Menerusi satu kenyataan media, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi Bentong yang terkorban dalam kemalangan jalan raya tragis di Jalan Karak Lama, awal pagi Sabtu, 25 Julai 2026.
TRAGEDI BENTONG: 4 WARIS MANGSA TERIMA FAEDAH PERKESO LEBIH RM900,000

Gambar hiasan Utusan.
Empat mangsa layak menerima faedah PERKESO
PERKESO dalam kenyataannya menzahirkan harapan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat sukar ini.
Berdasarkan semakan rekod oleh PERKESO, empat daripada mangsa yang terkorban layak menerima faedah, masing-masing menerusi Skim LINDUNG 24 Jam dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), memandangkan mereka adalah pencarum aktif.
“Mangsa yang layak ialah Mugilan a/l Vraputiran, Kanabati Raja a/l Arunasalam, Alaganathan a/l Krishnan, dan Parathanman a/l Marutayah, yang kesemuanya berumur antara 16 hingga 25 tahun.
“Waris keluarga bagi setiap mangsa yang meninggal dunia ini layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar.
“Selain itu, waris mendiang Mugilan layak menerima Faedah Pencen Penakat bawah Skim Keilatan berjumlah RM562.50 mengikut syer masing-masing, dengan isteri menerima bayaran untuk sepanjang hayat dan anaknya berusia dua tahun akan menerima faedah berkenaan sehingga 21 tahun atau tamat ijazah pertama.
“Mendiang Alaganathan juga layak manfaat sama berjumlah RM564.36 yang akan dibayar kepada ibu bapa sepanjang hayat dan adik beradiknya akan menerima manfaat sama sehingga berumur 21 tahun,” katanya.
Sementara itu, waris keluarga mendiang Kanabati Raja dan Parathanman disahkan layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Menurut PERKESO lagi, keputusan mereka yang memilih untuk dilindungi di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam ternyata memberi sinar kelegaan apabila waris kini tidak terbeban bersendirian.
“Ibu bapa mendiang Kanabati Raja akan menerima faedah itu sepanjang hayat manakala sekiranya adikberadik mendiang belum berumur 21 tahun, mereka juga layak menerima faedah berkenaan berjumlah RM1,647.
“Begitu juga dengan waris mendiang Parathanman yang layak menerima faedah itu; ibu bapa dan adik beradiknya akan menerima FOT bulanan sebanyak RM891.
“Jika dihitung untuk tempoh jangka panjang bagi sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang, jumlah keseluruhan FOT yang akan disalurkan kepada waris adalah lebih RM900,000.
“Kesemua bayaran faedah ini akan diterima keluarga waris setiap bulan untuk menyara kelangsungan hidup sepanjang hayat,” jelas PERKESO.
Baca juga: Bukan Sikit Tapi Hampir 39,000 Pekerja Hilang Kerja 5 Bulan Pertama 2026, Majoriti Umur 25–39 Tahun!

Gambar Berita Harian.
PERKESO seru pekerja dan majikan semak caruman
Dalam pada itu, semakan PERKESO mendapati tiga mangsa tidak mempunyai rekod caruman aktif, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod caruman. Justeru, berdasarkan syarat kelayakan di bawah akta, faedah PERKESO tidak dapat disalurkan kepada mereka.
PERKESO menjelaskan, setiap kali berlaku tragedi seperti ini, kita bukan sahaja kehilangan nyawa insan tersayang, malah ada keluarga yang berdepan kehilangan tempat bergantung, punca pendapatan, dan masa depan yang berubah dalam sekelip mata.
Hakikatnya, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, sama ada semasa atau di luar waktu bekerja, kerana musibah tidak pernah meminta izin sebelum datang menyapa.
Justeru, perlindungan menyeluruh menerusi LINDUNG 24 Jam diwujudkan secara berterusan sepanjang masa bagi memastikan apabila musibah menimpa di luar waktu kerja, waris dan tanggungan tidak dibiarkan terkapai-kapai tanpa arah tuju.
Penekanan yang lebih kuat terhadap aspek LINDUNG 24 Jam ini bukan sahaja menutup kelompangan perlindungan sedia ada, malah menjadi perisai ampuh yang memayungi laluan penuh berliku anak-anak serta keluarga pencarum agar kelangsungan hidup, pendidikan, dan maruah mereka terus terjamin.
Keselamatan sosial sememangnya tidak mampu menghapuskan kesedihan akibat kehilangan orang tersayang, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga selepas sesuatu tragedi.
Sehubungan itu, semua pekerja dan majikan diingatkan agar sentiasa memastikan caruman keselamatan sosial sentiasa dikemas kini supaya hak perlindungan dapat dinikmati apabila diperlukan.
Dalam masa yang sama, PERKESO menyeru seluruh pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang jalan raya, dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan risiko kepada diri sendiri serta orang lain.
Sumber: PERKESO
FT Image: Kosmo!
