Asuh

5 Kekeliruan Tentang Vaksin Bayi & Hukumnya Dalam Fatwa Kebangsaan Malaysia

374
SHARES
vaksin bayi

“Eh, selamat ke kalau bayi baru lahir terus dicucuk? Apa kandungan dalam vaksin bayi ni? Ada benda haram ke? Kenapa makin ramai ibu bapa menolak vaksin akhir-akhir ni ya?” 

Isu vaksin telah wujud sejak kebelakangan ini dengan dakwaan bahawa ianya mengandungi bahan merosakkan otak, menyebabkan autisme, dan beberapa kesan sampingan lain. Bukan itu saja, malah ada golongan yang mengaitkan vaksin dengan konspirasi Yahudi untuk melemahkan umat Islam.

Justeru itu, segala keraguan tentang vaksin bayi harus diperjelaskan, berlandaskan badan yang berwibawa dan berdaftar seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

vaksin bayi

Foto Kredit: healthimpactnews.com

5 Kekeliruan Tentang Vaksin Bayi & Hukumnya Dalam Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia

Antara salah faham yang perlu diperjelaskan adalah seperti berikut:

Salah Faham #1:  Imunisasi tidak berkesan, susu ibu adalah sumber antibodi terbaik

Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan telah dijalankan sejak 1950an. Peningkatan skop perkhidmatan kesihatan termasuk imunisasi ini telah menyaksikan penurunan kes kematian kanak-kanak sehingga 85%  berdasarkan data yang dikumpulkan sejak 1970-2000.

Tiada siapa menolak bahawa susu ibu adalah zat terbaik untuk bayi. Namun, bukan semua antibodi spesifik untuk semua kuman di dunia terdapat dalam susu ibu. Kandungan susu ibu ini juga amat bergantung kepada kandungan antibodi spesifik dalam tubuh ibu. Jika ibu tiada antibodi tertentu seperti pertusis (batuk kokol), maka bayi baru lahir boleh terdedah kepada penyakit tersebut.

Memang tidak dinafikan ada bayi yang imun terhadap penyakit berjangkit. Tetapi, setakat ini tidak ada cara terbaik untuk mengenalpasti bayi yang mempunyai daya tahan tubuh badan yang lemah. Jadi, sebab itulah vaksin bayi penting untuk memberi perlindungan secara menyeluruh.

risiko herba tradisional

Foto Kredit: babymed.com

Salah faham #2: Kalau penyakit berjangkit tidak menular di Malaysia, maka tak perlulah saya mengambil vaksin bayi

Walaupun penyakit berjangkit masih dapat dikawal di Malaysia, namun ia masih boleh berlaku melalui macam-macam cara. Perlu diingat, kebanjiran pendatang asing ke negara ini turut membuka salah satu ruang untuk membawa penyakit-penyakit itu tanpa disedari.

Tidak seperti orang dewasa, jenis penyakit yang dilindungi vaksin bayi ini biasanya memberi kesan yang serius kepada anak kecil sehingga boleh menyebabkan wabak dan kematian.

Salah Faham #3: Vaksin bayi mengandungi bahan merbahaya yang merosakkan perkembangan anak

Dalam kenyataan akhbar terkini bersama pihak KKM dan JAKIM, telah dijelaskan bahawa vaksin tidak mengandungi bahan yang merbahaya. Sebaliknya, ia terdiri daripada bahan antigen yang membantu tubuh manusia menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit.

Walaupun vaksin turut mengandungi komponen lain seperti pengawet, tetapi setiap bahan ini memainkan peranan penting dalam mengawal kualiti vaksin tersebut.

Kadar kematian atau kes kecacatan yang digembar-gemburkan akibat vaksin kebanyakannya adalah kes-kes terpencil dan memerlukan lebih kajian untuk dibuktikan secara kukuh.

Foto Kredit: guff.com

Foto Kredit: guff.com

Salah Faham #4: Vaksin bayi mendatangkan kesan sampingan dan membahayakan kesihatan

Sebenarnya, tentulah ada sedikit kesan sampingan bagi bayi yang mengambil imunisasi, seperti juga ubat-ubatan lain. Biasanya bayi akan mengalami demam atau beberapa tanda ketidakselesaan yang ringan selepas mendapat suntikan.

Tetapi, secara umumnya, vaksin bayi adalah selamat kerana ia telah diuji dan dipantau secara berterusan oleh pihak bertanggungjawab seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

Anda juga tidak perlu risau kerana sebarang kesan sampingan terhadap vaksin akan dilaporkan kepada World Health Organization (WHO) dan data ini dikongsi dengan semua negara.

vaksin bayi dan imunisasi

Foto Kredit: medpharm.co.uk

Salah faham #5: Vaksin adalah haram di sisi Islam

Terlalu banyak perdebatan dalam perkara ini yang sering menjadi percakaran antara mereka yang pro dan anti vaksin.

Walau apa pun, merujuk Fatwa Kebangsaan Malaysia serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pengambilan vaksin diperbuat daripada bahan yang bersih dan suci adalah diharuskan.

Tetapi, jika ia diperbuat daripada bahan yang najis, ia terbahagi kepada 2:

i) Jika masih terdapat alternatif lain, tidak dibenarkan menggunakan vaksin daripada bahan yang najis

ii) Jika keadaan darurat, maka dibolehkan menggunakan vaksin ini berdasarkan beberapa syarat Islam yang masih perlu dipatuhi

Buat masa ini, hanya beberapa jenis vaksin sahaja seperti Rotateq (untuk rotavirus) yang difatwa tidak halal, kecuali jika anda berada dalam kawasan wabak.

Manakala program imunisasi campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio adalah harus di segi syarak kerana berdasarkan kaedah ‘menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan’ dalam perundangan Islam.

cara ajar anak kenal nabi

Foto Kredit: vox.com

Tanggungjawab Ibu Bapa Memilih Yang Terbaik Untuk Anak-anak

Imunisasi atau vaksin bayi telah berada sekian lama dalam dunia perubatan, dan ianya dikendalikan oleh mereka yang berkelayakan. Di samping itu, kita di Malaysia amat beruntung kerana sentiasa mendapat kerjasama badan bertanggungjawab seperti JAKIM dalam memantau keselamatan sesuatu produk berdasarkan pandangan Islam.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu sentiasa berwaspada dan meneliti setiap maklumat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kesihatan anak dan keluarga kita.

Anda boleh mendapat penjelasan yang panjang lebar daripada mereka yang lebih arif melalui pautan Kenyataan Akhbar KKM dan JAKIM, Mufti Wilayah Persekutuan serta pendapat doktor bertauliah melalui pautan ini.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×