Euforia Bola 2026
Famili

Sempat Pegang Tangan Mak… Jeriji Besi Halang Usaha Selamatkan Suami Isteri & Cucu Dalam Kebakaran Rumah

KEBAKARAN RUMAH

Hasrat seorang lelaki untuk menyelamatkan ibunya yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Taman Desa Tambun, Ipoh, Perak, berakhir dengan penuh pilu apabila jeriji besi menghalang laluan masuk.

Dalam kejadian awal pagi Ahad itu, Raja Muhammad Syukri Raja Ahmad, 30, hanya mampu mencapai tangan ibunya dari luar balkoni sebelum wanita berkenaan akhirnya maut dalam kebakaran.

Baca juga: “Boleh Bergembira Raikan Budaya Tapi…”- JAKIM Tegur Maruah & Batas Lelaki Perempuan Jangan Dilupakan!

TIGA SEKELUARGA MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH

KEBAKARAN RUMAH

Tragedi tersebut turut meragut nyawa bapanya, Raja Ahmad Raja Ali, 70, serta anak saudara, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.

Menurut saksi kejadian, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, kebakaran disedari selepas dia terdengar suara meminta pertolongan ketika sedang tidur di luar rumah.

“Saya terus terjaga dan keluar. Mula-mula ingat rumah jiran sebab mereka selalu bermain-main. Bila pandang atas, baru nampak rumah saya (terbakar).

“Saya masuk semula dan apabila buka pintu, saya nampak dekat tangga sudah ada api. Saya dengar suara mak dan anak saudara dari tingkat atas dan api memang sudah marak manakala asap pula sudah memenuhi kawasan tangga,” jelasnya.

Raja Ikhwan berkata, dia cuba membantu dari dalam rumah sebelum meminta anak saudaranya menunggu sementara mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, api yang semakin marak menyebabkan laluan ke tingkat atas tidak lagi selamat untuk dilalui.

Cuba selamatkan ibu dari balkoni

KEBAKARAN RUMAH

Dalam keadaan genting itu, Raja Muhammad Syukri cuba mencari jalan lain untuk mendapatkan ibunya dengan memanjat dari bahagian belakang rumah.

Namun, usaha tersebut turut berdepan halangan apabila jeriji besi dipasang di kawasan berkenaan.

Raja Ikhwan berkata, walaupun tidak dapat memasuki rumah, adiknya masih sempat mencapai tangan ibu mereka dari luar balkoni dalam cubaan membantu wanita itu keluar dari kediaman.

“Dia cuba bantu kawal supaya mak dapat turun ke bawah, tetapi api sudah menghalang laluan ke bahagian dapur. Adik memang biasa buat kerja pertukangan dan panjat-panjat, tetapi kali ini tak dapat masuk kerana ada jeriji,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Helal Zamri, 37, bapa kepada Nik Abdurrahman, berkata dia menerima berita mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi selepas mendapat panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Manjoi.

Menurutnya, anaknya telah menetap bersama datuk dan nenek sejak kecil dan hubungan mereka kekal rapat.

“Anak memang selalu ikut saya menguruskan katering dan kali terakhir kami berjumpa minggu lalu. Saya reda dengan ketentuan ALLAH atas pemergian anak serta kedua-dua mentua saya,” luahnya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga beranak termasuk pasangan warga emas dan cucu lelaki mereka ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun pada awal pagi Ahad.

Baca juga: “Tak Sangka Kulit Kayu Boleh Jadi Baju Kahwin!”- Ambil Masa 6 Bulan, Hasil Tangan Suku Jakun Ini Luar Biasa

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×