Nampaknya tidak lama lagi kita bakal menganjak ke tahun 2025 dan meninggalkan tahun 2024 dalam kenangan. Selain dari memperbaharui rutin di tahun 2025, adalah amat penting sebagai orang Islam untuk ambil tahu tarikh-tarikh penting juga dalam kalendar Islam.
Sebagai salah satu langkah untuk membuat persiapan awal, berikut merupakan antara 9 tarikh penting dalam Islam yang sudah boleh ditanda dari sekarang. Rancang aktiviti anda supaya tidak kalut di saat-saat akhir!
TARIKH-TARIKH PENTING DALAM KALENDAR ISLAM TAHUN 2025
-27/01/2025 – Israk Mikraj
-02/03/2025 – Awal Ramadan
-18/03/2025 – Nuzul Al-Quran
-31/03/2025 – Hari Raya Puasa
-29/05/2025 – Awal Zulhijjah
-07/06/2025 – Hari Raya Korban
-27/06/2025 – Awal Muharam/Maal Hijrah
-05/09/2025 – Maulidur Rasul
1. 27 Rejab: Israk Mikraj
Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa yang menghubungkan antara dua Masjid besar iaitu Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin, sebelum Baginda SAW dinaikkan ke langit. Peristiwa ini menjadi salah satu pembuktian keimanan terhadap kebenaran Baginda SAW kerana ia merupakan satu mukjizat.
2.15 Syaaban : Malam Nisfu Syaaban
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Allah SWT melihat hambaNya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua hambaNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”- Sahih Ibnu Hibban (5665)
3.1 Ramadan : Awal Ramadan
Awal Ramadan ialah permulaan bagi umat Islam berpuasa seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
4.17 Ramadan : Nuzul al-Quran
Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Muhammad. Ketika itu, baginda sedang beribadat di Gua Hira’.
5. 1 Syawal : Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan Hari Lebaran yang disambut pada 1 Syawal merupakan kemenangan besar bagi umat Islam setelah sebulan bermujahadah melawan nafsu dan melaksanakan amal ibadah dengan tekun pada bulan Ramadan.
6.1 Zulhijjah : Awal Zulhijjah
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini.” yakni 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
7.10 Zulhijjah : Hari Raya Aidiladha
Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Aidiladha di Malaysia jatuh pada hari ke-10 Zulhijah dan berlangsung selama empat hari iaitu hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun.
8.1 Muharam : Maal Hijrah/Tahun Baru Islam
Sambutan Maal Hijrah disambut sebagai tanda memperingati peristiwa Nabi Muhammad SAW dan sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah, yang membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, dan berkembangnya umat Islam dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
9. 12 Rabiulawal : Maulidur Rasul
Sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.
*Tanda kalendar anda siap-siap supaya sentiasa bersedia tengan tarikh penting ini ya!
Baca juga: Kewangan 2025 Diramal Agak ‘Keras’, Tarikh Buka Sekolah 2025 Rapat Dengan Hari Raya!