Hasrat sebuah keluarga dari Kampar, Perak untuk menikmati percutian di Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan lori imigresen di Jalan Sultan Ismail, awal pagi Rabu.
Tragedi yang berlaku kira-kira jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu turut membabitkan dua kenderaan lain serta empat pejalan kaki.
DILANGGAR LORI IMIGRESEN DI IBU NEGARA, 3 BERANAK MAUT

Gambar NSTP: Dipercayai waris kepada tiga sekeluarga yang maut selepas dilanggar sebuah lori JIM di Jalan Sultan Ismail tiba di Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Identiti tiga beranak maut dikenal pasti
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan identiti tiga mangsa yang maut.
Mereka ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, turut menjadi mangsa dalam kejadian itu dan kini dirawat di ICU HKL. Menurut laporan, wanita berkenaan berada dalam keadaan stabil.
Keluarga tersebut menetap di Kampar dan dipercayai berada di ibu negara untuk bercuti ketika kemalangan berlaku. Seorang lagi anak pasangan itu, Siti Nor Shakira, 28, bagaimanapun tidak mengikuti percutian berkenaan dan tidak terbabit dalam kejadian.
Baca juga: Anjing Gergasi 60kg Serang Dua Anjing Peliharaan Hingga Mati, Pemilik Cemas Cuba Selamatkan Haiwan

Gambar Sinar Harian.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, dua buah kereta dan empat pejalan kaki.
Menurut polis, lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT), susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau. Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga. Sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan sedang berhenti di persimpangan itu turut dilanggar.
Baca juga: [VIDEO] Kasut Hilang Dalam Timbunan, Lelaki Ini Kongsi Cara Guna ChatGPT Sebagai ‘Penyelamat’!
Dua pemandu direman bantu siasatan
Mohd Zamzuri berkata, pemandu lori JIM berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun telah direman selama sehari bagi membantu siasatan.
“Dua individu itu direman sehari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), HKL bagi menunggu proses bedah siasat selesai sebelum ketiga-tiga jenazah dituntut.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamsha Injau turut hadir sekitar jam 1 tengah hari bagi bertemu dan menziarahi ahli keluarga mangsa.
Selepas proses bedah siasat dan urusan tuntutan selesai, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang ke Kampar, Perak.
Jenazah Shaik Mohd Firdaus, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar.
Sumber: Buletin TV3 / Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
