‘Overthinking’ atau keadaan seseorang yang terlalu berfikir boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Disebabkan itu, ramai dalam kalangan masyarakat mencari cara menguruskan overthinking ini.
Melalui perkongsian video di laman Facebook Doktor Rozanizam Zakaria, Pakar Psikiatri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sikap terlalu berfikir ini bukanlah satu penyakit. Ia terjadi apabila seseorang itu dalam keadaan berfikir atau risau memikirkan sesuatu yang melebihi daripada apa sepatutnya.
Baca juga: Ini 10 Kunci Rahsia Untuk Berjaya, Cuba Buat Mulai Hari Ini – Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah
5 TIPS MENGURUSKAN OVERTHINKING
APA ITU OVERTHINKING?
Menurut Doktor Rozanizam, ‘overthinking’ merupakan seseorang yang berfikir atau risau memikirkan sesuatu keadaan melebihi daripada apa yang sepatutnya. Kadang-kadang bermula dengan satu fikiran, kemudian akan asyik berfikir lagi dan lagi.
Sampai akhirnya, perkara yang ingin dilakukan di permulaan tadi tidak berjaya diselesaikan. Diumpamakan seperti melayari internet, kemudiannya membuka browser dan browser yang lain.
Overthinking bukanlah satu penyakit tetapi ia adalah keadaan di mana fikiran seseorang itu terganggu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja seperti seseorang yang mungkin dalam keadaan tertekan, personalitinya yang mudah risau atau kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental (kemurungan atau anxiety).
CARA MENGURUSKAN OVERTHINKING:
Di dalam perkongsian tersebut, Doktor Rozanizam menyatakan terdapat 5 cara yang boleh dilakukan oleh seseorang sewaktu mengalami overthinking. Malah, beliau turut menyarankan agar tips ini tidak dilakukan sekali sahaja kerana ia perlu sentiasa diamalkan berulang-kali.
Semoga anda dapat menangani isu overthinking ini.
1. AMALKAN 3C
CHECK
- Periksa semula apa yang sedang anda fikirkan.
CABAR
- Jangan terus menerima apa yang anda sedang fikirkan, sebaliknya cabar pemikiran tersebut.
- Periksa betul ke tak betul atau perlu ke tidak perlu, fikiran yang baik atau tidak dan sebagainya.
CIPTA
- Cipta atau cari pemikiran yang lebih sihat.
- Bagaimana pula hendak berfikir dengan sihat? Ikuti tips yang kedua.
2. FOKUS KEPADA 2 PERKARA
FOKUS KEPADA PENYELESAIAN PRAKTIKAL
Dalam banyak perkara yang difikirkan, pilih perkara yang praktikal untuk dilakukan. Kadang-kadang banyak yang datang di fikiran itu adalah falsafah ataupun masalah yang hypotertical.
Contohnya, “kalau macam ini macam mana?”
Disebabkan itu, dalam banyak perkara yang bermain di fikiran, anda perlu fokus kepada penyelesaian yang praktikal.
FOKUS KEPADA PERKARA DALAM KAWALAN
Contohnya anda banyak fikir, “esok jadi jadi macam mana?”, “kalau macam ini jadi bagaimana pula?”
Adakah yang terjadi pada esok itu dalam kawalan kita? Sekiranya bukan dalam kawalan anda, belajar untuk lepaskannya.
3. TULIS
Kadang-kadang, ia membantu untuk ‘visualise’, tunjuk dan nampakkan apa yang sedang anda fikirkan.
Kaedahnya adalah dengan menulis. Perkara yang sedang serabut di dalam kepala seperti mengenai masalah, kerisauan atau sebagainya perlulah disenaraikan.
Ia membantu anda untuk melihat apa yang difikirkan dengan lebih jelas di mana, perkara yang sedang diserabutkan itu sebenarnya adalah bukan perkara yang teruk, mengarut, tidak praktikal atau berlebih-lebihan.
Dalam fikiran ia berbentuk abstrak tetapi apabila diterjemahkan di atas kertas ia bersifat lebih objektif.
4. AMALKAN PRAKTIS YANG MEMBANTU ANDA TENANG
Contohnya:
- Deep breathing.
- Progressive Muscle Relaxation (PMR)
- Mindfullness (teknik melatih diri untuk fokus).
Dan apa-apa sahaja tips yang pernah dikongsikan umum.
5. LIBATKAN DIRI DENGAN PELBAGAI AKTIVITI
Sibukkan diri anda dengan melakukan pelbagai jenis aktiviti. Kadang-kadang, overthinking ini akan datang bila anda sedang duduk sahaja, berfikir, termenung atau sebelum tidur.
Disebabkan itu anda cepat terganggu dengan pemikiran yang negatif. Justeru itu, cubalah sebaik mungkin untuk melibatkan diri anda dengan aktiviti yang berfaedah.