Lebih kurang seminggu lebih lagi, negara Malaysia bakal meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Ke-65. Maka, tidak lekang kalau tidak bergema lagu-lagu patriotik yang kebiasaannya dinyanyikan secara beramai-ramai.
Selepas sekian lama, tidak dapat meraikannya secara meriah dan terbuka bersama rakyat, justeru pada tahun ini acara perarakan akan diadakan secara gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.
Baca juga: Hero Kanchong Darat ‘Mendunia’, Anak-Anak Sidek Gah Takluki Pentas Badminton!
LAGU PATRIOTIK
Justeru itu, penulis menyenaraikan 5 buah lagu patriotik yang masih malar segar sehingga hari ini, buat pembaca mengingati semula melodi dan bait-bait lirik yang terkandung agar dapat menyemarakkan lagi semangat kecintaan pada negara.
Bahkan, anda juga dapat mengetahui serba sedikit mengenai info yang menarik dalam setiap karya lagu patriotik yang telah dicipta.
Baca juga: JANGAN Lakukan 5 Perkara Ini Pada Jalur Gemilang, Bendera Rasmi Lambang Negara Malaysia!
5 KARYA AGUNG PATRIOTIK MALAR SEGAR SEHINGGA KINI:
1. ‘TANGGAL 31’
Lagu patriotik Tanggal 31 ini merupakan sebuah dendangan dari Allahyarham Dato’ Sudirman bin Haji Arshad. Rentak karya ini pula bersifat rancak dan ‘catchy’.
Tambahan, liriknya yang berulang-ulang memudahkan sesiapa saja untuk mengingati dan menyanyikannya. Menerusi lagu ini juga, Sudirman telah mencipta sejarah dengan memakai busana yang diilhamkan daripada bendera Jalur Gemilang sewaktu menyanyikannya.
Info lain, karya patriotik ikonik ini asalnya dinyanyikan oleh penciptanya, Allahyarham Ahmad CB. Menariknya, versi Ahmad CB melodinya berentak perlahan dan kedengaran lebih klasik.
2. ‘JALUR GEMILANG’
Lagu Jalur Gemilang dicipta sebagai dedikasi terhadap bendera kebangsaan Malaysia.
Malah, lirik di dalam karya ini menerangkan setiap warna dan lambang yang terdapat pada bendera ini. Melalui nyanyian lagu, dapat membantu anak-anak terutamanya, mengetahui maksud di sebalik lambang dan warna yang ada dengan mudah.
Lagu ini asalnya bernama Benderaku yang ditulis oleh penulis lagu Malaysia bernama Tony Fonseka. Namun, selepas bendera diberikan nama Jalur Gemilang, lagu kebangsaan telah dikemas kini pada tahun 1997 untuk mencerminkan perubahan ini.
Kemudiannya disusuli dengan pengenalan lagu bendera baharu, dengan susunan oleh penulis lagu Malaysia Pak Ngah dan lirik oleh penulis lagu Siso Kopratasa.
3. ‘KERANAMU MALAYSIA’
Keranamu Malaysia merupakan lagu patriotik yang dimainkan sekitar tahun 2000 sehingga 2006. Rentaknya yang rancak menjadikan ianya sedap didengari selain, mengeluarkan bait-bait lirik yang membuatkan pendengar berasa bangga.
Bait lirik di bahagian akhir “Terima kasih Malaysia!”, yang berbunyi seperti laungan membuatkan sesiapa saja yang mengungkapnya akan merasai semangat yang berkobar-kobar dalam diri. Hal ini kerana, rangkap-rangkap lirik sebelumnya menceritakan perkembangan dan kemajuan negara yang berlaku, di mana telah memberikan keselesaan kepada kelangsungan rakyat pada hari ini.
Lagu ini dicipta oleh pengubah lagu terkenal Malaysia iaitu Datuk Suhaimi Mohd Zain yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah. Lirik oleh Syed Indera Syed Omar atau dikenali sebagai SISO.
4. INILAH BARISAN KITA
Inilah Barisan Kita atau nama lainnya Perajurit Tanah Air merupakan lagu yang dicipta oleh saudara Saiful Bahari. Di dalam karya in mengandungi lirik-lirik pujian kepada kesediaan perajurit untuk berperang dan mati.
Apabila mendengar lagu ini, pastinya akan membuatkan bulu roma pendengar berasa merinding kerana semangat pada liriknya yang berjaya disalurkan.
Seperti bait-bait liriknya, pendengar tidak dapat lari dari membayangkan para perajurit yang berada di perbatasan negara bersama senjata dan celoreng di muka yang menggambarkan keazaman mereka untuk melindungi keamanan dan kedaulatan negara.
Malah, sewaktu sambutan Hari Kebangsaan di peringkat sekolah juga unit pasukan beruniform sekolah akan berkawad dengan diiringi lagu ini sambil membawakan bendera Jalur Gemilang. Sungguh membanggakan!
5. ‘SEJAHTERA MALAYSIA’
Versi asal lagu Sejahtera Malaysia telah didendangkan oleh Fauziah Ahmad Daud, Azlina Aziz, Rohana Jalil, Elaine Kang dan Desree pada 1980-an. Walaupun ianya telah dinyanyikan semula dalam pelbagai versi namun lagu ini masih kekal sama ‘rohnya’, yang dapat menjentik rasa dalam suasana rakyat meraikan Bulan Kemerdekaan.
Menariknya ketika dulu, lagu ini kerap kali dimainkan sebelum slot berita jam 8 malam di RTM1. Memang menggamit kenangan lama!
Lagu ini adalah sebagai tanda kesyukuran rakyat Malaysia kerana diberikan sebuah negara yang hidup dalam keadaan aman dan makmur yang memiliki berbilang kaum, agama dan budaya melalui perpaduan yang utuh.
Baca juga: [VIDEO] 6 Idea Aksesori DIY Merdeka, Boleh Gayakan Masa Sambut 31 Ogos Nanti!
Sumber: Getaran / Bernama.com / Wikipedia / Berita Harian
FT Image: Bidadari