Euforia Bola 2026
Rakyat

Tengah Hangat Isu Rohingya Di Malaysia, Ini Perbezaan Kad UNHCR, Kad Biru, Kad Merah & PATI Rakyat Kena Tahu!

kad UNHCR

Sejak kebelakangan ini, isu melibatkan komuniti Rohingya kembali hangat diperkatakan di media sosial hingga ramai mula keliru tentang perbezaan dokumen seperti kad pengenalan biru, kad pengenalan merah, kad UNHCR dan juga status PATI di Malaysia.

Baca juga: “Utamakan Graduan Tempatan”- Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia TAK SETUJU Kemasukan Jururawat Indonesia

PERBEZAAN KAD UNHCR, KAD BIRU, KAD MERAH & PATI DI MALAYSIA

Malah, tidak kurang juga yang menyamakan kesemua kategori ini sedangkan dari sudut undang-undang dan status di negara ini, setiap satunya membawa maksud yang sangat berbeza.

Jadi, apa sebenarnya beza empat perkara ini?

1. Kad biru (MyKad): Warganegara Malaysia

kad UNHCR

Kad pengenalan biru atau MyKad ialah kad pengenalan rasmi untuk warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ia diwajibkan kepada rakyat Malaysia berumur 12 tahun ke atas dan menjadi dokumen pengenalan rasmi negara.

Pemegang MyKad mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia termasuk akses kepada kemudahan awam, pendidikan, kesihatan dan hak-hak lain mengikut undang-undang negara.

Dalam erti kata mudah, jika seseorang memiliki MyKad biru yang sah, individu itu diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

2. Kad merah (MyPR): Penduduk tetap, bukan warganegara

kad merah

Antara yang paling kerap disalah faham ialah kad pengenalan merah atau MyPR.

Menurut JPN, MyPR diberikan kepada individu yang mempunyai status Pemastautin Tetap (Permanent Resident/PR) di Malaysia. Mereka dibenarkan tinggal secara sah di negara ini, tetapi bukan warganegara Malaysia.

Kad ini juga mempunyai latar belakang merah dan memaparkan maklumat kewarganegaraan asal pemegangnya.

Ini bermaksud, tidak semua pemegang kad merah ialah PATI atau pendatang tanpa izin. Mereka mempunyai status sah sebagai penduduk tetap, cuma tidak memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Baca juga: Nak Jumpa Doktor Psikiatri Tapi Tak Tahu Macam Mana? Ini Cara Mudah Tempah ‘Appointment’ Di MySejahtera

3. Kad UNHCR: Dokumen pelarian atau pemohon suaka

kad UNHCR

Gambar hiasan.

Satu lagi dokumen yang sering menjadi topik perbincangan ialah kad UNHCR, terutama apabila melibatkan komuniti Rohingya di Malaysia.

Untuk faham konteks ini, komuniti Rohingya yang berada di Malaysia kebanyakannya tidak mempunyai kewarganegaraan Myanmar dan ramai memohon perlindungan sebagai pelarian atau pemohon suaka melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu UNHCR.

Bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa kad UNHCR bukan kad pengenalan Malaysia, bukan MyKad dan bukan bukti kewarganegaraan Malaysia.

UNHCR menjelaskan kad ini hanya dikeluarkan kepada individu yang telah disahkan sebagai pelarian atau pemohon suaka yang memerlukan perlindungan antarabangsa selepas melalui proses penilaian tertentu.

Dalam kata mudah, pemegang kad UNHCR bukan automatik menjadi rakyat Malaysia atau pemastautin tetap hanya kerana memiliki kad tersebut.

4. PATI: Tiada dokumen imigresen sah

Berbeza pula dengan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin).

Secara umum, PATI merujuk kepada individu yang memasuki Malaysia tanpa dokumen sah, tinggal melebihi tempoh visa atau permit, atau tidak mempunyai kebenaran imigresen yang dibenarkan di bawah undang-undang negara.

Jabatan Imigresen Malaysia menguatkuasakan perkara ini di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga: Pasport Baharu Tangguh, Ini 10 Perkara Lain Mulai 1 Jun 2026 Akan Berubah Yang Rakyat Wajib Tahu

Kesimpulan

Dalam konteks mudah:

  1. MyKad biru = rakyat Malaysia
  2. Kad merah (MyPR) = penduduk tetap, tetapi bukan rakyat Malaysia
  3. Kad UNHCR = pelarian/pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR
  4. PATI = individu tanpa dokumen imigresen sah

Apa yang penting, perkara yang berkaitan Rohingya dan isu migrasi di Malaysia sering menjadi sensitif kerana melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan, undang-undang serta kapasiti negara.

Disebabkan itu, memahami perbezaan status dan dokumen ini penting supaya tidak timbul salah faham atau penyebaran maklumat yang kurang tepat di media sosial.

Sumber: Portal rasmi JPN / malaysia.gov.my / UNHCR Malaysia / refugeemalaysia.org / Jabatan Imigresen Malaysia

FT Image: JPN / Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×