Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti Yoga.
-Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap apa sahaja jenis senaman yang mengandungi upacara atau bacaan-bacaan tertentu yang bercanggah dengan hukum syarak.
-Hukum melakukan senaman Pilates adalah diharuskan selagi mana senaman tersebut dilakukan di kawasan yang tertutup dan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
-Walaupun pergerakan mungkin kelihatan sama, yoga dan Pilates adalah dua perkara yang berbeza kerana Pilates adalah versi yoga yang lebih moden.
Yoga pula ialah berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud mengawal, menyambung, menyatu. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat yoga bermaksud sistem falsafah hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran. Yoga adalah salah satu dari enam falsafah hindu dan tujuannya ialah menyatukan diri dengan tuhan melalui pergerakan yoga.
Menurut kitab asal yoga bertajuk Bhagavad Gita, manusia berada dalam keadaan penderitaan dan kesedihan adalah disebabkan hubungannya dengan tuhan yang menjadi longgar dan untuk memperbaiki hubungan tersebut dianjurkan untuk melakukan yoga. Selain itu yoga juga terdiri daripada beberapa kaedah iaitu: Karma Yoga (Tindakan), Raja Yoga (meditasi), Bhakti Yoga (Pegabdian) dan Jnana Yoga (Pengetahuan).
Berdasarkan keterangan ini jelaslah bahawa yoga memiliki kaitan yang rapat dengan agama Hindu. Oleh itu umat Islam diharamkan untuk menyertainya.
Menjengah ke ruangan komen, walaupun ramai dalam kalangan umat Islam dalam Malaysia yang masih mengamalkan yoga dan mengatakan niat mereka tiada kena mengena dengan agama lain, ingatlah bahawa niat tidak menghalalkan cara. Antara komen yang menarik perhatian dan boleh dijadikan rujuan adalah dari saudari Ashikin Amran.
“Saya pernah join YTT (yoga teacher training) di India untuk 200hours dulu. Apa yang saya belajar, setiap asana(poses), breathing tecnique, sangat relate dengan agama Hindu. Walaupun dekat Malaysia dah dimodernkan, tak ada ritual or apa-apa bacaan, tapi warm up yoga pun namanya “sun salutation”. Lepas saya belajar, baru saya faham makna setiap poses. Mula muhasabah diri & saya tinggalkan yoga even ada yoga certificate.
Jadi, sebagai sorang muslim, lebih baik tinggalkan apa-apa yang relate dengan yoga. Semua kita buat adalah for the sake of Allah,”
*Jadi, banyak lagi senaman lain yang boleh dicuba bukan?
Baca juga: Kenali 7 Benda Dikategorikan NAJIS Dalam Islam, Wajib Ambil Tahu Untuk Elak Was-Was!
Sumber: JAKIM, Firdaus Wong