Famili

Jangan Pandang Ringan Virus Zika, Ini 9 Fakta Rakyat Malaysia Perlu Tahu!

8
SHARES
virus zika

Seluruh dunia, terutamanya di Amerika Latin digemparkan dengan kehadiran Virus Zika. Sehingga kini, amaran ke beberapa negara di sana telah dikeluarkan dalam memastikan Virus tersebut tidak dijangkiti dan disebarkan secara meluas.

Sungguhpun negara kita masih belum mengeluarkan sebarang amaran bahaya, namun telah Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat kenyataan akhbar hari ini, 29 Januari 2016, susulan Virus Zika yang semakin menular secara global dan berisiko kepada negara kita.

Walaupun ia mungkin tidak menyebabkan simptom kronik, tetapi ia dikatakan menjadi punca kecacatan abnormal pada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita yang menghidapinya.

Baca lebih lanjut tentang 9 fakta virus ini di bawah.

9 Fakta Rakyat Malaysia Perlu Tahu Tentang Virus Zika

1. Disebarkan Oleh Nyamuk

virus zika

Foto Kredit: ticotimes.net

Seperti denggi dan chikugunya, Virus Zika dibawa oleh gigitan nyamuk aedes.

Terdapat beberapa kajian yang masih menyiasat sama ada penyakit ini boleh berjangkit melalui hubungan seksual, namun ia belum disahkan secara rasmi.

2. Gejala Seperti Demam Denggi

Seperti musuh dalam selimut, World Health Organization (WHO) sendiri mengakui bahawa virus ini hanya membawa gejala ringan bagi seseorang yang berkeadaan normal. Tidak banyak berbeza daripada denggi, simptom biasa seperti demam panas, ruam, sakit mata, dan sakit sendi akan berlarutan selama 2 hari hingga seminggu.

3. Walaupun Tiada Gejala Kronik, Saintis Menganggap Mereka Mungkin Terlepas Pandang!

Dilaporkan hampir 80% daripada mereka yang mempunyai virus ini tidak menyedarinya langsung dan kebanyakan mereka tidak memerlukan rawatan khusus untuk pulih.

Walaupun ia mungkin melegakan, saintis melihat hal ini sangat menakutkan kerana ia bermaksud lebih ramai manusia akan berpotensi menjadi ‘pembawa’ kepada Virus Zika secara senyap sepanjang dijangkiti. Sebuah laman web Vox Science and Health melaporkan saintis beranggapan mereka mungkin telah memandang ringan terhadap ancaman virus ini dahulu.

4. Belum Ada Ubat Dan Vaksin Virus Zika

Setakat ini, belum ada vaksin mahupun ubat untuk merawat atau mencegah penularan Virus Zika untuk ibu hamil.

5. Dikaitkan Dengan Punca Bayi ‘Berkepala Kecil’

virus zika

Bayi berkepala kecil atau ‘microcephaly’ dikaitkan dengan virus Zika. / Foto Kredit: londonbdnews24.com

Virus Zika dipercayai menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami sejenis keadaan dikenali sebagai ‘microcephaly’. Bayi yang dilahirkan dengan keadaan ini mempunyai saiz kepala yang kecil, sehingga mengganggu perkembangan otaknya.

Meskipun terdapat kebarangkalian punca lain, terdapat bukti-bukti membimbangkan yang mengaitkan Virus Zika dengan ‘microcephaly’.

6. Jauhi 22 Buah Negara Ini!

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika mengeluarkan larangan kunjungan ke 22 buah negara ekoran wabak Virus Zika yang semakin menular.

22 negara tersebut adalah Bolivia, Ekuador, Guyana, Brazil, Colombia, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname, Venezuela, Barbados, Saint Martin, Haiti, Martinique, Puerto Rico, Guadeloupe, Samoa, dan Cape Verde.

virus zika malaysia

Foto Kredit: cdc.gov

Terkini, WHO pula telah mengesahkan bahawa setakat ini terdapat 23 negara yang dilaporkan dengan kes Virus Zika, termasuk 5 rakyat Perancis yang mendapat virus ini sewaktu lawatan ke luar negara.

7. Kementerian Kesihatan Malaysia Nasihatkan Orang Awam Supaya Peka

Sungguhpun Malaysia berada jauh daripada lingkaran kawasan amaran tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia menekankan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana wabak tropika ini mudah merebak melalui nyamuk.

Malah, menurut sebuah akhbar tempatan, virus Zika pernah dikesan di negara Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia pada tahun 2014 dan 2013.

Selain menunda lawatan ke negara-negara tersebut, wanita hamil juga tidak disyorkan menghampiri kawasan yang terdedah kepada pelancong luar negara seperti lapangan terbang antarabangsa.

Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh dibuat ialah melindungi diri daripada gigitan nyamuk, terutamanya wanita mengandung. Selain memakai pakaian panjang dan menggunakan ubat nyamuk, kita haruslah menjaga kebersihan supaya tempat-tempat pembiakan nyamuk di sekitar kawasan rumah dihapuskan.

8. Amaran Tunda Kehamilan

Uniknya virus Zika ini ialah ia dipercayai membahayakan bayi dalam kandungan. Sebab itulah terdapat negara di Benua Amerika seperti Brazil dan El Salvador yang mengeluarkan kenyataan supaya wanita dinasihatkan menunda dahulu kehamilan buat masa ini sebagai tindakan berjaga-jaga.

Ekoran daripada bahaya virus ini juga, terdapat syarikat penerbangan seperti Delta dan America Airlines menawarkan ‘refund’ bagi ibu hamil yang telah menempah tiket untuk ke Brazil.

9. Sejuta Kes Dilaporkan Di Brazil, Dijangka Akan Meningkat Hingga 4 juta

Buat masa ini, hampir sejuta rakyat Brazil disahkan menghidapi Virus Zika. Kes ‘microcephaly’ pula melonjak naik dengan peningkatan wabak Virus Zika.

Sementara itu, wakil dari WHO menganggarkan kes akan terus meningkat sehingga 3-4 juta!

Jangan Leka, Ambil Langkah Pencegahan Dari Sekarang

Semoga wabak ini dapat dikenalpasti puncanya dengan lebih tepat, sekaligus membantu dalam merawat serta menyediakan vaksin.

Buat masa ini, lindungilah keluarga anda, terutamanya ibu mengandung, daripada digigit nyamuk.

Jika ada sebarang tanda yang disebutkan di atas, usah ragu-ragu untuk mendapatkan nasihat doktor.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×