Sejak kebelakangan ini banyak kedengaran ada ibubapa yang tidak mahu anak mereka mendapatkan imunisasi yang disarankan oleh kerajaan. Ada yang berkata bahan imunisasi itu diperbuat dari sumber yang haram dan tidak kurang ramai juga yang berkata imunisasi boleh mendatangkan kemudaratan kepada anak.
Oleh itu, adalah amat penting anda ketahui apa itu imunisasi dan kepentingan imunisasi pada zaman serba moden ini.
Maksud Imunisasi
Mengikut kepada definisi yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO:
“Imunisasi adalah proses di mana seseorang itu dijadikan imun atau tahan terhadap penyakit berjangkitan, selalunya menerusi pemberian vaksin. Vaksin akan merangsang sistem imunisasi seseorang itu bagi melindunginya daripada jangkitan atau penyakit yang berikutnya.”
Ada yang masih keliru dengan pernyataan di atas ini? Saya pasti ramai yang masih tertanya-tanya apa itu vaksin dan mengapa kepentingan imunisasi perlu dititik-beratkan.
Apakah kepentingan imunisasi?
Secara bahasa mudahnya, vaksin mengandungi beberapa jenis penyakit dalam kandungan yang amat kecil dan tidak merbahaya. Ia bertujuan untuk diperkenalkan kepada sistem imunisasi seseorang itu, supaya sistem imunisasi dapat melawan dan seterusnya memperkasakan perlindungan di dalam badan. Dengan itu, sekiranya penyakit tersebut menular; seseorang yang telah menerima vaksin akan menjadi imun terhadap penyakit tersebut.
Kepentingan imunisasi yang paling utama ialah, ia telah terbukti berkesan bagi mengawal dan menghapuskan penyakit-penyakit berjangkit yang kebiasaannya boleh mendatangkan maut. Menerusi imunisasi yang sistematik, dianggarkan 2 juta-3 juta nyawa dapat diselamatkan setiap tahun. Ia adalah cara yang paling kos efektif di dalam pelaburan kesihatan.
Ia juga strategi yang telah terbukti berkesan di mana program imunisasi boleh dilakukan walaupun di kawasan yang terpencil. Ia mempunyai kumpulan sasar yang spesifik, ia boleh disampaikan secara berkesan dan imunisasi tidak memerlukan perubahan gaya hidup yang besar.
Anda golongan anti vaksin Malaysia?
Percayalah, ada beberapa mitos yang kamu percaya, yang perlu disangkal dan bagi memastikan kepentingan imunisasi difahami oleh semua pihak.
Mitos 1: Penjagaan kebersihan yang lebih baik boleh menghapuskan penyakit, oleh itu vaksin tidak perlu. TIDAK BENAR!
Bagi penyakit yang ada di dalam senarai imunisasi, ia akan kembali jika program vaksinasi dihentikan.
Walaupun dengan kebersihan yang lebih elok, membasuh tangan dan air bersih boleh melindungi orang ramai menentang penyakit berjangkit; jangkitan masih boleh merebak walaupun betapa bersih seseorang itu.
Terdapat banyak faktor luaran yang menyebabkan jangkitan ini boleh merebak melalui pelbagai cara yang kita tidak sedari.
Mitos 2: Vaksin mempunyai kesan sampingan yang merbahaya, malah boleh mendatangkan kematian. TIDAK BENAR!
Vaksin adalah sangat selamat. Kebanyakan reaksi terhadap vaksin adalah kecil dan sementara seperti kesakitan lengan di bahagian yang disuntik atau sedikit demam.
Amatlah jarang ia boleh mendatangkan kemudaratan dan anda lebih berisiko tinggi sekiranya penyakit berjangkit menjangkiti anda daripada vaksin.
Contohnya, penyakit polio yang dilindungi vaksin boleh menyebabkan lumpuh, campak yang boleh menyebabkan radang otak dan buta. Penyakit lain yang mula menular di Malaysia seperti difteria juga amat merbahaya hingga menyebabkan kematian.
Mitos 3: Vaksin menyebabkan autisme. TIDAK BENAR!
Salah satu teori paling popular yang dipegang kuat oleh golongan anti-vaksin adalah dakwaan mengenai kemungkinan adanya kaitan antara campak – beguk – rubella vaksin (MMR ) dan autisme.
Ini semua tidak benar kerana penyiasatan telahpun dijalankan secara menyeluruh, namun tiada bukti yang dapat membuktikan hal ini seperti yang telah didakwa. Malah, kajian yang melibatkan berjuta-juta kanak-kanak telah mendapati tiada kaitan antara vaksin dan autisme.
Mitos 4: Lebih daripada satu vaksin kepada seorang anak adalah merbahaya dan boleh membebankan sistem imunnya. TIDAK BENAR!
Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa memberikan beberapa vaksin pada masa yang sama kepada seseorang, tidak mempunyai kesan merbahaya. Kanak-kanak terdedah kepada banyak bendasing yang boleh memberikan tindakbalas imun setiap hari.
Namun, sistem imun semulajadi anak kecil ini tidak boleh mencegah penyakit yang dilindungi vaksin. Malah, jika dijangkiti, ia boleh menyebarkannya dengan pantas dan menjadi ancaman kepada anak-anak kecil yang lain.
Kelebihan utama beberapa vaksin pada waktu yang sama bermaksud kurang lawatan ke hospital atau klinik kesihatan, menjimatkan masa dan wang, dan kanak-kanak akan selesai pengambilan kesemua vaksin pada waktu yang ditetapkan oleh kerajaan.
Imunisasi adalah selamat
Kepentingan imunisasi perlu diberi perhatian yang serius oleh ibubapa bagi memastikan anak anda boleh membesar tanpa dijangkiti penyakit merbahaya.
Usah ragu-ragu dengan usaha murni yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kesejahteraan orang ramai.
Untuk memberi penjelasan dan menimbulkan kesedaran kepada orang ramai, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menjawab soalan-soalan lazim dan menyediakan info lebih lanjut beserta isu terkini yang hangat didebatkan tentang imunisasi. Inisiatif kerajaan secara online ini boleh didapati di http://immunise4life.my/.