Budaya Melayu dan warisan sejak dahulu tidak hanya berkisar tentang pakaian, tarian, bahasa atau adat resam, sebaliknya turut mencerminkan nilai, maruah dan pegangan hidup masyarakat.
Perkara itu turut ditekankan dalam perkongsian Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengangkat falsafah Melayu.
BUDAYA MELAYU JANGAN DILUPAKAN, JAGA BATAS

Menurut perkongsian tersebut, budaya seharusnya menjadi cerminan jiwa masyarakat yang sentiasa berpandukan nilai agama.
Pada pakaian, terselit maruah. Pada tutur kata, ada adab, manakala dalam pergaulan pula terdapat batas yang perlu dijaga. Begitu juga dalam meraikan adat dan budaya, setiap perkara sewajarnya tidak dipisahkan daripada tuntutan agama.
Perkongsian itu turut mengingatkan masyarakat agar tidak meninggalkan batas syariah ketika mengangkat dan meraikan warisan budaya.
Antaranya termasuk menjaga aurat ketika mengenakan pakaian tradisional, memelihara batas pergaulan ketika berkumpul serta memastikan hiburan tidak melalaikan daripada mengingati Allah.
Dalam masa sama, masyarakat turut diingatkan supaya tidak mengenakan persalinan yang menyerupai pakaian jantina berlawanan atas alasan meraikan budaya atau fesyen.
Menurut JAKIM, syariat bukan bertujuan untuk mematikan budaya, sebaliknya memberikan panduan supaya sesuatu warisan terus membawa nilai yang baik.
Justeru, masyarakat hari ini diseru supaya tidak hanya mempertahankan bentuk luaran budaya, tetapi turut memelihara nilai dan akhlak yang menjadi asas kepada warisan tersebut.
Budaya tradisi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan adab, begitu juga kemajuan tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat melupakan nilai agama.
Reda Allah sebagai neraca

Dalam meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, masyarakat bebas mengenang sejarah, mengangkat warisan dan mengenakan pakaian tradisional selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan agama.
Bagi umat Islam, segala bentuk budaya dan adat perlu diletakkan dalam neraca yang lebih utama iaitu keredaan Allah.
Masyarakat juga diseru supaya terus mengenali akar budaya, menghargai sejarah dan mempertahankan warisan, namun pada masa sama tidak kehilangan pedoman agama.
Budaya boleh terus berkembang dan menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat, asalkan nilai yang dibawa tidak menjauhkan manusia daripada ajaran Islam.
Baca juga: MyKad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tampil Dengan 53 Ciri Keselamatan Yang ‘WOW!
Sumber: Facebook Bahagian Dakwah Jakim
