Menjadi kebiasaan ramai khususnya dalam kalangan wanita, permulaan tahun baharu digunakan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lepas. Namun, atas sebab-sebab tertentu puasa ganti itu perlu ‘dibuka’ dan ramai tertanya apa hukum batal puasa ganti tersebut?
Adakah membatalkan puasa ganti itu dikategorikan sebagai dosa besar atau tidak mempunyai sebarang masalah? Bagi menamatkan segala keraguan, berikut merupakan penjelasan dari Mufti Wilayah Pesekutuan mengenai hukum puasa ganti.
Baca juga: Bulan Rejab Dah Tiba Di Ambang Tahun Baharu 2025, Buat 13 Amalan Ini Untuk Pahala & ‘Test’ Diri
HUKUM BATAL PUASA GANTI, BERDOSA BESAR KE?

Foto: Freepik
Menurut penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan, puasa ganti Ramadan adalah fardu ain dan wajib ditunaikan. Oleh itu, tidak boleh memutuskannya atau membatalkan secara sengaja malah berdosa besar sekiranya melakukannya.
Di samping itu, wajib menyelesaikannya sehingga sempurna melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid, atau bermusafir. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ أَفْطَرْتُ، وَكُنْتُ صَائِمَةً، فَقَالَ لَهَا: «أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا؟»، قَالَتْ: لَا، قَالَ: «فَلَا يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا»
Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat- Riwayat Abu Daud (2456)
Dalam hadis ini Rasulullah SAW meminta penjelasan dari Ummu Hani’ sama ada beliau berpuasa qada tertentu dan setelah dijelaskan ianya adalah berpuasa sunat maka Rasulullah SAW menjawab bahawa tidak berdosa untuk sengaja berbuka bagi puasa sunat. Ini bererti jika puasa qada maka adalah tidak dibenarkan untuk berbuka dengan sengaja.
*Kalau betul-betul kecemasan baru buka tau! Kalau tidak, memang kena tahan dan pahalanya sangat besar…
Baca juga: Sah Ke Ambil Wuduk Dengan Cedok Tangan Dalam Air Gayung? Mari Baca Penjelasan Mufti
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan