“Argh busuknya bilik air ni. Dari jauh dah bau. Nak kata tak cuci pun tak juga. Tapi kenapa cepat sangat berbau semula? Tak boleh jadi, aku kena cari cara hilangkan bau tandas, nanti malulah kalau tetamu datang.”
Memang stres kalau bilik air berbau. Mulalah tercari-cari mana datangnya sumber bau yang kurang menyenangkan.
Antara semua bilik dalam rumah, bilik air memang jadi perhatian kerana selalu digunakan. Bukan sahaja seisi rumah, malah tetamu yang datang berkunjung juga pastinya akan mengguna bilik air. Kalau bilik air kotor atau berbau, memang terasa malu. Nanti dianggap pengotor pula.
10 Cara Hilangkan Bau Tandas, Harum Sepanjang Masa
Berikut adalah 10 cara hilangkan bau tandas menggunakan bahan semulajadi. Mesra alam, dan sesuai untuk semua kediaman.
1. Pastikan pengaliran udara yang baik
Jika ada tingkap, buka seluas-luasnya selepas anda mengguna bilik air.
Jadi bau yang kurang menyenangkan dalam bilik air akan sentiasa digantikan dengan udara segar dari luar.
Jika ada bajet, pasang extractor fan yang bertindak mengalirkan udara dalam bilik air.
2. Elak gantung baju atau tuala
Pastikan tuala yang lembap digantung di tempatnya, bukan di dalam tandas.
Seeloknya, cuci alas kaki dengan kerap kerana jika ia lembap, bakteria dan lumut mudah berkumpul sehingga mengeluarkan bau busuk.
3. Pastikan tong sampah selalu kosong
Sebaiknya kosongkan tong sampah setiap hari meskipun belum penuh.
Ini kerana bakteria sukakan suasana yang lembap. Pembentukan bakteria boleh menyebabkan punca bau busuk.
Gunakan tong sampah bertutup untuk mengurangkan bau.
4. Galakkan kemasukan cahaya matahari
Sinaran cahaya matahari dapat membunuh kuman dan bakteria dalam bilik air.
Sebab itu cuba cari ruang agar cahaya matahari dapat masuk dalam bilik air.
5. Guna ‘essential oil’
Masukkan dua cawan air, satu sudu cuka putih, satu sudu soda penaik dan 10 titis essential oil seperti eucalyptus, sitrus atau lavender dalam botol spray.
Letak dalam bilik air dan ia akan memberi bau segar yang berpanjangan dalam bilik air.
6. Letak pokok bunga dalam bilik air
Pokok bunga seperti jasmine, lily dan ros mewangikan bilik air secara semulajadi.
Selain memberi kesegaran, ia juga mencantikkan pandangan.
7. Hirisan lemon
Ada beberapa cara anda boleh menggunakan lemon.
Cara pertama, gunakan garam laut dan isikan ke dalam kulit lemon (sperti dalam gambar di bawah). Gantikan garam ini setiap 4-5 hari.
Cara kedua lebih ‘simple’, hiris lemon dan letak dalam mangkuk kemudian letak dalam bilik air. Semua bau yang kurang menyenangkan akan diserap oleh hirisan lemon.
8. Hampas kopi
Hampas kopi jangan dibuang kerana ia dapat menghilangkan bau tandas.
Caranya, masukkan hampas kopi ke dalam lubang tandas, biarkan ia terendam beberapa lama dan siram. Anda akan dapati bau tidak menyenangkan itu akan hilang sama sekali.
9. Arang
Arang adalah satu lagi bahan semulajadi yang mampu menyerap bau busuk.
Cara menghilangkan bau tandas dengan arang adalah dengan meletakkan beberapa ketul arang kecil di dalam beg kain atau beg plastik yang berlubang-lubang.
Kemudian, gantungkannya di tempat yang berbau seperti berdekatan dengan mangkuk tandas.
10. Menyalakan mancis
Jika ada tetamu yang akan datang dalam masa yang terdekat, cuba nyalakan mancis seketika di dalam bilik air.
Walaubagaimanapun, cara ini dipercayai hanya bersifat sementara kerana nyalaan api tersebut hanya akan ‘menutup’ bau busuk tersebut.
Pastikan bilik air dicuci dengan kerap,
Jika tidak kotoran akan melekat dalam bilik air dan sukar ditanggalkan untuk jangka masa yang lama.
Ia akan menyebabkan bilik air nampak kotor meskipun sudah dibersihkan. Bau yang kurang menyenangkan juga dapat diatasi dengan mudah.