Bila bercakap mengenai najis terutamanya dalam agama Islam, bukan hanya terhad kepada najis seperti hasil pembuangan air kecil atau besar sahaja. Namun, benda-benda yang dikategorikan sebagai najis dalam Islam ini adalah sangat meluas dan bagi seseorang yang bergelar Muslim wajib ambil tahu supaya tidak alpa.
Berikut merupakan 7 benda utama yang dikategorikan sebagai NAJIS mengikut panduan yang digariskan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
Baca juga: Pakaian Terkena Darah Haid, Cara Cuci Yang Bagaimana Dikira ‘Suci’ & Diterima Solat?
BENDA-BENDA KATEGORI NAJIS DALAM ISLAM, PENTING UNTUK TAHU!
Benda-benda yang najis banyak, dan yang utamanya tujuh perkara:
1.Arak dan semua cecair yang memabukkan
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,
…إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ…
Yang bermaksud,…bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semata-mata) kotor (keji)- (Surah al-Ma’idah ayat 90)
Maksud kotor ialah najis. Dan sabda Rasulullah s.a.w.,
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ
Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”Riwayat Muslim –
2.Anjing dan babi
Hal ini adalah berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ وَفِي رِوَايَةٍ: إِحدَاهُنَّ بِالبَطْحَاءِ
Yang bermaksud, sabda Rasulullah s.a.w., “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.” Dalam riwayat yang lain, “Satu daripada basuhan tersebut adalah air yang bercampur dengan tanah.”- Riwayat Muslim, al-Daruqurni –
3.Bangkai
Bangkai adalah semua binatang tidak halal yang mati, dan binatang halal yang mati tanpa disembelih dengan cara yang ditetapkan oleh syara‘. Firman Allah s.w.t.,
حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ…
Yang bermaksud, diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih)…
Pengharamannya adalah disebabkan ia najis. Termasuk juga dalam hukum bangkai adalah semua yang disembelih untuk berhala, dan yang disebut nama selain daripada nama Allah sw.t. – (Surah al-Ma’idah, ayat 3)
Firman Allah sw.t.,
…وَمَآ أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ…
Yang bermaksud, …dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah- (Surah al-Ma’idah ayat 3)
Jenis-jenis bangkai yang dikecualikan sebagai najis. Terdapat tiga jenis bangkai yang dikecualikan sebagai najis:
#Mayat manusia
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ…
Yang bermaksud, dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam- (Surah al-Isra’ ayat 70)
Maksud kemuliaan manusia ialah mereka suci sama ada hidup atau mati berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَيَنْجُسُ
Yang bermaksud, sabda Rasulullah sw.t., “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Islam tidak najis.” – Riwayat al-Bukhari –
Dan hadith seterusnya,
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: الْمُسْلِمُ لاَ يَنْجُسُ حَيًّا وَلاَ مَيِّتًا
Yang bermaksud, Ibnu ‘Abbas r.a. berkata, “Orang Islam tidak najis sama ada hidup atau mati.” – Riwayat al-Bukhari –
#Ikan
#Belalang
Kedua-dua ini berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُحِلَّتْ لَكُم مَيْتَـتَانِ وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ؛ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ؛ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ
Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang manakala dua jenis darah pula ialah hati dan limpa.” – Riwayat Ibnu Majah –
4.Darah yang cair termasuk nanah
Firman Allah s.w.t.,
…أَوۡ دَمٗا مَّسۡفُوحًا أَوۡ لَحۡمَ خِنزِيرٖ فَإِنَّهُۥ رِجۡسٌ…
Yang bermaksud, …atau darah yang mengalir, atau daging babi-kerana sesungguhnya ia adalah kotor- (Surah al-An‘am ayat 145)
5.Kencing dan tahi manusia dan binatang
Hal ini berdasarkan hadith,
أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي المَسْجِدِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صُبُّوا عَلَيهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ
Yang bermaksud, seorang badwi terkencing di dalam masjid lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jiruskan ke atas kencing itu setimba air.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim –
Perintah supaya menjirus air ke atas kencing menunjukkan bahawa kencing adalah najis.
6.Setiap bahagian yang terpisah daripada binatang semasa hidup adalah najis
Hal ini berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا قُطِعَ مِنْ بَهِيمَةٍ فَهُوَ مَيتَةٌ
Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apa-apa yang dipotong daripada binatang adalah bangkai.”- Riwayat al-Hakim –
Rambut dan bulu binatang yang dagingnya halal dimakan dikecualikan daripada hukum tersebut. Ia adalah suci.
Hal ini berdasarkan firman Allah sw.t.,
…وَمِنۡ أَصۡوَافِهَا وَأَوۡبَارِهَا وَأَشۡعَارِهَآ أَثَٰثٗا وَمَتَٰعًا إِلَىٰ حِينٖ 80
Yang bermaksud, …dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga suatu masa. (Surah al-Nahl ayat 80)
7.Susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan
Susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai dan seumpamanya adalah najis. Ini adalah kerana hukum susu adalah sama dengan dagingnya dan dagingnya adalah najis.
*Semoga bermanfaat dan terus cakna mengenai hal kebersihan dalam Islam!
Baca juga: Cara Sertu Kasut Atau Barang Terkena Najis Anjing, Mudah & Jangan Risau Nak Guna Semula