Nur

Boleh Ke Cas Telefon Dalam Masjid? Ini Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan

10
SHARES

Tidak dinafikan, pasti ada dalam kalangan kita pernah mengecas telefon di masjid sementara menunggu waktu solat untuk kegunaan peribadi. Walau bagaimanapun, adakah perbuatan mengecas telefon bimbit secara percuma ini dibenarkan dan apakah hukum cas telefon dalam masjid? Ikuti penerangan lengkap oleh Mufti Wilayah Persekutuan di bawah. Jangan pandang ringan tentang sesuatu perkara ya.

Baca juga: Nak Menunaikan Umrah, Ini Tips Packing Barang Jemaah Wanita, Jangan Tertinggal Barang!

HUKUM CAS TELEFON DALAM MASJID, JANGAN PANDANG RINGAN

CAS TELEFON DALAM MASJID

SOALAN:

Bolehkah makmum menggunakan tenaga elektrik di masjid untuk mengecas gajet persendirian?

JAWAPAN: 

Pada asalnya, harta yang dimiliki oleh masjid adalah bersifat wakaf hasil daripada sumbangan umat Islam. Oleh itu, kegunaan harta masjid termasuk penggunaan elektrik hendaklah berdasarkan niat para pewakaf.

Kaedah fiqah menyebut:

كل متصرف عن الغير فعليه أن يتصرف بالمصلحة

“Setiap yang bertindak bagi pihak orang lain, maka hendaklah ia bertindak berasaskan maslahah.” (1/310)

Dalam hal ini juga, bekas Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah menegaskan, secara fiqahnya, setiap perkara yang diwakafkan untuk masjid seperti karpet, lampu, penyapu, air dan lain-lain tidak harus digunakan kecuali untuk keperluan masjid.

CAS TELEFON DALAM MASJID

Ini berdasarkan sikap Rasulullah SAW yang amat memelihara setiap perkara yang dikhususkan untuk masjid, antaranya sebagaimana sabda Baginda SAW:

إِنَّ الْحَصَاةَ لَتُنَاشِدُ الَّذِي يُخْرِجُهَا مِنَ الْمَسْجِدِ

“Sesungguhnya anak-anak batu itu benar-benar berseru (agar tidak dikeluarkan) kepada orang yang mengeluarkannya dari masjid.” Hadis riwayat Abu Daud.

Dalam isu ini, mengecas gajet persendirian atau komputer riba pada asalnya adalah harus jika digunakan untuk perkara yang baik dan berfaedah seperti membaca Al-Quran, pengajian agama, terdesak untuk menghubungi keluarga dan seumpamanya.

Namun jika digunakan untuk tujuan kemaksiatan dan kesia-siaan, ia tidak diharuskan kerana bertentangan dengan matlamat asal maslahah harta masjid.

Di samping itu, disunatkan bagi mereka yang menggunakan harta masjid untuk memberikan sumbangan kepada tabung masjid sebagai membantu meringankan kos perbelanjaan dan penyelenggaraan masjid demi kemanfaatan bersama.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×