Updated: 25 Februari 2019
Dalam minggu ini, negara kita digemparkan dengan penyakit difteria yang telah meragut nyawa.
Ramai yang tidak tahu tentang difteria kerana ia telah sekian lama tidak muncul apabila rakyat Malaysia memulakan vaksin untuk mencegahnya.
Kini, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mengambil tindakan kawalan ke atas rumah pesakit, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan penularannya.
Apakah Penyakit Difteria?
Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang menjangkiti bahagian tekak dan tonsil, atau farinks.
Pesakit biasanya mempunyai simptom seperti demam dan batuk, sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak selama beberapa hari hari.
Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25-50%.
Bagaimana Penyakit Difteria Tersebar?
Penyakit ini boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan.
Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.
Menurut ulasan Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian.

Foto Kredit: Laman Facebook Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia
5 Perbezaan Antara Penyakit Difteria Dengan Lendiran Tonsil
Umumnya, difteria juga adalah sejenis jangkitan tonsilitis.
Namun, terdapat sedikit perbezaan umum antara selaput tonsil biasa dan difteria.
Walaubagaimanapun, jika anda inginkan kepastian lebih lanjut tentang gejala yang dihidapi, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk pengesahan.
Ini kerana, penyakit difteria akan merebak dengan sangat cepat dan amat membahayakan nyawa.

Foto Kredit: microbiologynutsandbolts.co.uk
Ciri-ciri | Selaput Tonsil | Difteria |
Simptom | Kerap tapi gejala sakit ringan | Kurang tetapi gejala sakit berat |
Suhu badan | Demam bersuhu tinggi | Suhu badan tidak terlalu panas |
Keadaan tonsil | Bengkak | Tidak bengkak |
Keadaan leher | Normal | Biasanya leher bengkak dan nampak kemerahan pada luaran |
Selaput
Membran |
Lendir berwarna kekuningan
Hanya di bahagian tonsil (kedua belah tekak) Mudah dibuang, tidak luka |
Membran putih dan kelabu, (digelar pseudo-membran)
Boleh merebak lebih luas Selaput berdarah apabila dibuang |
*Sumber rujukan daripada emedis.blogspot.my dan notesmedicalstudent.blogspot.my
Bolehkah Difteria Diubati?
Penyakit ini merebak dengan pantas dalam masa yang singkat. Kesannya pula mampu merosakkan bahagian utama tubuh seperti saraf, jantung, dan ginjal.
Dr Mohd Shaiful Ehsan mengingatkan bahawa tidak semua fasiliti kesihatan ada mempunyai antitoksin untuk merawat difteria kerana amat jarang penyakit ini berlaku.
Maka, pentingnya anak-anak mengambil vaksinasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM.

Foto Kredit: guff.com
Bagaimana Melindungi Anak Daripada Penyakit Difteria?
Cara terbaik mencegah penyakit difteria ini adalah dengan mengambil vaksin lima serangkai iaitu DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b).
Imunisasi ini diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Foto Kredit: medpharm.co.uk
Masih Belum terlambat, Cegahlah Sekarang!
Dalam artikel Malaysian Medical Gazette diterangkan bahawa jika anda terlepas tarikh imunisasi, ianya masih boleh diberikan.
Malah, ia tidak terhad walaupun telah menjangkau usia kanak-kanak, remaja mahupun dewasa dan tidak pernah mendapatkan vaksin difteria.
Justeru, ibubapa ditegaskan untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

Sumber asal dari Kementerian Kesihatan Malaysia