40 Minggu

Ibu Mengandung, Jangan Paksa Diri Berpuasa Kalau Ada 8 Tanda Ini

8.6K
reads

Dalam Islam, puasa ketika hamil diharuskan untuk berbuka apabila di dalam dua keadaan iaitu apabila berpuasa dapat membahayakan kesihatan diri atau membahayakan kesihatan kandungan.

Dari segi kesihatan pula, Dr Imelda Balchin dalam sebuah post beliau menegaskan bahawa ibu hamil dan kandungan yang sihat selepas trimester pertama boleh berpuasa jika hendak berpuasa. Jika berasa lemah, atau loya, hendaklah berbuka puasa. Malah, jika anda berasa sihat, tetapi ada tanda yang membimbangkan, sebaiknya dicadangkan agar berbuka puasa demi kesihatan diri, kandungan, atau bayi yang disusukan.

Ibu Mengandung, Jangan Paksa Diri Untuk Berpuasa Kalau Ada 8 Tanda Ini

Di sini terdapat beberapa tanda ibu mengandung patut berbuka dan tidak meneruskan puasa ketika hamil.

1. Morning Sickness Yang Teruk

Wanita yang berada pada awal fasa kehamilan ada kalanya mengalami masalah morning sickness yang teruk. Jika keadaan berlarutan sehingga menyebabkan kekurangan tenaga maka disarankan berbuka sahaja.

Hal ini kerana apabila sudah muntah-muntah, tenaga dari makanan yang diambil hilang dan boleh menyebabkan mudarat pada janin.

Foto Kredit: familyaid.co.uk

2. Mengalami Diabetes

Menurut Malaysian Medical Gazette, wanita mengandung yang mengalami Diabetes Jenis I, II dan Gestasi perlulah berbincang dengan Pakar Perubatan dan Pegawai Dietetik berkenaan ubat dan diet yang sesuai semasa berpuasa. Sekiranya tidak memerlukan rawatan metformin atau insulin, boleh berpuasa jika boleh terus mengawal bacaan gula di dalam darah pada bulan puasa.

Masalahnya bukanlah bacaan gula semasa berpuasa tetapi bacaan gula yang tinggi melambung selepas berbuka, sebelum sahur dan selepas sahur. Dr Imelda mengesyorkan mengambil bacaan gula 2 jam selepas berbuka puasa, sebelum sahur, dan 2 jam selepas sahur. Jika 2 jam selepas makan bacaannya melebihi 6.7, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat metformin. Tetapi jika bacaan masih tinggi juga selepas menerima rawatan metformin, lebih baik tidak berpuasa dan kawal semula pemakanan seperti sebelum bulan puasa.

3. Demam, Rasa Sejuk, Lemas, Menggigil, Dan Berpeluh

Jangan paksa diri untuk puasa ketika hamil sekiranya para ibu mempunyai masalah kesihatan seperti demam. Situasi lain yang perlu diambil berat oleh ibu hamil ialah apabila mengalami hypoglysemia iaitu kandungan gula dalam darah rendah.

Jika badan mula berasa lemas, menggigil, berpeluh dingin dan pandangan kabur, maka dinasihatkan untuk berbuka puasa. Adalah dinasihatkan juga untuk berbuka jika badan mengalami dehidrasi dengan simptom berpeluh dingin dan cirit- birit.

Isteri sakit demam panas

4. Masih Dalam Tempoh Pengambilan Ubat

Sekiranya pengambilan ubat perlu dipatuhi untuk elakkan kemudaratan pada janin, adalah lebih baik untuk tidak berpuasa terlebih dahulu.

Namun sekiranya kesihatan anda normal dan ingin cuba untuk puasa ketika hamil, dapatkan pendapat daripada doktor untuk pengambilan dos yang lebih tepat sepanjang waktu berpuasa.

makan ubat ketika hamil

Foto Kredit: elsiglodetorreon.com.mx

5. Ibu Menyusu (Atau Tidak Menyusu) Yang Masih Berpantang

Bagi ibu menyusu terutamanya yang masih berpantang atau baru lepas berpantang, minta nasihat daripada doktor untuk pengurusan kesihatan yang baik dan pastikan doktor memberi ‘green light’ untuk berpuasa.

Dr Imelda menjelaskan bahawa kadangkala darah nifas hanya dua minggu, tetapi kepekatan darah adalah masih tinggi pada 6 minggu selepas bersalin.

pakej berpantang

Foto Kredit: klikdokter.com

6. Kurangnya Susu Badan Secara Mendadak

Apabila anda telah mencuba pelbagai ikhtiar tetapi susu badan tetap berkurangan dengan mendadak sewaktu berpuasa, anda dicadangkan untuk berbuka puasa demi kebaikan bayi.Lebih-lebih lagi sekiranya bayi bergantung 100% pada susu badan sebagai diet utamanya ketika itu.

Dalam Islam juga, selain wanita mengandung wanita menyusu juga diharuskan berbuka puasa.

puasa ketika hamil

Foto Kredit: kellymom.com

7. Pergerakan Bayi Berkurang

Jika pergerakan janin berkurangan (selepas 28 minggu kehamilan), hendaklah berbuka puasa dan terus ke hospital untuk penilaian CTG dan ultrasound untuk menilai pembesaran janin.

mengandung uri di bawah

Foto Kredit: Voisin/Phanie / Rex Features

8. Hampir Tarikh Due Date

Melahirkan anak memerlukan banyak tenaga di bilik bersalin nanti. Oleh itu, ibu mengandung dinasihatkan untuk tidak berpuasa ketika sudah hampir ‘due date’. Persiapkan diri secukupnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi waktu melahirkan anak nanti.

Menurut Dr Suriyakhtun, jika kandungan hampir cukup bulan ibu berisiko mengalami hypoglycaemic, yang boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

cuti bersalin

Foto Kredit: wsj.com

Keperluan Fidyah Bagi Puasa Yang Ditinggalkan

Sekiranya puasa ditinggalkan, mungkin ada yang masih keliru sama ada puasa tersebut wajib diganti, dibayar fidyah, atau kedua-duanya. Dalam hal ini, kami merujuk kepada Irsyad Al-Fatwa Ke-31: Hukum Wanita Hamil Meninggalkan Puasa yang dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Walaupun terdapat khilaf, pihak Mufti memutuskan bahawa mereka cenderung kepada pendapat yang menyatakan perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka puasa akan kembali kepada 2 keadaan sahaja iaitu:

  • Kalau semata-mata kerana bimbangkan diri sendiri, bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja.
  • Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehlah dia berbuka dan membayar fidyah.
bayar fidyah online

Foto Kredit: scoopwhoop.com

Puasa Ketika Hamil Perlu Nasihat Doktor

Patuhi panduan penjagaan pemakanan dan kesihatan daripada doktor untuk perkembangan bayi yang sihat dan kesihatan diri yang konsisten. Puasa Ramadhan mempunyai seribu satu kebaikan bagi umatnya, namun Islam adalah agama yang syumul dan jauh sekali membebankan umatnya. Jadi, janganlah membebankan diri jika anda mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat menjalankan ibadah puasa.

Berpuasa atau tidak, ibu hamil perlu menitikberatkan kesihatan bagi kebaikan diri dan anak dalam kandungan. Lebihkan pemakanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya bagi kesihatan menyeluruh. Elakkan dari pengambilan makanan bergula dan bergaram dengan banyak.

 

*Sumber Rujukan: Dr Imelda Balchin, Mingguan Wanita, dan The Malaysian Medical Gazette

Yang Popular

To Top