Boleh bingung kepala, apabila kenderaan yang dipandu kerap mengeluarkan bunyi kereta yang kurang menyenangkan seperti “ketak ketak”. Apatah lagi ia dipandu di kawasan berselekoh atau di atas jalan yang tidak rata.
Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, ikuti perkongsian bermanfaat mengenai tanda, punca dan tips mengenai masalah tersebut seperti dikongsikan saudara Muhammad SE di bawah.
Baca juga: Nampak Bulat Sama Tapi Rupanya Bunga Tayar Ada Banyak Jenis, Jangan Salah Pilih!
BUNYI KERETA “KETAK KETAK” BILA DI SELEKOH & JALAN TAK RATA
“Bang, kereta saya ada bunyi macam ketak-ketak bila saya lalu jalan tidak rata atau masa buat selekoh. Apa masalah sebenarnya ni?”
Saya senyum sebab masalah macam ini memang biasa untuk kereta yang selalu kena bawa di jalan raya seperti di Sabah yang berlubang, berbatu dan banyak selekoh.
Selepas saya periksa, masalah datang dari stabilizer link yang dah longgar dan haus.
Apa itu stabilizer link?
Stabilizer link ialah komponen kecil dalam sistem suspensi yang menyambungkan stabilizer bar (anti-roll bar) dengan suspensi. Peranannya adalah untuk:
- Mengurangkan goyangan kereta semasa selekoh.
- Menjaga kestabilan kereta atas permukaan jalan yang tidak rata.
Kalau stabilizer link rosak, goyangan kereta akan jadi lebih ketara, terutama masa selekoh atau melalui jalan beralun.
Baca juga: KLIA Ranking Pertama Prestasi Global Bagi Kualiti Perkhidmatan, Atasi Lebih 350 Lapangan Terbang!
TANDA-TANDA STABILIZER LINK BERMASALAH
1. Bunyi ketak-ketak atau klak-klak
“Bunyi ini biasanya jelas semasa melalui jalan berlubang atau masa selekoh tajam.”
2. Kereta terasa bergoyang
“Kalau stabilizer link rosak, suspensi tak dapat menahan olengan kereta dengan baik, membuatkan pemanduan kurang stabil.”
3. Kehausan tayar tidak sekata
“Bila suspensi tidak berfungsi dengan sempurna, tayar boleh haus secara tidak sekata kerana kestabilan kereta terganggu.”
Jalan raya yang tidak rata berlubang atau berbatu seperti di Sabah memberi tekanan tambahan kepada stabilizer link.
Setiap kali kereta melanggar lubang atau melalui jalan beralun, stabilizer link kena kerja lebih keras untuk menyerap hentakan dan menstabilkan kereta.
Kalau ini berlaku terlalu kerap tanpa pemeriksaan, stabilizer link akan cepat haus dan menyebabkan sistem suspensi kurang berfungsi.
Baca juga: Nak Teriak Tengok Kereta Tenggelam Dek Banjir, Bertenang Cek 5 Komponen Ini Dulu, WAJIB!
Apa punca stabilizer link cepat rosak?
- Kondisi jalan raya yang buruk – Lubang dan permukaan tidak rata menyebabkan hentakan kuat pada stabilizer link.
- Penggunaan komponen berkualiti rendah – Komponen yang murah atau tidak tahan lasak akan cepat haus bila digunakan di jalan mencabar.
- Pemanduan agresif – Kerap memandu laju atas jalan tidak rata atau selekoh tajam meningkatkan tekanan pada stabilizer link.
“Nasib baik saya periksa awal. Kalau dibiarkan, bukan saja suspensi rosak, tapi mungkin tayar pun cepat haus,” sambungnya.
Betul itu. Stabilizer link mungkin kecil, tapi kalau rosak dia boleh jejaskan banyak komponen lain.
Jadi, pastikan anda sentiasa memeriksa sistem suspensi, terutamanya stabilizer link. Kalau tidak mahu risiko pemanduan jadi tidak selamat.
Tips jaga stabilizer link
- Pemeriksaan berkala – Periksa stabilizer link setiap kali servis, terutamanya jika selalu memandu di jalan yang banyak berlubang, berbatu atau banyak selekoh.
- Kurangkan laju di jalan tidak rata – Pandu perlahan bila melalui jalan berbatu atau berlubang untuk kurangkan hentakan pada suspensi.
- Gunakan komponen berkualiti @followers – Pilih stabilizer link yang tahan lasak dan sesuai dengan kondisi jalan raya.
Baca juga: Tak Ingat Suami Ambil Syarikat Insurans Apa, Bila Kereta Rosak Ini Cara Pantas Untuk Isteri Tahu!
Sumber: Muhammad SE
FT Image: Muhammad SE / Google