Dapur

7 Cara Hilangkan Bau Busuk Dalam Peti Sejuk. Guna Bahan Semulajadi!

9.2K
reads

“Uwekk, kenapa bau busuk semacam ni! Mesti ada makanan basi lagi. Semua pandai beli dan sumbat makanan dalam peti sejuk sampai terlupa ada yang dah ‘expired’. Bukan senang nak menghilangkan bau peti sejuk ni nanti bila macam-macam bau dah melekat!”

Kadang-kadang dek terlalu banyak bahan disimpan dalam peti sejuk sehingga tak sedar ada yang sudah tamat tempoh. Masalahnya, bukan saja bahan makanan yang sudah expired ini mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, tetapi sisa makanan yang mengeluarkan aroma yang kuat juga boleh menyebabkan satu peti sejuk berbau busuk!

Tak perlu risau, sebenarnya ada cara menghilangkan bau peti sejuk ini dengan hanya menggunakan bahan semulajadi tanpa menjejaskan bau dan rasa pada makanan yang disimpan.

Foto Kredit: splendidtable.org

Foto Kredit: splendidtable.org

7 Cara Menghilangkan Bau Peti Sejuk Secara Semulajadi

Berikut adalah cara menghilangkan bau peti sejuk yang mudah dan berkesan. Ia menggunakan bahan yang mesra alam dan bebas toksik. Cubalah!

1. Serbuk Penaik / Baking Soda

Tabur serbuk penaik atas dulang / piring kecil dan masukkannya dalam peti sejuk. Kemudian tutup pintu sehingga bau busuk hilang.

Selepas itu masukkan semula barang dalam peti sejuk dan letakkan juga sekotak serbuk penaik di dalamnya. Buka sedikit penutup agar ia dapat menyerap segala bau yang kurang menyenangkan.

2. Cuka putih

Masukkan cuka putih dalam bekas terbuka dan letakkan dalam peti sejuk. Ia akan menyerap segala bau yang kurang enak dalam peti sejuk.

Untuk mewangikan lagi, perahkan sebiji lemon ke dalam larutan cuka tersebut dan lap bahagian dalam peti sejuk dengan campuran kedua-dua bahan ini.

petua halau semut

Foto Kredit: tescoliving.com

3. Oat

Siapa sangka oat juga boleh menyerap bauan yang tidak enak dalam peti sejuk. Masukkan sedikit oat dalam bekas dan letakkannya dalam peti sejuk.

Anda pasti akan mendapati peti sejuk anda kurang berbau selepas beberapa ketika.

Ada yang tekak tidak boleh masuk oat?

4. Serbuk kopi / teh

Gunakan uncang teh atau kopi dan letakkan dalam peti sejuk. Jika tiada yang jenis uncang, tabur serbuk kopi / teh di atas dulang dan letakkannya dalam peti sejuk.

Sekelip mata bau kopi yang semerbak akan menguasai peti sejuk.

menghilangkan bau peti sejuk

Foto Kredit: bbc.com

5. Arang

Selain bahan di atas, salah satu cara menghilangkan bau peti sejuk yang berkesan dan semulajadi adalah dengan menggunakan arang. Masukkan arang kecil ke dalam bekas ‘tupperware’ dan letakkan dalam peti sejuk.

Apabila letakkannya dalam peti sejuk, laraskan suhu dalam peti sejuk kepada yang rendah dan tutup pintu beberapa hari.

Foto Kredit: eleganthomes.xyz

Foto Kredit: eleganthomes.xyz

6. Roti

Roti boleh digunakan sebagai penyerap bau yang kurang enak dalam peti sejuk. Letakkan sekeping dua roti dalam peti sejuk dan tinggalkan sehingga roti tersebut menjadi kering. Jika masih berbau, boleh gantikan dengan roti yang baru sehingga baunya hilang.

Jadi, lain kali kalau ada baki sekeping dua roti, jangan buang ya!

Foto Kredit: thesun.co.uk

Foto Kredit: thesun.co.uk

7. Esen Vanila

Tahukah anda, esen vanila bukan hanya digunakan untuk memberi perasa dan aroma wangi pada kek, tetapi ia juga boleh digunakan untuk mewangikan peti sejuk di rumah anda.

Caranya mudah saja. Ambil sebesen kecil air dan titikkan 3-4 titis esen vanila ke dalamnya. Kemudian, ambil tuala bersih dan celupkan pada air ini untuk mengelap ruang dalam peti ais anda. Memang harum!

Usah Pandang Remeh Masalah Bau Dalam Peti Sejuk

Mudah saja untuk mempraktikkan cara menghilangkan bau peti sejuk di atas, bukan?

Ketahuilah bahawa peti sejuk boleh menjadi tempat pembiakan segala jenis bakteria jika ia dibiarkan berbau dan kotor. Selain itu, ia boleh menjejaskan rasa makanan dan sekaligus mengancam kesihatan kita.

Yang Popular

To Top