Kewangan

Jika Suami Meninggal Dunia, Ini Apa Si Isteri Perlu Tahu Tentang Harta Pusaka Suami

518
SHARES

Pembahagian harta pusaka dalam keluarga merupakan antara punca berlakunya perselisihan faham. Kekurangan ilmu tentang pembahagian harta menjadi penyebab utama berlakunya situasi tegang terutamanya jika suami meninggal dunia. Inilah masanya apabila si isteri perlu ‘bersaing’ dengan keluarga pihak suami dimana masing-masing akan menuntut harta pusaka yang ditinggalkan.

Jadi, terdapat satu perkongsian dari Majlis Agama Islam Selangor dimana terdapat info ringkas untuk para isteri tahu dengan pembahagian harta pusaka suami. Semoga dengan info yang diberikan ini dapat mengurangkan kekeliruan jika ada pembahagian harta pusaka dalam masa terdekat.

APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.

3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.

4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.

5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur lapan tahun dan anak lelaki berumur dua hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur dua hari.

6. Jika suami meninggal dunia dan dua hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

WALAUPUN NYATAKAN HARAM, TETAP ISTERI BERHAK MEWARISI HARTA

8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.

9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.

10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.

11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.

12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.

* Penting sangat ilmu ini untuk kita semua tahu terutamanya kepada para isteri. Sebarkan ilmu yang PENTING ini untuk pengetahuan semua orang.

Sumber : Majlis Agama Islam Selangor

Most Popular

To Top