Nur

Hukum Membaca Al Quran Ketika Haid & Memegang Tafsir Dalam Keadaan Berhadas. Ini Wanita Perlu Tahu

20
SHARES

Bolehkah seseorang wanita membaca Al Quran ketika haid?

Persoalan ini adalah antara kemusykilan yang sering menjadi kekeliruan ramai dan ia juga antara soalan popular yang sering diajukan dalam majlis-majlis ilmu.

 

Sebagai wanita, kita seharusnya jelas dan memahami apa sebenarnya hukum membaca Al Quran ketika haid dan bagaimana pula dengan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Hukum Membaca Al Quran Ketika Haid

Menurut Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerusi IRSYAD AL-FATWA KE-18: HUKUM MEMBACA DAN MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KEADAAN HAID, sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang masalah ini seperti yang dibincangkan oleh para ulama.

Menurut kesimpulan daripada artikel tersebut, membaca al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN jika terdapat KEPERLUAN.

Ditegaskan juga satu pendapat yang cukup baik di mana contoh keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Qur’an yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175)

Dicadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Qur’an melalui CD atau Youtube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan al-Qur’an.

Hukum membaca al quran ketika haid

Hukum Memegang & Membaca Tafsir Al Quran Ketika Haid

Satu lagi persoalan adalah tentang hukum memegang tafsir al-Quran iaitu terjemahan.

Seperti yang kita sedia maklum, membaca tafsir al-Quran adalah dibenarkan bagi wanita yang dalam keadaan haid atau berhadas.

Namun mungkin ada yang kurang jelas sama ada kita boleh memegang al-Quran yang mempunyai terjemahan untuk tujuan membaca atau ulangkaji.

Menurut IRSYAD AL-FATWA KE-194: HUKUM MEMEGANG TAFSIR AL-QURAN DALAM KEADAAN BERHADAS, jumhur ulama` mengatakan dibolehkan bagi menyentuh, membawa dan mengulangkaji tafsir al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub.

Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna dari al-Quran dan bukan membacanya. Makanya, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.

Namun, mestilah tafsirnya itu melebihi kandungan ayat al-Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafie.

Menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan pengagungan terhadap al-Quran.

Adapun yang terbaiknya adalah memegang al-Quran dalam keadaan suci dan dengan berwuduk.

Hukum Memegang Al Quran Dalam Smartphone Dalam Keadaan Berhadas (Tanpa Wuduk)

Bagi menentukan apakah menyentuh al-Quran yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit diwajibkan untuk berwuduk atau tidak, ia perlu difahami adakah ia juga dikategorikan sebagai Mushaf atau tidak.

Menurut IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-496: BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN DI DALAM TELEFON BIMBIT TANPA BERWUDUK, oleh kerana sifat aplikasi al-Quran itu berbentuk tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang, bahkan tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf al-Quran yang hakiki, maka ia tidak dikira sebagai sebuah mushaf al Quran.

Maka kesimpulannya, hukum membaca al Quran melalui telefon bimbit tanpa berwuduk adalah HARUS.

Namun, sebaiknya disunatkan untuk berwuduk ketika membaca al-Quran serta menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran sepertimana yang digariskan oleh para ulama seperti menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkan mulut.

hukum membaca al quran ketika haid

Banyak Amalan Wanita Haid Yang Boleh Dilakukan

Sebagai wanita, janganlah kita risau dan sedih jika kita berada dalam keadaan haid dan tidak boleh membaca al Quran dan mendirikan solat seperti biasa.

Terdapat pelbagai amalan lain yang dibolehkan untuk kita lakukan dalam keadaan berhadas, contohnya:

  • Membaca zikir
  • Memperbanyakkan doa
  • Bersedekah

[Rujuk sepenuhnya: 10 Amalan Ketika Haid & Nifas Agar Hati Tak Rasa ‘Kosong’]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×