Sihat

Emosi Penat Berdepan Individu Toksik Di Tempat Kerja? Ikuti Tips Ini Dari Pakar

18
SHARES
cara berdepan individu toksik

Menjadi sasaran individu yang berperangai toksik di tempat kerja amat memenatkan mental dan fizikal sekiranya diri tidak mampu menguruskannya dengan baik. Maka, amat penting untuk anda mengetahui cara berdepan individu toksik ini bagi mengelakkan diri mengalami masalah mental lebih serius.

Sebagaimanan perkongsian tips dari Pakar Psikiatri, Doktor Rozanizam Zakaria, berkenaan cara menghadapi individu toksik di tempat kerja seperti di bawah.

Baca juga: Hidup Rasa Tertekan, Beremosi & Serabut, Cuba Kawal Dengan Cara Ini – Perkongsian Daripada Doktor!

AWAS! INDIVIDU TOKSIK MAMPU MENGGUGAT KESEJAHTERAAN MENTAL ANDA, IKUTI TIPS INI

cara berdepan individu toksik

Gambar hiasan: Shutterstock.

Menurut Dr. Rozanizam Zakaria, kebiasaannya individu yang bersifat toksik ini, akan menarik emosi dan tenaga orang yang menjadi sasarannya hingga menjadi penat. Selain itu, orang sebegini akan mencipta banyak konflik dan krisis di tempat kerja yang memberi kesan kepada emosi mangsanya.

Mereka mungkin bersifat membuli, mendiskriminasi, melanggari batas dalam perhubungan atau suka ambil kesempatan atas kelemahan orang lain untuk manfaat diri sendiri.

Maka, amatlah penting untuk anda mengetahui perkara yang boleh dilakukan untuk melindungi diri sendiri daripada individu dan persekitaran toksik di tempat kerja.

CARA BERDEPAN INDIVIDU TOKSIK, LAKUKAN 7 PERKARA INI

cara berdepan individu toksik

Gambar hiasan: Google.

1. FOKUS PADA PERKARA DALAM KAWALAN DIRI

Penting untuk anda kawal apa yang dalam kawalan diri sendiri. Fokus pada apa yang diri sendiri boleh kawal dan lepaskan perkara yang tidak boleh dikawal.

Individu toksik akan mengajak anda untuk terlibat dalam semua perkara. Jadi, jangan ambil kisah tentang perkara yang tidak berkaitan dengan anda.

Fokus dengan perkara yang perlu diutamakan dalam kerja. Ingat, anda tidak boleh ubah orang dari berkata-kata dan tingkah laku mereka. Tetapi, anda boleh ubah adalah diri sendiri dan apa yang ada dalam kawalan anda.

2. TETAPKAN SEMPADAN DIRI

cara berdepan individu toksik

Gambar hiasan: Google.

Tetapkan sempadan (boundary) supaya orang lain tak langgar batasan anda. Contoh, sempadan yang paling mudah adalah berkomunikasi dengan orang tentang macam mana anda mahukan apabila dalam sesuatu urusan.

“Aku tak nak kau buat macam ini. Kita tak boleh buat macam ini…”

Selain itu, anda perlu belajar untuk katakan TIDAK pada perkara yang tiada kaitan dengan diri atau dibebani dengan perkara yang melebihi dari kemampuan. Menetapkan sempadan antara perkara yang penting.

3. PANDAI MEMILIH PERTEMPURAN

Pilih pertempuran mana yang anda mahu terlibat. Perkara ini adalah penting kerana individu toksik suka mencipta krisis dalam perhubungan. Bahasa mudahnya, suka mencari gaduh.

Justeru itu, anda perlu pandai memilih pertempuran. Jangan terlibat dengan semua jenis pergaduhan seperti perkara-perkara kecil kerana ia akan memenatkan emosi anda.

Biarkan individu toksik ini bergelut dengan pertempuran yang mereka sendiri cipta. Anda hanya perlu pilih perkara utama yang perlu difokuskan.

4. URUS & PERHATIKAN EMOSI DIRI

cara berdepan individu toksik

Gambar hiasan: Shutterstock.

Apabila berurusan dengan individu toksik, sudah tentu anda akan berasa geram dan sakit hati. Ini akan menyebabkan individu tersebut memanipulasi (gaslighting) perasaan anda seperti membuatkan anda rasa bersalah. Justeru itu, perhatikan dan uruskan emosi anda dengan baik.

Sekiranya, anda merasakan perbualan tersebut membuatkan anda tidak selesa dan lebih beremosi, belajar untuk beredar dan lakukan perkara yang boleh mengalih perhatian diri. Hal ini penting, bagi mengelakkan diri terlibat dari melakukan perkara yang tidak diingini.

5. JANGAN SOROK PERBUATAN INDIVIDU TOKSIK

Sekiranya individu toksik ini melakukan hal yang melampaui batas seperti membuli, pastikan perbuatan ini diketahui umum. Jangan cuba untuk melindungi atau menyembunyikan perbuatan salah tersebut.

Penting untuk anda pastikan orang lain juga tahu. Malah, cuba elakkan diri dari berurusan empat mata dengan individu sebegini.

Contohnya, mengajak rakan sekerja yang lain dalam diskusi tersebut agar dia boleh menjadi saksi sekiranya perkara buruk terjadi. Dalam urusan email pula, anda boleh Cc (carbon copy) kepada bos untuk melindungi diri anda.

6. BINA ‘TENTERA’ ANDA DI TEMPAT KERJA

cara berdepan individu toksik

Gambar hiasan: Shutterstock.

Elakkan dari menyendiri di tempat kerja. Hal ini kerana, ia akan memudahkan individu toksik menyasarkan diri anda.

Justeru itu, pastikan anda mempunyai rakan kerja yang sekepala dan mempunyai kefahaman sama di tempat kerja. Seandainya, individu toksik ini ingin menyerang, dia akan beringat yang anda juga mempunyai ‘tentera’ sendiri yang akan melindungi diri anda.

7. JANGAN TAKUT MINTA PERTOLONGAN

Sekiranya 6 perkara di atas ini anda telah lakukan, tetapi individu ini berterusan mencipta persekitaran toksik dalam kehidupan anda hingga berasa burn out, jangan takut untuk meminta pertolongan.

Cuba dan beranikan diri untuk meminta pertolongan dari pihak tertentu seperti pihak atasan, jabatan sumber manusia atau individu yang anda percaya di pejabat. Hal ini kerana, diri akan terkesan secara individu, sekiranya tidak mendapat sokongan yang boleh mewujudkan kecenderungan kepada masalah mental lebih serius.

Kesimpulannya, di mana sahaja anda berada pastikan keselamatan dan kesejahteraan fizikal mahupun mental anda terpelihara. Sayangi dan lindungi diri anda sendiri.

Sumber: Facebook Dr Rozanizam Zakaria

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×