Lipan masuk telinga seorang kanak-kanak ketika sedang bermain mencetuskan detik cemas buat bapanya sebelum haiwan tersebut dilaporkan keluar sendiri.
Kejadian itu dikongsikan menerusi media sosial Nang LiveStyle Offical dan mendapat perhatian warganet, khususnya dalam kalangan ibu bapa.
Baca juga: Alert! Penutupan Jalan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Di Putrajaya, Ini Laluan Yang Terjejas
LIPAN MASUK TELINGA ANAK, AYAH KONGSI DETIK CEMAS

Menerusi perkongsian Nang LiveStyle Offical di media sosial, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Husin dipercayai mengalami kejadian cemas apabila seekor lipan memasuki telinganya ketika sedang bermain.
Dalam video yang dikongsikan, bapa kanak-kanak berkenaan dilihat cuba mendapatkan bantuan selepas menyedari anaknya mengalami ketidakselesaan pada bahagian telinga.
Dalam keadaan tersebut, dia turut mengazankan Husin sebelum lipan berkenaan dilaporkan keluar dengan sendiri dari telinga kanak-kanak itu.
Meskipun haiwan tersebut sudah berjaya keluar, si bapa tetap meneruskan perjalanan ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Syukur, hasil pemeriksaan mendapati keadaan Husin berada dalam keadaan baik dan tiada kecederaan serius dilaporkan.
Bapa jelaskan kejadian berlaku tanpa diduga

Menurut perkongsian berkenaan, kejadian itu merupakan pengalaman pertama buat si bapa dan berlaku ketika Husin sedang bermain.
Kanak-kanak tersebut dikatakan tiba-tiba cuba menepis sesuatu pada bahagian telinganya. Menyedari keadaan itu, bapanya segera mendapatkan Husin untuk memeriksa apa yang berlaku.
Namun, pemeriksaan mendapati seekor lipan sudah berada di dalam telinganya. Usaha untuk mengeluarkan haiwan tersebut ketika itu dipercayai menyebabkan ia bergerak semakin ke dalam.
Si bapa turut menjelaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku secara tidak sengaja dan bukan disebabkan kecuaian seperti yang didakwa sesetengah pengguna media sosial.
Dia berharap perkongsian tersebut dapat memberikan sedikit ketenangan kepada ibu bapa lain sekiranya berdepan situasi mencemaskan melibatkan anak.
Apa yang penting, Husin telah dibawa mendapatkan pemeriksaan perubatan walaupun lipan berkenaan sudah keluar sendiri bagi memastikan tiada masalah pada telinganya.
Dalam ruangan komen, seorang warganet turut berkongsi petua yang dikatakan dipelajari daripada orang terdahulu sekiranya serangga memasuki telinga.
“Untuk semua yang ada dalam ini. Sedikit ilmu daripada orang tua. Kalau ada semut atau segala jenis serangga masuk dalam telinga, suluh lampu dalam telinga. Insya-Allah segala jenis serangga akan keluar,” tulisnya.
Bagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak memasukkan objek ke dalam telinga atau cuba menarik serangga secara paksa kerana tindakan tersebut berisiko menyebabkan kecederaan.
Sekiranya serangga tidak keluar atau kanak-kanak mengalami kesakitan, pendarahan, pening atau masalah pendengaran, pemeriksaan oleh petugas kesihatan wajar dilakukan dengan segera.
Baca juga: Seluar Dah Koyak, Murid Tetap Datang Sekolah Seperti Biasa… Cikgu Sebak & Belikan Pakaian Baru…
Sumber: Facebook Nang LiveStyle Offical
