Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperkenalkan MyKad generasi baharu yang menampilkan sejumlah penambahbaikan dari aspek reka bentuk, teknologi serta keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia.
MyKad versi terkini itu dilengkapi 53 ciri keselamatan, peningkatan ketara berbanding 23 ciri keselamatan yang terdapat pada MyKad sebelum ini.
Baca juga: Penjawat Awam Dah Boleh ‘Standby’! Tempahan RPP Dibuka 22 September, Ini 14 Lokasi Disediakan
MYKAD GENERASI BAHARU DIKENALKAN HARI INI

Menurut JPN, pengenalan generasi baharu MyKad merupakan satu langkah penambahbaikan terhadap dokumen identiti nasional bagi memastikan ciri keselamatannya terus relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Pelaksanaan MyKad generasi baharu dibuat secara berperingkat bagi memastikan proses pengeluaran dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sebanyak 40 cawangan JPN yang mempunyai pusat cetak di seluruh negara akan mula menyediakan perkhidmatan pengeluaran MyKad baharu dengan kemudahan siap pada hari yang sama.
JPN memaklumkan perubahan tersebut dibuat selepas lebih dua dekad penggunaan generasi MyKad terdahulu, sekali gus membawa pembaharuan dari segi reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan.
Antara penambahbaikan yang diperkenalkan ialah penggunaan kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, selain teknologi hologram serta teks mikro.
MyKad baharu turut menggunakan ciri keselamatan ultraungu, turihan laser dan cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
Keseluruhan penambahbaikan itu dijangka dapat memperkukuh proses pengesahan identiti serta membantu mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Tidak perlu tergesa-gesa tukar MyKad

Sebelum ini, pelaksanaan MyKad generasi baharu dimulakan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu.
Pelaksanaan secara berfasa kemudian diperluaskan bagi memastikan sistem baharu dapat beroperasi dengan teratur, selain mengelakkan kesesakan di kaunter JPN.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada. JPN menjelaskan pertukaran MyKad tidak dilakukan secara serentak kerana pelaksanaannya dibuat secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan.
Pendekatan itu membolehkan proses pengeluaran MyKad generasi baharu dilaksanakan secara lebih teratur tanpa menyebabkan kesesakan di cawangan JPN.
Sumber: Berita Harian
