Famili

Semarakkan Semangat Patriorisme, Filem Pendek 3 Sekawan Bakal ‘Huru-Harakan’ Hari Malaysia Anda!

11
SHARES

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang disambut pada 31 Ogos lalu telah menyerlahkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Berdasarkan reaksi dan perkongsian video pendek yang membanjiri ruang media sosial, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sambutan pada tahun ini sungguh luar biasa!

Justeru itu, sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September, Media Prima Berhad membawakan filem pendek ‘3 Sekawan’ yang mengisahkan tentang tiga kanak-kanak mencari maksud kemerdekaan sebenar.

Baca juga: Bukan Sekadar Lagu Patriotik, Ini 5 Karya Agung Lagu Tema Kemerdekaan Jadi Siulan Ramai

‘3 SEKAWAN’ YANG DIINSPIRASIKAN DARI KISAH SEBENAR!

Kisah tiga sekawan menceritakan watak utama iaitu Faiz, Ah Chong dan Danush yang bersatu semula di kampung mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Mereka bertiga mengatur sebuah rancangan besar demi menuntut kebebasan mutlak tetapi malangnya rancangan mereka itu menyebabkan berlakunya huru-hara besar di kampung.

Disebabkan itu, tiga sekawan ini perlu mengatur langkah untuk memperbetulkan keadaan semula sebelum tiba hari yang bermakna.

INI SEBAB MENGAPA ANDA PERLU TONTON FILEM PENDEK ‘3 SEKAWAN’:

1. BERDASARKAN PERISTIWA SEBENAR

Menurut pengarah ‘3 Sekawan’, Izuan Mokhtar, semua peristiwa huru-hara yang dipaparkan dalam filem pendek ini adalah berdasarkan peristiwa benar.

Izuan menceritakan bahawa salah seorang penulis telah berkongsi pengalaman yang dilaluinya sewaktu dia masih kecil. Penulis tersebut telah pulang ke kampungnya untuk menyambut Hari Raya.

Pada suatu pagi dia bangun dan melihat keadaan huru-hara dek sekumpulan angsa yang terlepas di luar rumah di kampungnya itu. Penduduk kampung telah mengorbankan sebahagian besar waktu pagi mereka pada hari itu untuk mengejar angsa-angsa dan memasukkan mereka semula ke dalam sangkar.

Penulis difahamkan, bahawa haiwan itu terlepas angkara sekumpulan kanak-kanak nakal yang menganggap perbuatan itu sebagai suatu gurauan.

2. KAMPUNG TULEN, HAIWAN ASLI

Bagi memperlihatkan realiti yang sebenar, Izuan mendedahkan bahawa syarikat produksi, Zeel Production Sdn Bhd, telah menjalankan penggambaran bagi keseluruhan filem itu di sebuah kampung sebenar di Perlis dalam masa seminggu sahaja.

Pemandangan menakjubkan termasuk kemegahan bukit-bukau yang menghijau serta ketenangan tasik mewarnai latar tempat bagi filem ini.

Bukan itu sahaja, semua haiwan ternakan yang anda lihat dalam ‘3 Sekawan’ ini adalah haiwan sebenar. Beberapa ahli kru ditugaskan untuk ‘mengembala’ lembu, ayam, burung dan angsa yang membuat penampilan khas dalam filem pendek ini.

Memang menggunakan banyak tenaga!

3. DIBINTANGI BARISAN PELAKON TERKENAL MALAYSIA

Filem pendek ini bersinar dengan bakat bintang-bintang tanah air. ‘3 Sekawan’ dilakonkan oleh pelakon cilik yang berbakat besar dan serba boleh iaitu Ummar Shakur (Faiz), Camans Kong (Chong) dan Rudtra a/l Manivanan (Danush).

Malah filem ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air seperti Dato’ Rahim Razali, Kazar Saisi, Redza Rosli, Sherry Ibrahim, Mandy Chong dan Sathiya.

4. TONTONAN PERCUMA

Sebagai rakyat Malaysia sejati, Media Prima Berhad amat memahami daya tarikan perkara percuma! Oleh demikian, filem pendek ini akan disiarkan bagi tontonan percuma.

Anda boleh saksikan ‘3 Sekawan’ pada Hari Malaysia, 16 September, di TV3 pada jam 9 malam, TV9 pada jam 8.15 malam, DIDIKTV KPM pada jam 9.30 pagi dan 8TV pada jam 11.45 malam.

Anda juga boleh menstrimnya dalam talian di www.tonton.com.my.

Filem pendek ini adalah sebahagian daripada kempen #BebasBersama oleh Media Prima Berhad untuk mendidik, mengingatkan dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda tentang pengorbanan wira tempatan kita dalam memastikan negara bebas dan merdeka.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×